Monday, December 03, 2012

Pembiayaan Islam global berganda

NEW DELHI 20 Sept. - Pembiayaan Islam global diunjur meningkat sekali ganda antara 2011 dan 2015 dengan sektor itu dianggap sebagai alternatif yang dipercayai terbaik berbanding kewangan konvensional berikutan kelembapan kewangan global. Oleh itu, Standard & Poor"s (S&P) mengunjurkan industri kewangan Islam global bernilai AS$1 trilion akan berkembang 20 peratus atau sekali ganda saiznya dalam tempoh 2011-2015. "Penerbit dan pelabur menyedari bahawa imbangan antara risiko dan ganjaran dalam kewangan konvensional dan Islam tidak banyak berbeza," kata Pengarah Urusan dan Ketua Rantau Asia Barat, Standard & Poor's (S&P), Stuart Anderson dalam satu kenyataan. Prospek global untuk industri kewangan Islam akan dibincangkan pada persidangan yang akan dihoskan oleh S&P di Dubai pada 25 September ini. Bertajuk "Globalisasi Kewangan Islam: Menghubungkan GCC dengan Asia dan Melepasinya," persidangan kewangan Islam S&P itu akan meneroka kaedah untuk meningkatkan hubungan antara negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia bagi memacu pertumbuhan dan globalisasi yang lebih baik dalam industri itu. Menurut S&P, pertumbuhan kewangan Islam kini diketuai oleh negara anggota GCC yang membabitkan Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, selain Asia. Penduduk muda Islam yang pesat berkembang, persekitaran makroekonomi yang teguh dan projek-projek infrastruktur besar yang memerlukan pembiayaan merupakan pemacu utama pertumbuhan yang semakin meningkat ini. "Malaysia menerajui industri global, manakala Arab Saudi memimpin GCC," katanya. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri ini telah mengambil langkah utama dalam memperoleh kesepakatan yang lebih luas ke atas struktur perbankan Islam. "Kami juga melihat sokongan yang lebih kuat dan aktif daripada pihak berkuasa dalam negeri, terutama menerusi pewujudan rangka kerja percukaian dan kawal aturan, yang memastikan kesamarataan antara instrumen konvensional dan Islam," kata Anderson. Perkembangan utama yang dijangka memandu globalisasi dan perkembangan perbankan Islam di Asia dan GCC ialah peningkatan daya tarikan sukuk dalam kalangan pelabur global. - Bernama Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120921/ek_03/Pembiayaan-Islam-global-berganda#ixzz2DyxNPheX © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: