133 syarikat kena kompaun langgar akta Perkeso

ALOR SETAR 6 Nov. - Sebanyak 133 majikan dikenakan kompaun oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah mulai Januari hingga Oktober tahun ini kerana didapati melanggar peraturan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Pengarah Perkeso Kedah, Othman Mohd. Nordin berkata, selain itu, dalam tempoh sama juga, sebanyak 91 majikan diambil tindakan pendakwaan mahkamah berhubung pelbagai kesalahan terutama gagal mencarum pekerja mereka. Katanya, kegagalan majikan mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh mengakibatkan mereka dipenjara sehingga dua tahun atau didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali. "Majikan yang belum mendaftar diseru berbuat demikian di mana-mana 46 pejabat Perkeso terdekat sebelum diambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Faedah Pencen Ilat kepada tiga pencarum Perkeso yang merupakan bekas kakitangan Kedah Medical Centre (KMC) di sini semalam. Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif KMC, Zabidi Abdul Razak. Pada majlis berkenaan, Perkeso Kedah turut melancarkan kempen penguatkuasaan Ops Kesan 2012 mulai bulan ini bertujuan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan agensi itu. Othman menambah, Ops Kesan Perkeso Kedah akan dilakukan dari pintu ke pintu dan majikan yang mempunyai sekurang-kurang seorang pekerja atau lebih dikehendaki mendaftar dan membayar caruman. "Ops Kesan ini bagi memastikan pekerja yang layak dilindungi di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat didaftarkan oleh majikan mereka. "Sepanjang November ini, Ops Kesan akan dilaksanakan secara meluas di seluruh negeri demi kebajikan pekerja," katanya. Beliau turut menasihatkan mana-mana majikan yang belum mendaftar dan mencarum pekerja mereka berbuat demikian sebelum dikesan melanggar peraturan tersebut sekali gus dikenakan kompaun. Tambah beliau, sehingga September tahun ini Perkeso Kedah telah membayar sebanyak RM22.8 juta melibatkan 12,112 kes serta pelbagai faedah. "Apa yang membimbangkan berlaku peningkatan tuntutan yang mendadak terutama membabitkan kemalangan di jalan raya ketika bekerja," katanya lagi. Sementara itu, pada majlis tersebut beliau turut menyerahkan bayaran pertama faedah Ilat kepada Azizah Othman, 51, M. Vartharajoo, 54, dan Romli Saad, 54, yang merupakan bekas kakitangan KMC. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121107/wu_02/133-syarikat-kena-kompaun-langgar-akta-Perkeso#ixzz2Ew2gaXu8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts