Kejayaan dalam kewangan Islam perlu berterusan

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Pencapaian cemerlang dalam kewangan Islam yang dikecapi oleh Malaysia memerlukan usaha yang berterusan bagi memastikan sektor itu terus berkembang dan berdaya saing. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, industri kewangan Islam telah berkembang menjadi salah satu komponen yang kompetitif dalam sistem kewangan Malaysia dan menjadi salah satu pemacu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara. "Malaysia mempunyai sektor kewangan Islam yang komprehensif di dunia, disokong oleh semua komponen yang diperlukan oleh sesuatu sistem kewangan, iaitu perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam dan pasaran ekuiti Islam yang berlandaskan sistem perundangan dan urus tadbir yang menyeluruh," kata Awang Adek semasa berucap di Muzakarah Penasihat Kewangan Islam 2012. Perkembangan yang pesat itu juga mendorong negara untuk melaksanakan proses liberalisasi dalam industri perkhidmatan kewangan Islam pada 2002 ke arah meningkatkan kehadiran dan penyertaan asing dalam sistem kewangan Islam negara. Beliau berkata, antara perkembangan positif yang dilihat kesan daripada langkah liberalisasi itu adalah penggunaan pelbagai konsep syariah dalam produk-produk kewangan Islam. Awang Adek berkata, antara strategi yang dianggap penting dan perlu dilaksanakan dalam memastikan kelangsungan kemajuan yang telah dicapai ialah melahirkan sarjana syariah yang dinamik. Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam 2012 adalah forum sehari yang mengetengahkan isu syariah di dalam perbankan kewangan Islam. - Bernama Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121016/ek_04/Kejayaan-dalam-kewangan-Islam-perlu-berterusan#ixzz2DynhDMg8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts