Tuesday, February 19, 2013

Basel III: bank asia pasifik penuhi syarat

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Bank-bank di Asia Pasifik diunjur menjadi peneraju pelaksanaan Basel III pada 2013, demikian menurut Standard & Poor's Ratings Services (S&P). S&P berkata, kebanyakan bank di Asia Pasifik dapat mematuhi syarat baharu reformasi modal Basel III tanpa kesukaran yang ketara, terutamanya disebabkan modal teras yang kukuh. Antara anggota Jawatankuasa Basel mengenai Pemantauan Bank (BCBS), kebanyakan negara di Asia Pasifik sudah menerbitkan set akhir peraturan modal Basel III berkuat kuasa bulan ini. Berikutan itu, bank-bank di Asia akan mengguna pakar peraturan modal baharu mendahului rakan global mereka; Amerika Syarikat (AS) sudah menangguhkan pelaksanaan dan jadual waktu reformasi modal Basel III, dan draf akhir masih dalam perbincangan di Kesatuan Eropah. "Syarat baharu modal Basel III yang dilaksanakan oleh pengawal atur di Asia Pasifik sudah laksanakan lebih ketat berbanding di kebanyakan negara lain," kata penganalisis kredit S&P Naoko Nemoto dalam satu kenyataan. Beliau bagaimanapun berkata, bank dalam sistem pertumbuhan tinggi seperti India dan China berhadapan cabaran dalam mengekalkan atau menambah nisbah modal untuk seiring dengan pertumbuhan aset risiko. "Berdasarkan andaian tertentu, kami menganggarkan kekurangan modal bank besar di kedua-dua negara mampu mencecah kira-kira AS$100 bilion pada 2019. "Selain itu, beberapa bank dalam pasaran matang dan bermargin rendah seperti Jepun dan Taiwan, perlu meningkatkan kapasiti pendapatan dan keupayaan untuk menjana modal bagi memenuhi standard minimum Basel III bagi nisbah modal Ekuiti Bersama Tahap 1," katanya. Reformasi modal Basel III akan menggalakkan bank-bank mengukuhkan modal, yang merupakan faktor penarafan yang positif. Selain itu syarat modal yang lebih tinggi akan melindungi sistem perbankan daripada risiko yang berkaitan dengan akses pertumbuhan kredit dan inflasi aset yang merupakan risiko di Asia Pasifik. Sementara itu, reformasi modal boleh memaksa bank-bank memberi tumpuan ke atas usaha mereka untuk mengoptimumkan penggunaan modal dan penetapan premium harga mencukupi, dengan potensi kesan ke atas pelbagai sektor. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130122/ek_02/Basel-III:-bank-asia-pasifik-penuhi-syarat#ixzz2LMdIScAA © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: