Thursday, December 13, 2012

Kuat kuasa Akta Perihal Dagangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR, utusanjohor@yahoo.com - JOHOR BAHRU 7 Nov. - Akta Perihal Dagangan 2011 merupakan pendekatan terbaik kerajaan bagi membendung lambakan produk yang diragui status halalnya daripada terus digunakan umat Islam di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) berkata, sejak ia dikuatkuasakan, hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam negeri dibenarkan untuk mengeluarkan sijil perakuan dan logo halal di negara ini. Beliau berkata, penggunaan logo halal daripada pihak swasta tidak dibenarkan dan para peniaga yang masih menggunakannya perlu memperbaharui logo lama kepada logo halal baru. "Bagaimanapun masih ada yang beranggapan proses pembaharuan sijil logo halal ini sesuatu yang menyusahkan dan membazir masa dan wang tetapi jika dikaji semula ia banyak memberikan kebaikan daripada keburukan. "Para peniaga hanya perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan pengesahan sijil halal tetapi keperluan itu mengambil kira kepentingan masyarakat dan umat Islam khususnya di negara ini," katanya pada Majlis Perasmian Seminar Kepenggunaan Halal (Akta Perihal Dagangan 2011) di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Agama Johor, Datuk Abdul Razak Hassan. Seminar selama sehari itu dihadiri kira-kira 400 peserta yang terdiri daripada usahawan, pertubuhan bukan kerajaan serta agensi kerajaan. Zainal Abidin berkata, dengan wujudnya akta itu, para pengusaha dan pengilang tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan logo halal kecuali memiliki sijil halal sah serta segala proses perlu mematuhi hukum syarak. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121108/wj_01/Kuat-kuasa-Akta-Perihal-Dagangan#ixzz2Ew2SFjOI © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: