Ekonomi tumbuh 5.6% tahun 2012

Ekonomi tumbuh 5.6% tahun lalu Oleh Fadzil Zainol Ariffin ekonomi@utusan.com.my - KUALA LUMPUR 20 Feb. - Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus pada tahun lalu berbanding 5.1 peratus pada 2011. Pencapaian itu didorong oleh pertumbuhan yang memberangsangkan bagi suku keempat tahun lalu sebanyak 6.4 peratus yang disokong oleh pengukuhan permintaan domestik yang berterusan. Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM), pada suku keempat, pelaburan kekal kukuh dan menjadi pendorong utama pertumbuhan. Pertumbuhan pada suku tersebut juga dibantu oleh eksport bersih yang mencatat kemerosotan yang lebih kecil. Jelas BNM, pelaburan sektor swasta pada suku keempat meningkat sebanyak 20.2 peratus, disokong oleh perbelanjaan modal di dalam sub sektor perkilangan berorientasikan pasaran dalam negeri dan perkhidmatan berkaitan pengguna, iaitu telekomunikasi, hartanah dan penerbangan serta aktiviti sektor minyak dan gas. Penggunaan swasta mencatat pertumbuhan 6.1 peratus pada suku keempat, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sentimen pengguna yang bertambah baik. "Pertumbuhan yang lebih kukuh pada separuh pertama tahun 2012 mencerminkan kesan daripada pelbagai bantuan Kerajaan kepada sektor isi rumah yang diberikan pada tempoh tersebut," menurut kenyataan itu. Sementara itu, menurut kenyataan BNM, rizab antarabangsa BNM berjumlah RM427.1 bilion sehingga 31 Disember 2012. Kedudukan itu meningkat kepada RM428.6 bilion sehingga Januari 2013. Paras tersebut memadai untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.6 kali hutang luar negeri jangka pendek. Menurut bank pusat itu lagi, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.00 peratus pada suku keempat 2012. Pada paras itu, keadaan monetari terus menyokong aktiviti ekonomi. Menyentuh mengenai prestasi nilai ringgit, matawang menambah nilai sebanyak 0.3 peratus berbanding dolar pada suku keempat. Ringgit juga menambah nilai berbanding yen (11.1 peratus) dan pound sterling (0.8 peratus) tetapi menyusut nilai berbanding euro (-1.9 peratus). "Dari 1 Januari hingga 18 Februari 2013, ringgit menambah nilai berbanding dengan yen (8.0 peratus) dan paun sterling (3.0 peratus) tetapi menyusut nilai berbanding dengan dolar (-1.3 peratus) dan euro (-2.2 peratus). "Berbanding dengan mata wang serantau, ringgit menambah nilai berbanding dengan won Korea sebanyak 0.2 peratus dan dolar Singapura sebanyak 0.1 peratus. "Tetapi menyusut nilai berbanding dengan rupiah Indonesia, renminbi China, peso Filipina dan baht Thailand antara -0.9 peratus hingga -3.6 peratus," jelas BNM. Tambah kenyataan itu, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang yang akan dipacu oleh pengembangan sektor swasta yang mampan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130221/ek_01/Ekonomi-tumbuh-5.6-tahun-lalu#ixzz2P65zqgtA © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts