Saturday, March 30, 2013

Pendapatan isi rumah meningkat

Oleh THOMAS CHONG pengarang@utusan.com.my PUTRAJAYA 27 Mac - Pendapatan isi rumah bulanan purata di Malaysia meningkat secara menyeluruh sebanyak 6.6 peratus setahun di bandar dan 6.4 peratus di luar bandar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah bandar daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 pada 2012. Katanya, pendapatan isi rumah luar bandar pula bertambah daripada RM2,545 kepada RM3,080 dalam tempoh yang sama. ''Ini merupakan petanda kejayaan kerajaan dalam usaha menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar bagi memenuhi kepesatan urbanisasi yang menempatkan lebih 71 peratus penduduk. ''Peningkatan di luar bandar antara lain disumbangkan melalui usaha Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan pelbagai infrastruktur selain penawaran program dan skim yang boleh menjana pendapatan penduduk," katanya ketika mengumumkan hasil PPIR di sini hari ini. Turut hadir Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan Malaysia, Dr. Abdul. Rahman Hasan dan Ketua Pengarah EPU, Datuk Dr. Rahanat Bivi Yusoff . Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu mengumumkan pendapatan isi rumah bulanan negara keseluruhannya meningkat secara ketara iaitu daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 pada 2012. Nor Mohamed berkata, semua negeri mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur mempunyai kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus. Beliau berkata, banyak negeri termasuk Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan mencatatkan kadar pertumbuhan mengatasi kadar kebangsaan sebanyak 7.2 peratus. Dari segi kategori etnik pula, Nor Mohamed berkata, pendapatan isi rumah bulanan bumiputera meningkat 6.9 peratus kepada RM4,457 sebulan manakala Cina dan India meningkat lapan peratus dan sembilan peratus, masing-masing kepada RM6,366 dan RM5,233. Katanya, Pekali Gini yang diguna untuk mengukur jurang pendapatan mencatatkan pengurangan daripada 0.441 pada 2009 kepada 0.431 pada 2012 sekali gus menunjukkan pengagihan pendapatan kalangan isi rumah yang bertambah baik. ''Pekali Gini bagi bumiputera terus bertambah baik daripada 0.440 (2009) kepada 0.421 (2012) dan Cina bertambah baik daripada 0.425 (2009) kepada 0.422 (2012). ''Pekali Gini bagi kaum India bagaimanapun menunjukkan peningkatan daripada 0.424 (2009) kepada 0.443 (2012) yang mencerminkan peningkatan ketidakseimbangan dalam kaum India. ''Keadaan dalam kaum India ini disebabkan pertumbuhan pendapatan lebih pantas bagi kumpulan berpendapatan tinggi dan sederhana berbanding kumpulan berpendapatan rendah," katanya. Mengenai kemiskinan, beliau memberitahu, pembangunan sosioekonomi yang menyeluruh membolehkan kemiskinan berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus pada 2012 manakala isi rumah miskin berkurangan 52.7 peratus daripada 228,400 kepada 108,000. ''Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada dua peratus pada 2015 telah pun tercapai tiga tahun lebih awal,'' katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130328/ek_01/Pendapatan-isi-rumah-meningkat#ixzz2P68jMfer © Utusan Melayu (M) Bhd

Bank pusat serantau pantau perbankan bayangan

KUALA LUMPUR 28 Mac - Bank Negara bersama dengan bank-bank pusat Asia lain memandang serius aktiviti perbankan bayangan dalam sistem kewangan di rantau ini. Ini kerana, ia menguasai kira-kira 25 peratus daripada jumlah pengantara kewangan global. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, maklumat berkaitan dengan perbankan bayangan itu masih tidak mencukupi, justeru pembuat dasar Asia akan menubuhkan pasukan petugas untuk mengumpul maklumat mengenainya. "Perbankan bayangan pada ketika ini masih pada skala yang kecil, namun jika tidak dibendung, ia akan membesar dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Perundingan Serantau Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) untuk Asia di sini hari ini yang turut dihadiri Gabenor Bank Korea, Kim Choong-Soo. Perbankan bayangan berbeza dengan perbankan tradisional dan ia ditakrifkan sebagai pengantaraan kredit yang dijalankan oleh entiti tertentu dan melibatkan aktiviti luar sistem perbankan biasa seperti dana lindung nilai dan pasaran mata wang. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130329/ek_01/Bank-pusat-serantau-pantau-perbankan-bayangan#ixzz2P68FDoK4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia ranking No. 1 beri pinjaman modal

KOTA BHARU 29 Mac - Bank Dunia mengiktiraf Malaysia di ranking No. 1 dunia sebagai negara terbaik dan paling banyak memberikan pinjaman modal kepada usahawan dengan jumlah mencecah ratusan bilion ringgit. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, institusi kewangan dunia itu turut meletakkan Malaysia di kedudukan keempat sebagai negara yang sentiasa menjaga pelabur dan pelaburan yang masuk ke dalam negara daripada mengalami kerugian atau muflis. Beliau berkata, kajian yang dihasilkan institusi itu juga menempatkan Malaysia di tangga ke 12 sebagai negara paling banyak menyediakan pelbagai bantuan perniagaan kepada para usahawan dalam setiap sektor perniagaan yang ada. "Ini menunjukkan kerajaan kita begitu prihatin sebab kita tidak boleh lari daripada hakikat modal itu penting, walaupun ada kelayakan dan semangat untuk berniaga tapi tiada modal itu sangat susah. "Jadi adunan itu penting, penyediaan modal kepada mereka yang betul-betul bersemangat dan layak serta berkepakaran kita utamakan sebab itulah Malaysia diletakkan di kedudukan nombor satu di dunia," katanya ketika ditemui selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit sebagai panelis Klinik Usahawan Dr. Azizan Osman di sini hari ini. Beliau berkata, pelbagai bantuan perniagaan yang disediakan kerajaan adalah sokongan kepada semangat golongan muda di negara ini yang semakin minat menceburi bidang perniagaan terutama dengan adanya akses yang mudah ke dalam Internet. Jelas beliau, kepesatan ekonomi negara sekarang diharap mampu menjadi batu loncatan kepada golongan bumiputera mencapai milikan ekuiti sehingga 30 peratus pada tahun 2020 berbanding 23.9 peratus yang sudah dicapai sekarang. Tambahnya, usaha ke arah itu telah dilaksanakan dengan penubuhan beberapa badan bertindak seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) bagi memantau perkembangan ekonomi golongan itu. "Kita memang meningkat setiap tahun dan kalau dilihat sejak akhir-akhir ini peningkatan itu semakin ketara berbanding dulu kita lekat di tahap 18 peratus sahaja pada tahun 1990 meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyasarkan kita sudah capai 30 peratus ketika itu. "Idea kerajaan dengan penubuhan Teraju dan MTAB menjadikan kita lihat peningkatan itu semakin bagus dan sekarang sudah capai 23.9 peratus maka saya yakin dalam tujuh atau lapan tahun lagi kita boleh mencapai sasaran enam peratus lagi atau lebih daripada itu," ulas beliau. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130330/ek_06/Malaysia-ranking-No.-1-beri-pinjaman-modal#ixzz2P67fB9Hh © Utusan Melayu (M) Bhd

Rizab Antarabangsa BNM RM429b

Rizab Antarabangsa BNM RM429b KUALA LUMPUR 7 Mac - Rizab antarabangsa Bank Negara berjumlah RM429 bilion atau AS$140.3 bilion setakat 28 Februari. Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata, kedudukan rizab mencukupi untuk membiaya 9.5 bulan import tertangguh dan 4.6 kali hutang luar jangka pendek. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130308/ek_05/Rizab-Antarabangsa-BNM-RM429b#ixzz2P66T6Aku © Utusan Melayu (M) Bhd

Ekonomi tumbuh 5.6% tahun 2012

Ekonomi tumbuh 5.6% tahun lalu Oleh Fadzil Zainol Ariffin ekonomi@utusan.com.my - KUALA LUMPUR 20 Feb. - Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu berbanding 5.1 peratus pada 2011. Pencapaian itu didorong oleh pertumbuhan yang memberangsangkan bagi suku keempat tahun lalu sebanyak 6.4 peratus yang disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berterusan. Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), pada suku keempat, pelaburan kekal kukuh dan menjadi pendorong utama pertumbuhan. Pertumbuhan pada suku tersebut juga dibantu oleh eksport bersih yang mencatat kemerosotan yang lebih kecil. Jelas BNM, pelaburan sektor swasta pada suku keempat meningkat sebanyak 20.2 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal di dalam sub sektor perkilangan berorientasikan pasaran dalam negeri dan perkhidmatan berkaitan pengguna, iaitu telekomunikasi, hartanah dan penerbangan serta aktiviti sektor minyak dan gas. Penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.1 peratus pada suku keempat, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sentimen pengguna yang bertambah baik. "Pertumbuhan yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun 2012 mencerminkan kesan daripada pelbagai bantuan Kerajaan kepada sektor isi rumah yang diberikan pada tempoh tersebut," menurut kenyataan itu. Sementara itu, menurut kenyataan BNM, rizab antarabangsa BNM berjumlah RM427.1 bilion sehingga 31 Disember 2012. Kedudukan itu meningkat kepada RM428.6 bilion sehingga Januari 2013. Paras tersebut memadai untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.6 kali hutang luar negeri jangka pendek. Menurut bank pusat itu lagi, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku keempat 2012. Pada paras itu, keadaan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi. Menyentuh mengenai prestasi nilai ringgit, matawang menambah nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dolar pada suku keempat. Ringgit juga menambah nilai berbanding yen (11.1 peratus) dan pound sterling (0.8 peratus) tetapi menyusut nilai berbanding euro (-1.9 peratus). "Dari 1 Januari hingga 18 Februari 2013, ringgit menambah nilai berbanding dengan yen (8.0 peratus) dan paun sterling (3.0 peratus) tetapi menyusut nilai berbanding dengan dolar (-1.3 peratus) dan euro (-2.2 peratus). "Berbanding dengan mata wang serantau, ringgit menambah nilai berbanding dengan won Korea sebanyak 0.2 peratus dan dolar Singapura sebanyak 0.1 peratus. "Tetapi menyusut nilai berbanding dengan rupiah Indonesia, renminbi China, peso Filipina dan baht Thailand antara -0.9 peratus hingga -3.6 peratus," jelas BNM. Tambah kenyataan itu, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang yang akan dipacu oleh pengembangan sektor swasta yang mampan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130221/ek_01/Ekonomi-tumbuh-5.6-tahun-lalu#ixzz2P65zqgtA © Utusan Melayu (M) Bhd