Bank pusat serantau pantau perbankan bayangan

KUALA LUMPUR 28 Mac - Bank Negara bersama dengan bank-bank pusat Asia lain memandang serius aktiviti perbankan bayangan dalam sistem kewangan di rantau ini. Ini kerana, ia menguasai kira-kira 25 peratus daripada jumlah pengantara kewangan global. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (gambar) berkata, maklumat berkaitan dengan perbankan bayangan itu masih tidak mencukupi, justeru pembuat dasar Asia akan menubuhkan pasukan petugas untuk mengumpul maklumat mengenainya. "Perbankan bayangan pada ketika ini masih pada skala yang kecil, namun jika tidak dibendung, ia akan membesar dan memberi kesan kepada ekonomi negara," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Perundingan Serantau Lembaga Kestabilan Kewangan (FSB) untuk Asia di sini hari ini yang turut dihadiri Gabenor Bank Korea, Kim Choong-Soo. Perbankan bayangan berbeza dengan perbankan tradisional dan ia ditakrifkan sebagai pengantaraan kredit yang dijalankan oleh entiti tertentu dan melibatkan aktiviti luar sistem perbankan biasa seperti dana lindung nilai dan pasaran mata wang. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130329/ek_01/Bank-pusat-serantau-pantau-perbankan-bayangan#ixzz2P68FDoK4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts