Tahap kesedaran perlindungan harta intelek masih rendah

KOTA BHARU 14 Jan. - Tahap kesedaran rakyat, khasnya di kalangan peniaga di negara ini, terhadap hak mereka untuk mendapatkan perlindungan harta intelek masih rendah. Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Abdul Manan Ismail berkata, daripada 137,183 syarikat yang memohon mendaftar untuk mendapatkan sijil perlindungan daripada perbadanan itu tahun lepas, 65,516 adalah syarikat tempatan manakala 71,667 adalah syarikat asing. Katanya, pengusaha asing lebih menyedari kepentingan mereka mendapatkan perlindungan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan cop dagangan berbanding syarikat atau pengusaha tempatan. "Oleh itu, kita (MyIPO) sedang melancarkan gerakan penerangan dengan mengadakan kempen di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran di kalangan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Harta Intelek di sini hari ini. Antara fokus perbincangan dalam seminar itu ialah mengenai sistem perlindungan harta intelek di negara ini yang merangkumi cop dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi selain menyentuh perkembangan harta intelek dan perkongsian pengalaman antara peserta. Abdul Manan berkata, MyIPO sebuah agensi yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 2008 telah mengadakan 156 program kempen kesedaran dalam dan luar negara. "Di bawah Bajet 2013, kerajaan memberi komitmen berterusan menyokong pembangunan harta intelek dengan menyediakan peruntukan RM19 juta. "Peruntukan itu ialah untuk memperkenalkan model Penilaian Harta Intelek yang bertujuan melatih penilai-penilai harta intelek tempatan terutama bagi pihak perbankan," katanya. Penilaian itu boleh dijadikan sebagai instrumen untuk menilai harta intelek secara komersial dan dijadikan cagaran bagi mendapatkan pembiayaan dari institusi kewangan, katanya. Katanya, berdasarkan perangkaan, MyIPO mendaftarkan 107,008 syarikat cop dagangan daripada 137,183 permohonan syarikat dari dalam dan luar negara sejak 2008 hingga 2012. Abdul Manan berkata, MyIPO turut mengenal pasti produk yang dikeluarkan rakyat Kelantan yang boleh didaftar di bawah petunjuk geografi atau reka bentuk perindustrian Rombongan pegawai agensi itu turut meninjau kawasan perusahaan industri budu di Kampung Geting, Tumpat dan perusahaan songket di Kampung Penambang di sini, bagi melihat dari dekat potensi perusahaan itu mengikut piawaian sijil cop dagang harta intelek yang diluluskan. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130115/ek_08/Tahap-kesedaran-perlindungan-harta-intelek-masih-rendah#ixzz2LMe3cKdy © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts