Ekonomi 2013 dijangka 5.6%

INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.6 peratus tahun depan, seterusnya meningkat kepada 6.2 peratus pada 2014 didorong suasana ekonomi global yang dijangkakan lebih baik. Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, bagi membolehkan ekonomi negara berkembang melebihi enam peratus, krisis hutang Eropah perlu diselesaikan manakala China perlu mengekalkan pertumbuhan ekonominya. “Untuk membolehkan ekonomi lebih kukuh, perlu diwujudkan pembaharuan berstruktur terutama membabitkan sektor awam kerana ketika ini kita sangat bergantung dengan perolehan industri minyak dan gas selain keperluan untuk mengembangkan perolehan cukai kerajaan,” katanya pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara 2013-2014 di Kuala Lumpur, semalam. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pelaburan swasta dalam negara dijangka mencecah 30 peratus daripada jumlah keseluruhan, tahun depan. “Pada masa ini, peratusan berada pada 22 peratus manakala pelaburan swasta meningkat sedikit iaitu 2.5 peratus daripada 2005 hingga 2009. Bagaimanapun, ia mencatatkan pertumbuhan dua angka iaitu 15.5 peratus pada 2010 dan 12.2 peratus pada 2011. “Momentum pertumbuhan terus menaik dan kerana itu, saya tidak terkejut sekiranya pelaburan swasta lebih tinggi tahun depan,” katanya. Menurutnya, peningkatan prestasi yang dicerminkan melalui pertumbuhan pelaburan swasta itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara terus bertambah. “Pada masa depan, prestasi pertumbuhan kukuh akan bergantung kepada keupayaan negara untuk mengekalkan penambahbaikan dalam teknologi dan berjaya memindahkannya ke arah sumber dalaman permintaan,” katanya. sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ekonomi2013dijangka5_6_/Article/index_html

Comments

Popular Posts