RM15 trilion transaksi elektronik

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Sejumlah 300 juta transaksi kewangan dengan nilai hampir RM15 trilion dilakukan oleh rakyat Malaysia menerusi saluran elektronik pada tahun lalu. Penolong Gabenor, Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, ia termasuklah perpindahan wang, pembayaran bil, pembelian barangan serta pembayaran pelaburan dalam pasaran kewangan dengan saluran paling popular adalah perbankan Internet. Katanya, pertumbuhan pesat transaksi dalam talian sejak sedekad lalu menyebabkan bank pusat menekankan aspek keselamatan semasa melakukan transaksi bagi memastikan kepentingan pengguna tidak diabaikan. Beliau berkata, transaksi yang selamat juga amat penting kepada ekonomi terutama dalam mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan. "Keyakinan pengguna merupakan asas penting kepada perbankan Internet sejak beberapa tahun lalu, namun kita tidak boleh memandang ringan kepada aspek keselamatan dan ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. "Kecanggihan teknologi dan inovasi bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna malah turut membuka lebih banyak peluang kepada penjenayah untuk mencipta kaedah-kaedah baharu untuk melakukan kesalahan siber," katanya semasa melancarkan Kempen Kesedaran Penipuan Perbankan Elektronik di sini hari ini. Kempen anjuran Persatuan Bank-Bank Malaysia itu merupakan satu inisiatif yang menghimpunkan kesemua bank-bank di negara ini dengan kerjasama CyberSecurity serta polis untuk memerangi penipuan dalam talian. " Kita semua tahu pihak bank telah melakukan pelaburan besar untuk meningkatkan sistem keselamatan masing-masing, namun pelanggan juga perlu memainkan peranan sendiri untuk mengelakkan diri daripada terjerat dengan penipuan siber," katanya. Sejak sedekad lalu, pembayaran elektronik telah meningkat secara purata sebanyak 23.4 peratus setahun. Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun wujud lebih banyak kesedaran di kalangan orang ramai mengenai isu penipuan secara online, bank-bank berpendapat bahawa usaha memerangi penipuan sedemikian tidak leka. "Kami menyedari keperluan untuk memberitahu orang ramai secara berterusan supaya mereka sentiasa menyedari dan mendapat maklum balas mengenai penipuan terbaharu. "Sebagai penyedia perkhidmatan bertanggung jawab sosial, bank-bank telah membelanjakan jumlah wang yang banyak di dalam belanjawan tahunan masing-masing bagi memastikan keselamatan perkhidmatan e-perbankan yang ditawarkan," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130116/ek_01/RM15-trilion-transaksi-elektronik#ixzz2LMdo8aqU © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts