Kerjasama tangani risiko kewangan - Zeti

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Satu platform kerjasama antarabangsa perlu diperkenalkan bagi memudahkan penyelarasan dan tadbir urus dasar yang berkesan untuk menangani risiko kewangan dalam menghadapi liberalisasi kewangan yang semakin meluas. Ketika membuat saranan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, walaupun terdapat pelbagai reformasi kewangan untuk memperkukuh daya tahan sektor kewangan global tetapi penggubalan dasar yang merentas sempadan belum meluas. Untuk mempermudah tindakan membuat keputusan dasar yang berkesan, kata Zeti, perlu ada platform dan proses tadbir urus bagi penyelarasan dasar di semua agensi dalam sesebuah ekonomi. Beliau berkata, ia seterusnya perlu diperluaskan bagi tindakan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa. "Persetujuan bagi kerjasama dan penyelarasan dasar di kalangan institusi belum mencapai tahap yang sepadan dengan tahap penyepaduan ekonomi dan kewangan global," tegas beliau. "Walaupun usaha persendirian oleh sesebuah ekonomi itu penting , namun ia tidak lagi dapat menjamin kestabilan kewangan global," kata beliau dalam ucapannya, bertajuk "Kestabilan Kewangan Global dan Pengantarabangsaan Sistem Kewangan dalam Ekonomi Sedang Muncul" pada Persidangan Euromoney-Qatar di Doha semalam. Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini hari ini. Katanya, ekonomi-ekonomi baru muncul yang lebih terbuka dan bersepadu dengan ekonomi global dan sistem kewangan antarabangsa paling mudah terjejas oleh perkembangan-perkembangan semasa ketika ini. Zeti menegaskan bahawa krisis itu, mahu tidak mahu, telah menunjukkan pentingnya dimensi dasar yang bersifat antarabangsa memandangkan ia mengakibatkan pengangguran yang tinggi di kebanyakan negara. "Ia memerlukan tindak balas menyeluruh untuk memastikan keadaan yang tegang itu tidak berubah menjadi krisis kewangan yang besar," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121213/ek_02/Kerjasama-tangani-risiko-kewangan---Zeti#ixzz2EvxibM6A © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts