Thursday, August 30, 2012

Takaful: Sistem perlindungan Islam berteraskan syariah

Pada tahun 2006, Kerajaan Malaysia telah melancarkan "Malaysia sebagai Pusat (HAb) Kewangan Islam Antarabangsa" yang menunjukkan kesungguhan kerajaan terhadap pembangunan sistem kewangan Islam serantau dan antarabangsa. Fokus ini sudah pasti memerlukan usaha berterusan dalam memastikan matlamat tersebut tercapai. Di antaranya ialah dengan memberi kefahaman tentang peranan sistem kewangan Islam sebagai alternatif kepada sistem kewangan konvensional sedia ada dan mendidik masyarakat tentang perlunya melibatkan diri dengan sistem kewangan Islam. Sesungguhnya perkembangan industri takaful di Malaysia, telah menyaksikan kemajuan yang begitu signifikan. Pertumbuhannya amat membanggakan kerana sokongan dan pendekatan secara holistik dan pragmatik yang telah diambil sama ada oleh pihak berkuasa mahupun oleh para pemain industri. Takaful ialah satu kaedah menguruskan risiko yang efektif dan dapat memenuhi keperluan ummah masa kini. Tambahan pula ia menepati prinsip-prinsip Islam yang seterusnya mampu memberikan keuntungan duniawi dan ukhrawi. Islam sangat mengiktiraf inovasi hebat yang dapat mendatangkan manfaat yang besar seperti ini lebih-lebih lagi apabila hakikat kehidupan kini terdedah kepada pelbagai bentuk kemungkinan risiko terutamanya yang berbentuk musibah dan malapetaka. Secara konsepnya, sistem takaful merujuk kepada satu kelompok individu yang telah bersetuju dan bersepakat sesama mereka untuk menyumbang (tabarru') sejumlah wang tertentu kepada satu tabung yang akan digunakan untuk membantu mana-mana individu dalam kelompok tersebut yang ditimpa musibah. Persepakatan tersebut berasaskan kepada semangat tolong menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Untuk memastikan tabung berkenaan diurustadbir secara profesional, kelompok berkenaan (dikenali sebagai peserta dalam sistem takaful) melantik pihak ketiga untuk menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka. Dalam konteks sistem takaful, pihak ketiga yang dilantik itu merupakan pengendali takaful yang akan menguruskan tabung berkenaan bagi pihak mereka. Pihak peserta melantik pengendali takaful berdasarkan asas Wakalah yang mana pengendali takaful dibayar upah untuk menguruskan hal ehwal tabung berkenaan. Aktiviti perniagaan takaful adalah perniagaan yang dijalankan selaras dengan prinsip-prinsip syariah. Ini kerana pihak bertanggungjawab kepada industri takaful di Malaysia seperti Bank Negara Malaysia (BNM) telah mewujudkan kerangka pematuhan dan pengawalseliaan syariah yang mantap dan efisien. Akta Takaful 1984 telah memperuntukkan beberapa peruntukan yang mewajibkan pengendali takaful supaya memastikan semua aktiviti yang dijalankan sentiasa mematuhi syariah di samping pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak BNM. Setiap pengendali takaful wajib mewujudkan jawatankuasa syariah untuk memastikan perjalanan perniagaan mereka sentiasa mematuhi peraturan syariah. Di samping itu , pengendali takaful perlu menyediakan sekurang-kurangnya pegawai syariah sepenuh masa untuk memastikan aspek-aspek pematuhan Syariah sentiasa diberikan keutamaan. Sistem takaful juga dilandasi dengan nilai dan konsep yang sangat unggul khususnya nilai-nilai disebalik aplikasi aqad Tabarru. Menerusi kaedah ini, ia telah melenyapkan unsur-unsur Gharar, Riba dan Maisir yang menyebabkan insurans konvensional bercanggah dengan Syariah Islam. Antara nilai-nilai unggul yang terangkum dalam kontrak tabarru' ini ialah: 1. Saling bertanggungjawab Peserta-peserta Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Memikul tanggungjawab dengan niat baik adalah merupakan satu ibadah dan hal ini dituntut dalam Islam. 2. Saling bekerjasama dan bantu membantu Peserta-peserta rancangan takaful bersetuju untuk bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain dalam menguruskan perlindungan dengan baik. 3. Saling lindung-melindungi dari sebarang kesusahan dan musibah Melalui konsep ini, peserta-peserta takaful mengambil sikap untuk saling jamin-menjamin di antara satu sama lain, di mana sebahagian daripada wang caruman mereka yang dikenal sebagai wang Tabarru' (derma) akan diperuntukkan untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah dan pengendali takaful bertugas untuk mengendalikan wang caruman tersebut dengan penuh amanah. Inilah di antara kekuatan yang terdapat pada sistem takaful yang berperanan menyelamatkan umat Islam daripada terus menerus dibelenggu oleh sistem yang tidak Islamik. sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120804/ek_02/Takaful:-Sistem-perlindungan-Islam-berteraskan-syariah

No comments: