Ekonomi negara atasi unjuran

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Malaysia mencatat prestasi yang baik pada 2012, dengan Ernst and Young mengunjurkan pertumbuhan 5.1 peratus setahun penuh, meningkat daripada 4.5 peratus mengikut unjuran awal, kata Peneraju Pasaran Malaysianya, Azwan Baharuddin. "Penyumbang utama pertumbuhan ini termasuk pengembangan dasar fiskal dan sokongan kukuh kerajaan yang merangsang pelaburan dan perbelanjaan pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, pelaburan sangat pesat, berkembang lebih 20 peratus pada suku ketiga, didorong oleh sokongan kerajaan yang kukuh menerusi projek infrastruktur, manakala penggunaan swasta juga mengekalkan pertumbuhan yang padu pada suku ketiga pada 8.5 peratus. "Walaupun kami menjangkakan pertumbuhan akan menyederhana pada suku pertama 2013, dasar kerajaan yang menyokong dalam pembangunan bakat dan penerimaan teknologi, akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan transformasi dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang," katanya. Katanya, di peringkat rantau ini, pasaran pertumbuhan pesat (RGM) berada pada momentum pertumbuhan tinggi, dijana oleh Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). RGM mengurangkan halangan perdagangan sejak 20 tahun lepas, membuka ekonomi masing-masing kepada perdagangan serta pemindahan teknologi, katanya. Beliau seterusnya berkata, dalam dekad akan datang, hubungan dua hala antara ekonomi membangun Asia akan terus meningkat memandangkan permintaan yang semakin tinggi untuk produk pengguna canggih hasil daripada pasaran kelas pertengahan yang meningkat. Azwan berkata, syarikat Malaysia secara konsisten memberi tumpuan ke atas dagangan di rantau ini, dengan banyak syarikat memilih untuk meluaskan perniagaan masing-masing di luar negara, terutama Indonesia dan Vietnam. "Hubungan perniagaan yang kukuh ini pastinya akan merangsang momentum pertumbuhan Malaysia. "Ia juga sejajar dengan perancangan rantau ini untuk menjayakan AEC yang bermatlamat mengubah rantau ini menjadi pusat pengeluaran dan pasaran tunggal menjelang 2015." Azwan berkata, Malaysia boleh menjangkakan permintaan kukuh yang berterusan ke atas komoditinya dan kedudukan pasaran domestik yang kukuh akan membantu merangsang peningkatan pendapatan pada 2013. "Daya pulih kewangan negara, faktor rizab antarabangsanya yang tinggi dan aliran pelaburan asing yang sihat, akan terus menjadi pemacu transformasi ekonomi Malaysia bagi menjadi negara maju menjelang 2020," katanya. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130216/ek_01/Ekonomi--negara-atasi-unjuran#ixzz2LMfRhtyp © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts