Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) jana projek RM28b

Johor Bahru: Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-8 yang bermula semalam, menyaksikan enam memorandum persefahaman (MoU) dimeterai membabitkan projek dianggarkan bernilai RM28 bilion. Majlis pertukaran dokumen antara beberapa firma tempatan dan asing itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin negara yang hadir pada forum tahunan berkenaan. Antara memorandum berkenaan termasuk yang dimeterai antara Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan NanoMalaysia Bhd untuk bekerjasama bagi mengenal pasti penerima Program Offset dalam industri berasaskan teknologi nano daripada pelbagai sektor. Tandatangani perjanjian Sunway City Sdn Bhd memeterai perjanjian langganan dan pemegang saham bersama Iskandar Asset Sdn Bhd untuk mereka bentuk konsep, mengurus, melaksana dan memajukan projek Sungai Pendas yang mempunyai potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM12 bilion. UEM Land Bhd pula memeterai MoU bersama firma China, Chinamall Holding Pt Ltd untuk membangunkan China Mall, iaitu sebuah pusat dagangan dan pameran produk keluaran republik itu di Nusajaya, Iskandar Malaysia dengan nilai anggaran RM562 juta. Pada masa sama, UEM Land juga memeterai perjanjian kerjasama dengan Iskandar Investment Bhd (IIB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) untuk melaksana infrastruktur komunikasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta beberapa perkhidmatan telekomuninasi bagi merealisasikan aspirasi Nusajaya sebagai bandar raya pintar dan terhubung. Usaha sama juga termeterai bagi kerjasama Infrastruktur dan Perkhidmatan Bandar Raya Pintar+Terhubung di Nusajaya antara UEM Land, IIB, TM, Centions Co Ltd dan Cisco System International BV untuk meninjau peluang menyediakan prasarana bandar raya pintar, menubuhkan sebuah syarikat operasi perkhidmatan terurus serta menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Global (GIC) Nusajaya. Perjanjian terakhir membabitkan pembangunan Motorsport City bernilai RM3.5 bilion di Gerbang Nusajaya yang dimeterai antara UEM Land dan firma Singapura, Fastrack Autosport Pt Ltd. Pada majlis pertukaran dokumen berkenaan, pemandu kereta lumba Formula One (F1) McLaren, Lewis Hamilton menghadiahkan cenderamata sepasang jaket yang ditandatanganinya kepada Najib bagi pihak UEM Land. Pelumba kelahiran United Kingdom itu hadir sebagai tanda sokongannya terhadap projek Motorsport City. Forum tiga hari itu, disertai lebih 2,000 delegasi dari 86 negara. Antara pemimpin yang hadir adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Thurman Shanmugaratnam dan Presiden Comoros, Dr Ikililou Dhoinine. sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/WIEFjanaprojekRM28b/Article

Comments

Popular Posts