Takaful merentas sempadan

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN ekonomi@utusan.com.my KUALA LUMPUR 28 Okt. - Industri takaful perlu ditransformasi daripada industri yang memberi fokus kepada pasaran domestik semata-mata kepada industri yang melangkaui pasaran serantau dan antarabangsa. Penasihat Persatuan Takaful Malaysia, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman (gambar) berkata, sudah tiba masanya konsep perniagaan takaful diperluaskan di setiap negara supaya turut melibatkan pasaran global. "Terdapat keperluan untuk mentransformasi pendekatan sistem takaful masa kini dengan meluaskan hubungannya agar merentasi sempadan," katanya semasa menyampaikan ucapan Forum Takaful Asia Barat di Bahrain, baru-baru ini. Menurut Syed Moheeb, terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk memperkembangkan industri takaful ke peringkat antarabangsa seperti pemberian lesen kepada syarikat takaful yang mempunyai penyertaan asing seperti yang diamalkan di Malaysia. Jelasnya, menerusi kaedah itu, lebih banyak syarikat takaful akan mempunyai kapasiti lebih besar, kos yang efektif serta mempunyai jaringan kakitangan berpengalaman dalam dan luar negara. "Ini adalah waktu yang tepat untuk meneroka inisiatif global dengan mengumpulkan sumber dari seluruh dunia dan seterusnya menghasilkan kapasiti yang lebih besar. "Ia mampu menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang teknikal dan kritikal dalam pengurusan risiko serta mampu mengurangkan kos dalam pelaksanaan perniagaan," katanya lagi. Selain itu, menurut Syed Moheeb, bagi mengukuhkan lagi jenama takaful di peringkat dunia, para pemain industri perlu meningkatkan nilai perniagaan dan ciri-ciri tersendiri bagi menarik lebih ramai komuniti antarabangsa mendekati industri tersebut. Beliau turut menyarankan para pemain industri memastikan takaful yang patuh syariah turut meliputi semua rangkaian nilai produk kewangan Islam. Selain itu, Syed Moheeb juga mencadangkan supaya takaful dipasarkan sebagai instrumen simpanan yang mana ia dilihat mempunyai faktor penarik yang kuat dan mampu menambah penyertaan pemegang polisi. "Sebagai tambahan kepada polisi perlindungan, elemen simpanan di dalam takaful boleh meneruskan permintaan dan mengurangkan penamatan polisi takaful terutama ketika zaman sukar. "Takaful juga boleh bertindak sebagai ejen pelaburan bagi keperluan masa depan," ujarnya lagi. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121029/ko_01/Takaful-merentas-sempadan#ixzz2DymoJ8nb © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts