Akta lindungi data peribadi mulai Januari 2013

Kuala Lumpur: Akta Perlindungan Data Peribadi, yang bertujuan mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial, akan berkuat kuasa 1 Januari depan. Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang, berkata akta itu, yang diluluskan Parlimen pada 2010, akan memainkan peranan penting dalam melindungi kepentingan individu. Katanya, ia akan menjadikannya satu kesalahan bagi entiti korporat atau individu untuk menjual maklumat peribadi atau membenarkan penggunaan data oleh pihak ketiga. Beliau berkata, banyak pihak berasakan penguatkuasaan akta itu adalah tepat pada masanya kerana ia akan memudahkan pemindahan dan penghantaran maklumat peribadi serta maklumat yang amat penting dengan lancar. “Ia memberikan orang ramai lebih banyak kawalan terhadap data peribadi mereka. Apabila persetujuan diperlukan untuk pemprosesan data, ia diberi dengan jelas dan bukannya secara tersirat atau rekaan,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Tahunan Kedua Perlindungan Data Peribadi di sini, semalam. Audit data berterusan Beliau berkata organisasi, dari satu sudut, perlu memulakan amalan audit data peribadi secara berterusan untuk memastikan ia mematuhi undang-undang. Salang berkata, untuk mentadbir undang-undang itu, Jabatan Perlindungan Data Peribadi ditubuhkan pada 16 Mei 2011. Beliau berkata mengikut akta itu, mereka didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM300,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA - sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AktalindungidataperibadimulaiJanuari/Article/artikel

Comments

Popular Posts