Malaysia ranking No. 1 beri pinjaman modal

KOTA BHARU 29 Mac - Bank Dunia mengiktiraf Malaysia di ranking No. 1 dunia sebagai negara terbaik dan paling banyak memberikan pinjaman modal kepada usahawan dengan jumlah mencecah ratusan bilion ringgit. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, institusi kewangan dunia itu turut meletakkan Malaysia di kedudukan keempat sebagai negara yang sentiasa menjaga pelabur dan pelaburan yang masuk ke dalam negara daripada mengalami kerugian atau muflis. Beliau berkata, kajian yang dihasilkan institusi itu juga menempatkan Malaysia di tangga ke 12 sebagai negara paling banyak menyediakan pelbagai bantuan perniagaan kepada para usahawan dalam setiap sektor perniagaan yang ada. "Ini menunjukkan kerajaan kita begitu prihatin sebab kita tidak boleh lari daripada hakikat modal itu penting, walaupun ada kelayakan dan semangat untuk berniaga tapi tiada modal itu sangat susah. "Jadi adunan itu penting, penyediaan modal kepada mereka yang betul-betul bersemangat dan layak serta berkepakaran kita utamakan sebab itulah Malaysia diletakkan di kedudukan nombor satu di dunia," katanya ketika ditemui selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit sebagai panelis Klinik Usahawan Dr. Azizan Osman di sini hari ini. Beliau berkata, pelbagai bantuan perniagaan yang disediakan kerajaan adalah sokongan kepada semangat golongan muda di negara ini yang semakin minat menceburi bidang perniagaan terutama dengan adanya akses yang mudah ke dalam Internet. Jelas beliau, kepesatan ekonomi negara sekarang diharap mampu menjadi batu loncatan kepada golongan bumiputera mencapai milikan ekuiti sehingga 30 peratus pada tahun 2020 berbanding 23.9 peratus yang sudah dicapai sekarang. Tambahnya, usaha ke arah itu telah dilaksanakan dengan penubuhan beberapa badan bertindak seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) bagi memantau perkembangan ekonomi golongan itu. "Kita memang meningkat setiap tahun dan kalau dilihat sejak akhir-akhir ini peningkatan itu semakin ketara berbanding dulu kita lekat di tahap 18 peratus sahaja pada tahun 1990 meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyasarkan kita sudah capai 30 peratus ketika itu. "Idea kerajaan dengan penubuhan Teraju dan MTAB menjadikan kita lihat peningkatan itu semakin bagus dan sekarang sudah capai 23.9 peratus maka saya yakin dalam tujuh atau lapan tahun lagi kita boleh mencapai sasaran enam peratus lagi atau lebih daripada itu," ulas beliau. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130330/ek_06/Malaysia-ranking-No.-1-beri-pinjaman-modal#ixzz2P67fB9Hh © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts