Thursday, December 13, 2012

Tiada impak inflasi - Zeti

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY ekonomi@utusan.com.my - JOHOR BAHRU 6 Dis. - Pengurangan subsidi yang dimulakan kerajaan secara berperingkat tidak akan memberi impak inflasi dan perubahan kadar faedah ketara kepada pengguna kerana negara mempunyai kemampuan untuk melakukan rasionalisasi secara beransur-ansur. Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, pendekatan tersebut memberikan lebih banyak ruang dan masa untuk industri dan pengguna menyediakan diri melalui langkah pengurusan yang lebih berkesan dan peningkatan produktiviti. "Malaysia mempunyai prospek rasionalisasi dan mengemaskini pemberian subsidi secara berperingkat dan mempunyai ruang untuk berbuat demikian supaya perniagaan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. "Banyak cara dapat diguna pakai untuk mengurangkan kos tanpa melepaskan bebanan kos kepada pengguna. Pengurusan yang lebih efisien dan peningkatan produktiviti akan meringankan kenaikan harga kepada pengguna akhir," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi forum Perbankan Kewangan Islam: Dari Kerangka Perundangan Ke Nilai Ekonomi dalam Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. Antara panel yang menyertai sesi tersebut adalah Pengarah Global Kewangan Islam dan Negara-Negara OIC untuk Thomson Reuters, Rushdi Siddiqui dari Amerika Syarikat; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Nizwa, Jamil El Jaroudi dari Oman dan Pengarah Urusan Crescent Wealth, Talal Yassine dari Australia. Menurut Zeti, forum itu membincangkan tentang manfaat kewangan Islam kerana salah harga risiko dalam sistem kewangan global sekarang adalah antara faktor yang menyumbang kepada krisis ekonomi. "Kewangan Islam adalah mengenai perkongsian keuntungan dan risiko dengan pengurusan risiko yang sangat eksplisit. Pendedahan tahap tinggi terhadap sesuatu transaksi di dalam kewangan Islam membuatkan prospek salah harga risiko sangat kecil. "Penggunaannya dalam dunia Islam akan membabitkan perundangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, Akta Kewangan Islam dan Akta Takaful. Sekarang industri berada di bawah BAFIA dan kami menjangka Akta Perkhidmatan Kewangan Islam akan dimulakan tahun depan," katanya. Tambah Zeti, beliau gembira dengan prestasi kewangan mikro Islam di Malaysia yang menyaksikan peningkatan besar dengan menguasai 40 peratus daripada keseluruhan kewangan mikro negara. Menyentuh mengenai perkembangan ekonomi negara tahun hadapan, Zeti menyifatkan ia adalah positif berdasarkan usahasama sektor awam dan swasta yang erat melibatkan pelbagai projek yang kini berada di peringkat pelaksanaan dan pelaburan yang tinggi. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121207/ek_01/Tiada-impak-inflasi---Zeti#ixzz2Evxtn7OA © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: