Tuesday, January 15, 2013

JKSM halusi kaedah kendali harta al-Mafqud

PUTRAJAYA 14 Jan. - Satu kaedah yang sesuai akan dikenal pasti untuk mengendalikan harta pemilik yang tidak diketahui sama ada masih hidup atau mati (al-Mafqud) yang kini dianggarkan bernilai berbilion ringgit. Kaedah yang sedang diperhalusi oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu amat penting bagi menyelesaikan permasalahan pembahagian harta kepada waris berikutan status pemilik yang tidak diketahui. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, secara umumnya, apabila seseorang (umat Islam) meninggal dunia tanpa waris, hartanya akan terus ke Baitulmal. “Jadi dalam situasi itu (al-Mafqud), yang mana sepatutnya kita tempatkan harta tersebut dan juga cara pengurusan serta pentadbirannya agar tidak menyalahi hukum agama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan pegawai JKSM di sini hari ini. Dalam undang-undang pusaka Islam, orang yang hilang atau ghaib tanpa kita ketahui sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia disebut sebagai al-Mafqud. Mafqud berasal daripada perkataan Arab, bermaksud ‘hilang’. Sehubungan itu, Jamil Khir berkata, JKSM akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi mengenal pasti pendekatan yang selaras dengan hukum agama. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130115/dn_17/JKSM-halusi-kaedah-kendali-harta-al-Mafqud#ixzz2I65xxRGj © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: