Thursday, August 30, 2012

Takaful: Sistem perlindungan Islam berteraskan syariah

Pada tahun 2006, Kerajaan Malaysia telah melancarkan "Malaysia sebagai Pusat (HAb) Kewangan Islam Antarabangsa" yang menunjukkan kesungguhan kerajaan terhadap pembangunan sistem kewangan Islam serantau dan antarabangsa. Fokus ini sudah pasti memerlukan usaha berterusan dalam memastikan matlamat tersebut tercapai. Di antaranya ialah dengan memberi kefahaman tentang peranan sistem kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem kewangan konvensional sedia ada dan mendidik masyarakat tentang perlunya melibatkan diri dengan sistem kewangan Islam. Sesungguhnya perkembangan industri takaful di Malaysia, telah menyaksikan kemajuan yang begitu signifikan. Pertumbuhannya amat membanggakan kerana sokongan dan pendekatan secara holistik dan pragmatik yang telah diambil sama ada oleh pihak berkuasa mahupun oleh para pemain industri. Takaful ialah satu kaedah menguruskan risiko yang efektif dan dapat memenuhi keperluan ummah masa kini. Tambahan pula ia menepati prinsip-prinsip Islam yang seterusnya mampu memberikan keuntungan duniawi dan ukhrawi. Islam sangat mengiktiraf inovasi hebat yang dapat mendatangkan manfaat yang besar seperti ini lebih-lebih lagi apabila hakikat kehidupan kini terdedah kepada pelbagai bentuk kemungkinan risiko terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka. Secara konsepnya, sistem takaful merujuk kepada satu kelompok individu yang telah bersetuju dan bersepakat sesama mereka untuk menyumbang (tabarru') sejumlah wang tertentu kepada satu tabung yang akan digunakan untuk membantu mana-mana individu dalam kelompok tersebut yang ditimpa musibah. Persepakatan tersebut berasaskan kepada semangat tolong menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Untuk memastikan tabung berkenaan diurustadbir secara profesional, kelompok berkenaan (dikenali sebagai peserta dalam sistem takaful) melantik pihak ketiga untuk menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka. Dalam konteks sistem takaful, pihak ketiga yang dilantik itu merupakan pengendali takaful yang akan menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka. Pihak peserta melantik pengendali takaful berdasarkan asas Wakalah yang mana pengendali takaful dibayar upah untuk menguruskan hal ehwal tabung berkenaan. Aktiviti perniagaan takaful adalah perniagaan yang dijalankan selaras dengan prinsip-prinsip syariah. Ini kerana pihak bertanggungjawab kepada industri takaful di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan kerangka pematuhan dan pengawalseliaan syariah yang mantap dan efisien. Akta Takaful 1984 telah memperuntukkan beberapa peruntukan yang mewajibkan pengendali takaful supaya memastikan semua aktiviti yang dijalankan sentiasa mematuhi syariah di samping pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak BNM. Setiap pengendali takaful wajib mewujudkan jawatankuasa syariah untuk memastikan perjalanan perniagaan mereka sentiasa mematuhi peraturan syariah. Di samping itu , pengendali takaful perlu menyediakan sekurang-kurangnya pegawai syariah sepenuh masa untuk memastikan aspek-aspek pematuhan Syariah sentiasa diberikan keutamaan. Sistem takaful juga dilandasi dengan nilai dan konsep yang sangat unggul khususnya nilai-nilai disebalik aplikasi aqad Tabarru. Menerusi kaedah ini, ia telah melenyapkan unsur-unsur Gharar, Riba dan Maisir yang menyebabkan insurans konvensional bercanggah dengan Syariah Islam. Antara nilai-nilai unggul yang terangkum dalam kontrak tabarru' ini ialah: 1. Saling bertanggungjawab Peserta-peserta Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Memikul tanggungjawab dengan niat baik adalah merupakan satu ibadah dan hal ini dituntut dalam Islam. 2. Saling bekerjasama dan bantu membantu Peserta-peserta rancangan takaful bersetuju untuk bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain dalam menguruskan perlindungan dengan baik. 3. Saling lindung-melindungi dari sebarang kesusahan dan musibah Melalui konsep ini, peserta-peserta takaful mengambil sikap untuk saling jamin-menjamin di antara satu sama lain, di mana sebahagian daripada wang caruman mereka yang dikenal sebagai wang Tabarru' (derma) akan diperuntukkan untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah dan pengendali takaful bertugas untuk mengendalikan wang caruman tersebut dengan penuh amanah. Inilah di antara kekuatan yang terdapat pada sistem takaful yang berperanan menyelamatkan umat Islam daripada terus menerus dibelenggu oleh sistem yang tidak Islamik. sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120804/ek_02/Takaful:-Sistem-perlindungan-Islam-berteraskan-syariah

Malaysia punyai pasaran sukuk terbesar, empat jenis diterbitkan

BERASASKAN statistik Bank Negara Malaysia (BNM), Malaysia mempunyai pasaran sukuk terbesar di dunia buat masa ini. Memandangkan sukuk berjumlah AS$58 bilion (RM185.6 bilion) berasal dari negara kita, ini bermakna 69 peratus daripada seluruh terbitan pasaran global bagi 2011 berasal dari sini. Di negara kita, sukuk dikawal selia di bawah bidang kuasa luas Suruhanjaya Sekuriti (SC). Majlis Penasihat Syariah (SAC) bagi SC, yang bertanggungjawab terhadap semua hal-ehwal syariah berkaitan terbitan pasaran modal Islam, mengawal asas hukum Syariah bagi struktur sukuk. Dari sudut praktikal, sukuk boleh ditakrifkan sebagai dokumen yang membuktikan kewajipan kewangan (hutang atau bukan hutang) bagi pengeluarnya yang timbul daripada urus niaga asas berdasarkan prinsip syariah. Struktur sukuk yang diterbitkan setakat ini terutamanya berpandukan kepada dua prinsip utama: Kontrak Pertukaran (Uqud al Muawadat) atau Kontrak Penyertaan (Uqud al-Isytirak). Kontrak Pertukaran (Uqud al Muawadat). Dua prinsip yang diguna pakai secara umum ialah (a) Murabaha/Istisna' atau (b) Ijarah, yang masing-masing memerlukan pembelian terdahulu dan jualan selanjutnya (untuk (a)) atau pajakan balik (untuk (b)) aset yang dikenal pasti kepada pelanggan atas dasar harga jualan tertunda (untuk (a)) atau pembayaran sewa pajak masa depan (untuk (b)). Kontrak Penyertaan (Uqud al-Isytirak). Pada amnya, struktur ini adalah berasaskan pelaburan perkongsian pendapatan di bawah 'Sijil Amanah' atau 'Sekuriti Penyertaan' yang memberikan pelabur kepentingan atau pegangan yang sekadar dan tidak dibahagikan dalam aset asas dan aliran tunai dengan risiko pendedahan yang berkaitan. Empat jenis sukuk utama telah diterbitkan di Malaysia setakat ini: Sukuk Murabahah, Sukuk Ijarah, Sukuk Musyarakah dan Sukuk Mudharabah. Sukuk Murabahah dan Istisna' ialah sijil yang menunjukkan keberhutangan pengeluar kepada pelabur, yang timbul daripada mana-mana kontrak pertukaran yang dinyatakan di atas di antara mereka. Sukuk Ijarah ialah sijil yang menjadi bukti pemilikan pelabur bagi aset yang dipajak dan hak kepada pendapatan yang dijana daripada aset tersebut. Sukuk Musyarakah ialah sijil yang menjadi bukti penyertaan pro rata tidak terbahagi pelabur atas dasar untung dan rugi dalam kegiatan komersial asas dengan salah satu pihak dilantik sebagai rakan kongsi urusan untuk menguruskan kegiatan. Sukuk Mudharabah ialah sijil yang menjadi bukti penyertaan pelabur atas dasar perkongsian untung dalam kegiatan komersial asas. Pengurusan dilakukan oleh mudharib (usahawan). sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120811/ek_04/Malaysia-punyai-pasaran-sukuk-terbesar,-empat-jenis-diterbitkan

Pilihan, manfaat bank koperasi

Oleh NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my BANK koperasi merupakan sesuatu yang baru bagi rakyat Malaysia tetapi kejayaan besar salah sebuah koperasi terbesar negara melaksanakan sistem perbankan ini telah menarik minat orang ramai sehinggakan semua saham yang ditawarkan habis dilanggan. Ini bukannya sesuatu yang luar biasa memandangkan bank koperasi mempunyai kelebihan berbanding bank komersial terutamanya dalam aspek kebajikan kepada anggota, dividen besar kepada pemegang saham dan juga kadar keuntungan produk pembiayaan yang jauh lebih rendah. Setelah mengenal pasti kelebihan serupa dapat ditawarkan kepada orang ramai, sebuah lagi koperasi ternama di Malaysia telah mengorak langkah ke arah pembangunan sistem bank koperasi tersendiri yang memberi banyak manfaat kepada anggotanya dan juga masyarakat setempat. Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (Bank Persatuan) yang ditubuhkan 62 tahun lalu di Pulau Pinang kini telah memulakan proses penstrukturan semula bagi menawarkan manfaat sebuah bank koperasi termasuk pembiayaan pada kadar keuntungan terendah kepada warga bumiputera. Mula didaftarkan dengan nama The Province Wellesley Co-operative Banking Union Limited pada 1950, Bank Persatuan dijangka mampu memberikan kadar dividen yang tinggi kepada anggotanya mulai 2013 melalui program penjenamaan semula yang bakal menambahkan bilangan keanggotaan (pemegang saham), pendeposit akaun dan pengguna produk-produk bank tersebut. Menurut Pengerusinya, Jamal Abdullah, Bank Persatuan akan membuat perubahan mendadak selepas 62 tahun operasi bagi menawarkan khidmat dan manfaat yang lebih baik kepada anggota dan pelanggannya. Beliau yang lama berkecimpung dalam pergerakan koperasi dan juga Naib Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjelaskan, sistem bank ini akan beroperasi berdasarkan garis panduan perbankan daripada Bank Negara tetapi pentadbirannya kekal di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). "Bank Persatuan kini sudah mempunyai 14 cawangan di seluruh negara kecuali di Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sahaja sementara cawangan di Johor kini dalam proses pembinaan. "Kita akan membuat banyak perubahan besar dan penjenamaan semula serta menggandakan promosi dalam menawarkan produk-produk kompetitif untuk dikongsi dengan pengguna di seluruh negara," katanya. Jelasnya, Malaysia mempunyai sejumlah 9,600 koperasi dengan lebih 10 juta ahli sementara Bank Persatuan kini mempunyai keanggotaan lebih 400 koperasi serta lebih 60,000 anggota bumiputera yang dijangka terus meningkat jumlahnya melalui proses penstrukturan semula tersebut. "Kita mahu bergerak ke arah sebuah bank koperasi yang bukan sahaja menawarkan manfaat serta keuntungan kepada anggota dan pelanggannya, malahan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk komuniti setempat. "Menyahut saranan Perdana Menteri, Bank Persatuan juga akan menggerakkan usaha merapatkan silaturrahim dan membantu kerajaan mengatasi masalah kemiskinan melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR)," ujarnya. Tambahnya, ini termasuk program sukarelawan, gotong-royong, cegah jenayah serta berkongsi semangat Ramadan menjelang Aidilfitri tahun ini melalui sedekah, zakat, program bersama anak yatim serta pelbagai aktiviti lain di surau dan masjid-masjid. Untuk anggota pula, jelasnya, Bank Persatuan yang sebelum ini lebih fokus kepada perbankan pengguna kini menyasarkan kadar dividen lebih tinggi untuk anggota-anggotanya selain pelbagai manfaat yang tidak ditawarkan bank-bank komersial. "Keanggotaan kita adalah 100 peratus bumiputera untuk koperasi dan individu sementara produk pembiayaan ditawarkan kepada anggota-anggota yang bekerja dalam sektor awam serta anggota yang bekerja di sektor swasta yang memenuhi syarat-syarat khusus. "Untuk menjadi anggota cuma memerlukan 50 unit saham berjumlah RM500 tetapi anggota boleh membeli lebih banyak saham daripada itu dengan had tidak melebihi 20 peratus modal berbayar bank. Selain pelbagai manfaat automatik sebagai anggota, kita juga menyasarkan dividen 10 peratus untuk 2013, tertakluk kepada kelulusan SKM," jelasnya. Antara manfaat automatik yang bakal dinikmati anggota Bank Persatuan termasuk perlindungan takaful, khairat kematian, faedah anak cemerlang dalam pelajaran, tuntutan kemasukan ke hospital, skim bantuan kebajikan anggota dan banyak lagi. Menurut Jamal, selain perlindungan masalah kesihatan, bencana alam, kemalangan mahupun meninggal dunia, anggota yang kurang mampu juga akan dibantu melalui derma dan zakat serta program CSR lain anjuran Bank Persatuan. "Bukan sekadar dividen tinggi dan pembiayaan dengan kadar keuntungan rendah, kita mahu sediakan manfaat dalam sistem sosial kehidupan anggota-anggota yang tidak ditawarkan bank-bank komersial. "Walaupun produk pembiayaan kami lebih kepada kakitangan awam berisiko rendah, warga sektor swasta yang tidak dapat menikmatinya masih boleh menjadi anggota biasa dan menerima semua manfaat perlindungan serta bayaran dividen tahunan," katanya. Tegasnya, Bank Persatuan tetap mengutamakan kebajikan anggotanya daripada keuntungan semata-mata dan orang ramai perlu melihat manfaat besar sebagai anggota sekalipun tidak berpeluang menjadi pelanggan sistem kewangannya. Tambahnya, warga sektor swasta juga masih berpeluang membuat pembiayaan dengan pihaknya selagi syarikat tempat mereka bekerja mempunyai rekod kukuh dan cemerlang serta bersedia membuat bayaran balik melalui potongan gaji. Menurut beliau lagi, bermula 1993, semua aktiviti perbankan Bank Persatuan juga telah berlandaskan prinsip syariah sepenuhnya termasuk dalam menawarkan produk simpanan Al Wadiah, pelaburan Al Mudaharabah dan Sijil Pelaburan Pembiayaan Bank Persatuan serta produk-produk pembiayaan. "Selain aset pembiayaan yang telah dikeluarkan berjumlah RM1.1 bilion setakat ini, Bank Persatuan juga sedang menawarkan skim pembiayaan baru pada kadar maksimum RM200,000 sehingga 20 tahun bayaran balik tanpa penjamin dan dengan kadar keuntungan serendah 3.95 peratus sahaja. "Skim pembiayaan yang dikenali sebagai Pembiayaan Satu Solusi merangkumi Pembiayaan Istimewa Lestari Dan Persendirian Istimewa Al Ajmal, sudah mula ditawarkan pada awal tahun 2012 ini dengan peruntukan sebanyak RM500 juta sehingga penghujung tahun." ujarnya. Beliau turut mengesahkan setiap kategori produk Bank Persatuan bakal disediakan hadiah galakan untuk pelanggan-pelanggan baru sebagai hadiah penghargaan bagi mereka yang memilih khidmat bank tersebut. Bagi koperasi pula, beliau menjelaskan pembiayaan kewangan kontrak juga bakal ditawarkan bagi koperasi bumiputera yang menerima tender daripada mana-mana jabatan kerajaan mahupun syarikat milik kerajaan. "Kita juga dalam proses menggerakkan sistem Ar-Rahnu tersendiri yang telah diluluskan Lembaga Pengarah tetapi masih dalam proses kajian sistem pelaksanaan bagi mengelak kelemahan terhadap sebarang penipuan dan aktiviti jenayah. "Dalam masa terdekat juga, kita akan mula sediakan mesin juruwang automatik (ATM dan CDM) di cawangan-cawangan Bank Persatuan serta di Bank Islam melalui perjanjian kerjasama rakan niaga," jelasnya. Tambahnya, Bank Persatuan juga telah lama mengguna pakai sistem atas talian yang akan memudahkan sebarang urusan kewangan anggota dan pelanggannya. "Harapan saya, semua koperasi dan orang ramai di negara ini tidak melepaskan peluang menjadi anggota kami, menjadi pengguna produk kewangan mahupun pendeposit. "Apa yang kami tawarkan bukan sahaja solusi kewangan dan manfaat keanggotaan malahan kami mahu menggerakkan Bank Persatuan sebagai sebuah entiti kemasyarakatan yang dapat berkongsi keuntungan dengan berbakti kepada penduduk setempat," tegasnya. Maklumat lanjut berkaitan produk, keanggotaan dan perkhidmatan Bank Persatuan boleh diperolehi melalui laman web www.bankpstn.com.my atau dengan menghubungi talian 04-3237650. sumber:

Perbankan Islam kini industri global, bakal terus berkembang pesat

Oleh WASIM SAIFI, Ketua Global, Perbankan Islam, Perbankan Pengguna di Standard Chartered Saadiq. LIMA belas tahun lalu, umat Islam yang ingin mendapatkan pembiayaan kediaman menggunakan kad kredit atau mendepositkan wang ke dalam akaun semasa, mengelak daripada berbuat demikian dan memilih untuk patuh kepada undang-undang Syariah. Oleh kerana terdapat hanya segelintir bank Islam dan rangkaian produk syariahnya terbatas, individu beragama Islam selalunya terpaksa berkompromi sama ada mahu memenuhi tuntutan agama atau keperluan kewangan apabila berdepan dengan keadaan ini. Di kebanyakan pasaran hari ini, kompromi sebegini tidak lagi perlu. Perbankan Islam telah menjadi sebahagian daripada arus perdana, boleh didapati secara meluas merentasi produk kewangan dan kedudukan geografi. Mengikut kajian Ernst & Young, aset perbankan Islam di seluruh dunia pada tahun 2012 dijangka mencecah AS$1.1 trilion (RM3.52 trilion), naik 33 peratus daripada tahun 2010. Hanya dalam tempoh beberapa tahun, perbankan Islam telah berubah menjadi satu industri yang global. Terdapat tiga penggerak utama di sebalik perkembangan luar biasa ini - tiga sebab mengapa saya percaya bahawa perbankan Islam akan terus berkembang lebih pesat jauh ke dekad berikutnya. Pertama, persaingan yang meningkat telah membantu meluaskan penawaran produk patuh Syariah , untuk berada dalam ruang lingkup bilangan umat Islam yang lebih besar. Pada awal tahun 2000, langkah yang diambil oleh bank-bank Islam untuk menjadikan produk patuh syariah lebih menarik telah membawa perubahan besar terhadap industri. Buat julung kalinya, bank-bank Islam bukan hanya dapat memenuhi keperluan pelanggan dari aspek komersial malahan pada masa yang sama mematuhi Syariah. Bank konvensional yang mahu mengekalkan pelanggan Islam mereka turut mengambil peluang untuk turut serta, sekali gus membantu mengembangkan pasaran keseluruhan di seluruh dunia. Kedua, melihatkan apa yang ditawarkan perbankan Islam semakin menarik, umat Islam telah beralih daripada perbankan konvensional pada tahap yang lebih pantas, mendorong industri menawarkan produk yang jauh lebih canggih. Pengguna Islam yang sudah terbiasa menggunakan kad kredit, misalnya, tidak akan mahu kehilangan manfaat menggunakannya apabila beralih ke perbankan Islam. Tidak kira daripada segi akses, teknologi, produk atau perkhidmatan, mereka mahukan tidak kurang dari apa yang ditawarkan bank konvensional dan ternyata bank Islam berjaya memenuhinya. Umat Islam masa kini mempunyai pilihan untuk melaksanakan keperluan perbankan patuh Syariah tanpa perlu mengorbankan kemudahan, produk dan perkhidmatan yang biasa dinikmati sebelum ini. Ketiga, industri juga menerima sokongan kawal selia apabila kerajaan di beberapa pasaran menggalakkan pembangunan ekosistem perbankan Islam yang sihat secara aktif. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kesemua lesen perbankan tempatan baru yang diluluskan sejak 15 tahun lalu adalah bagi penubuhan bank Islam. Oman, Uganda dan Nigeria telah mula membuka pasaran mereka . Penawaran Sukuk, atau bon Islam, berlaku secara meluas dan pembiayaan kewangan Islam digunakan secara giat dalam program sokongan kerajaan. Di Bahrain, misalnya, Standard Chartered Saadiq kini bekerjasama dengan pihak lembaga pekerjaan bebas dipanggil Tamkeen untuk menyediakan pembiayaan patuh Syariah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Malaysia - mungkin pasaran perbankan Islam paling berjaya di dunia - telah menunjukkan apa yang mampu dicapai. Di sini, usaha menyeluruh yang dilakukan kerajaan telah mendorong perkembangan perbankan Islam hingga dapat mewakili satu pertiga daripada keseluruhan jumlah aset perbankan. Langkah besar seterusnya bagi industri perbankan Islam global adalah merapatkan jurang yang masih ada dengan perbankan konvensional dari segi rangkaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Pengurusan kekayaan Islam, misalnya, jelas masih ketinggalan dengan dana patuh Syariah mewakili kurang 0.25 peratus daripada jumlah keseluruhan aset di bawah pengurusan. Ia ibarat cerita ayam dan telur, yang mana wujud dahulu. Untuk menarik para pelanggan Islam yang kaya, kita perlu memiliki rangkaian produk dan perkhidmatan yang kompetitif tetapi untuk mencapainya, kita perlu mempunyai skala ekonomi. Bagaimanapun , dengan pertumbuhan aset Islam yang kukuh dan penyedia perkhidmatan perbankan Islam meningkatkan tekanannya ke atas para pengurus dana, terdapat peluang yang baik pengurusan kekayaan Islam akan mampu berbuat demikian dalam beberapa tahun akan datang. Berdasarkan pertumbuhan menyeluruh industri kebelakangan ini, perbankan Islam masih mewakili sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan aset perbankan global, dan bilangannya jauh lebih kecil (dianggarkan secara kasar hanya satu daripada setiap lapan pengguna Islam memiliki akaun dengan bank Islam) dibandingkan mereka yang memiliki akaun konvensional. Kadar penembusan juga kekal rendah di negara Islam yang mana rakyatnya mewakili jumlah umat Islam terbesar di dunia, seperti Pakistan dan Indonesia, masing-masing mewakili hanya sembilan dan empat peratus. Terdapat pelbagai alasan kenapa ini berlaku, yang paling ketara ketiadaan kesedaran tentang apa yang mampu ditawarkan oleh perbankan Islam. Di sesetengah negara, wujud halangan kawal selia atau undang-undang. Walaupun setiap pasaran berkembang pada tahap masing-masing, sokongan kerajaan dan pengawal selia akan dapat membantu mempercepatkan kadar perubahan. Pembukaan pasaran kepada bank Islam antarabangsa juga akan dapat membantu. Bank berkenaan selalunya cenderung untuk mempercepatkan pembangunan dalam pasaran individu dengan kemampuan mereka memindahkan amalan terbaik, kecanggihan produk dan kepakaran perbankan di kalangan kedudukan geografi berbeza. Di Standard Chartered misalnya, kami bekerjasama dengan pengawal selia di beberapa negara bagi memajukan rangka kerja perbankan Islam mereka berdasarkan pengalaman kami dalam pasaran lain. Apa yang jelas, menerusi rangkaian sejagat mereka, bank Islam antarabangsa juga berperanan memudahkan kegiatan perbankan merentasi sempadan untuk para pelanggan Islam. Ini penting sekiranya industri mahu menarik lebih ramai pelanggan PKS yang berkembang pesat serta individu kaya yang ingin kekal menggunakan perbankan patuh Syariah tanpa perlu melepaskan peluang pertumbuhan dalam pasaran asing. Tujuan perbankan sama ada Islam atau konvensional, adalah membantu sesiapa saja mencapai aspirasi mereka. Ia berkait dengan hubungan dengan pelanggan dan memenuhi keperluan kewangan sesuai dengan gaya hidup mereka. Sejak beberapa tahun yang lalu, perbankan Islam telah berkembang pesat untuk memenuhi keperluan asas ini. Perbankan Syariah berada di peringkat awal tetapi apa yang jelas: dengan sekitar 1.6 bilion umat Islam di dunia, manfaat perbankan Islam adalah amat besar dan kemampuan sebenarnya masih belum terserlah. sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120824/ek_02/Perbankan-Islam-kini-industri-global,-bakal-terus-berkembang-pesat