Monday, May 13, 2013

Mahirkan diri urus hutang

Oleh MELATI MOHD ARIFF - PINJAMAN peribadi dan kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyi hutang mungkin tidak sedap didengar. Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis. Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya. Katanya, rakyat negara ini perlu diberi kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan termasuk hutang. Tambahan sekarang, institusi kewangan itu sendiri menggalakkan orang berhutang termasuk memberi kemudahan kad kredit. “Ada institusi kewangan yang begitu mudah menawarkan pinjaman kepada pemegang akaun mereka walaupun tidak diminta. Bagi yang mudah terpengaruh, akan menerima tawaran tersebut dan akhirnya terjebak dengan hutang yang tidak berkesudahan,” tegas Mohd. Yusof. Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau kegiatan institusi kewangan seperti itu kerana ia adalah amalan yang tidak sihat lantaran secara terang-terangan menggalakkan orang berhutang. Pada masa yang sama kerajaan dilihat turut tegas mengambil langkah memerangi kegiatan ah long atau ceti haram kerana ia adalah antara punca mudah berhutang. Mohd. Yusof lalu merujuk kepada satu kenyataan BNM apabila sehingga akhir November 2010, hutang isi rumah mencecah sebanyak RM577 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion pinjaman peribadi dan RM225 bilion pula pinjaman perumahan. Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan. Sekiranya orang yang berhutang gagal menjelaskan ansuran pinjaman tersebut dua kali berturut-turut, institusi kewangan menghantar notis kepada si berhutang, katanya. Tambahnya, jika jumlahnya melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis! Beliau merujuk kepada statistik kes muflis Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis. Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain. Statistik daripada sumber yang sama menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewa beli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus) dan hutang kad kredit (5.50 peratus). Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus. KEGAGALAN melunaskan hutang ah long mengancam keamanan hidup dan keselamatan nyawa seseorang peminjam. Menurut Mohd. Yusof, FOMCA memang dari semasa ke semasa memantau sikap suka berhutang dan ia merangkumi semua peringkat masyarakat dan kaum. Pemantauan itu dilaksanakan susulan daripada program pengurusan kewangan dengan BNM oleh Fomca, yang bermula Jun 2010 hingga April ini. “Data berkaitan kadar pinjaman dan hutang rakyat Malaysia digunakan semasa program pengurusan kewangan untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang tabiat buruk berhutang. Selain itu, FOMCA dengan kerjasama Bank Negara sedang menerbitkan buletin Ringgit secara bulanan. “Buletin ini memuatkan rencana mengenai pengurusan kewangan peribadi,” tambah Mohd Yusof. Mohd. Yusof berkata, memang ada agensi dan badan bukan kerajaan mengadakan program pengurusan kewangan bagi golongan muda dan dewasa. Pihak berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Sekuriti melalui Securities Industry Development Corporation dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Bagi mengelakkan pertindanan dari segi sasaran program dan bagi menyelaraskan program pengurusan kewangan, FOMCA menurut Mohd. Yusof, telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan (SPKK). Suruhanjaya tersebut, katanya perlu memberi tumpuan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terharap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat dan mengikut golongan sasar. Tidak ketinggalan SPKK perlu mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta serta akhir sekali melakukan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan. SPKK juga perlu mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan. Di samping itu, ia juga perlu membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan. “Ia juga perlu mewujudkan satu talian tol bebas untuk orang ramai mendapatkan bahan yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan,” kata Mohd. Yusof. Dari segi mengurus hutang, beliau berkata ia mesti dikendalikan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA). Beliau menambah pengguna juga hendaklah dimaklumkan tentang semua caj dan sebarang caj yang melibatkan pengguna sebelum caj tersebut dikenakan. “Dalam semua hal, pengguna perlu dilindungi oleh Bank Negara dan semua kontrak hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami,” katanya. Pada masa yang sama, Mohd. Yusof berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan yang ada untuk keperluan masa depan termasuk untuk kecemasan. Pakej simpanan yang perlu diberi pendedahan ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, insurans hayat/takaful (termasuk yang menyediakan pakej simpanan) serta amanah saham. Beliau turut menyarankan supaya pelaburan terhadap emas perlu diberi pertimbangan memandangkan pada masa ini harga emas semakin meningkat, selain nilainya yang stabil. – Bernama Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0504&pub=kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2TAs6hw77 Hakcipta terpelihara

Rakyat Malaysia Kurang faham rancang kewangan persaraan

Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat kewangan peribadi, melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan, demikian menurut satu kaji selidik CitiBank Bhd. Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q), mendapati berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama, keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 mata daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan skor 49 mata dan ke bawah. “Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kewangan dari sanak saudara dan anak-anak. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan satu portfolio yang pelbagai yang bersesuaian,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Globalnya, Timothy Johnson kepada pemberita di sini hari ini. Kaji selidik FIN-Q itu yang terdiri daripada 400 temu ramah dalam talian mempunyai 30 soalan setiap satu di seluruh Malaysia, dilaksanakan untuk menentukan tahap pemahaman di kalangan rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan mereka. Di dalam bidang kewangan peribadi hanya 28 peratus dari responden mengawal peruntukan bajet mereka, 37 peratus berjimat manakala 46 peratus cuba berjimat dan membuat peruntukan perbelanjaan. “Di segi tabiat melabur pengurusan wang dan kewangan peribadi, sebanyak 37 peratus mengetahui subjeknya dan 55 peratus mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan dilakukan dengan enam bulan pendapatan mereka,” kata Johnson. Sebaliknya, kira-kira 60 peratus tidak berasa yakin dengan penjimatan untuk persaraan mereka, dengan lebih ramai wanita melahirkan kebimbangan tentangnya. Hanya 22 peratus dari responden mempunyai rancangan persaraan yang rasmi manakala lebih daripada seperempat tidak ada idea atau tidak memulakan lagi satu rancangan persaraan manakala 45 peratus mempercayai mereka akan menerima bantuan kewangan dari anak-anak mereka. Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia berpandangan mereka mempunyai pengaturan yang positif terhadap kualiti hidup mereka pada masa ini dan kewangan pada masa hadapan, tetapi secara realitinya, ramai yang tidak pasti mengenai keselamatan kewangan mereka. “Kami melihat satu trend di seluruh dunia terutamanya dalam pasaran yang lebih maju. Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ianya akan menjadi trend di Malaysia,” katanya. – Bernama Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0206&pub=kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2TAr8M0pc Hakcipta terpelihara

Harga timah ditutup tinggi kepada AS$20,800 setan metrik

KUALA LUMPUR: Harga timah di Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) meningkat AS$250 untuk ditutup kepada AS$20,800 setan metrik hari ini sejajar dengan peningkatan harga logam itu di Bursa Logam tandem (LME), kata seorang peniaga. Harga timah di LME meningkat AS$125 untuk ditutup kepada AS$20,850 setan metrik. "Peningkatan harga di PTKL lebih tinggi daripada di LME berikutan pembetulan teknikal," kata peniaga itu. Semasa dibuka, bidaan dicatatkan 95 tan metrik berbanding penawaran 25 tan metrik manakala perolehan meningkat kepada 60 tan metrik berbanding 43 tan metrik pada Jumaat. Peniaga itu berkata pasaran tempatan dicatatkan lebih kukuh hari ini dengan dominasi dagangan oleh pedagang Eropah dan diikuti oleh pedagang Jepun dan tempatan. Premium antara PTKL dan LME melebar kepada AS$340 setan metrik berbanding US$215 setan metrik pada minggu lepas. - BERNAMA sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HargatimahditutuptinggikepadaAS_20_800setanmetrik/Article/index_html

Kedudukan kewangan negara masih kukuh

BACHOK 4 Mei - Kedudukan kewangan negara sekarang masih kukuh dengan pertumbuhan antara 5 hingga 6 peratus tahun ini, berbanding 5.2 peratus pada tahun lalu. Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (Perbendaharaan), Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Seriger Abdullah berkata, negara masih memiliki keupayaan untuk melaksanakan projek pembangunan seperti yang dirancang. Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa negara akan muflis hanyalah spekulasi yang tidak berasaskan fakta sebenar. "Pertumbuhan itu hasil daripada pelbagai sumber, antaranya kutipan cukai dalam negeri termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam rangka lawatan dua hari ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM) Kelantan di sini hari ini. KDRM sebelum ini menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM34 bilion tahun ini selepas mencatatkan kutipan terbaik pada tahun lepas iaitu RM32.2 bilion. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai berikutan prestasi kutipan yang dicatatkan oleh agensi berkenaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sudah melebihi sasaran iaitu hampir 11 peratus. Sehubungan perkara itu, Mohd. Irwan berkata, pengurusan kewangan yang cemerlang membolehkan defisit negara berupaya dikurangkan kepada empat peratus tahun ini berbanding 4.5 peratus tahun lepas. Mengenai hutang negara, beliau berkata, jumlahnya kurang daripada 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu masih rendah dan berada pada paras terbaik berbanding dengan negara-negara jiran, ada yang hampir 100 peratus. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130505/ek_01/Kedudukan-kewangan-negara-masih-kukuh---Mohd.-Irwan#ixzz2TAlempbx © Utusan Melayu (M) Bhd

Fahami kaedah pembiayaan alternatif

Oleh Luqman Zubdi - SATU lagi kaedah pembiayaan alternatif ialah menerusi usaha sama dengan jaringan rakan perniagaan yang lebih luas untuk menembusi dan memenuhi permintaan tinggi pasaran antarabangsa. Tanpa kemudahan yang disediakan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi secara bersendirian secara amnya, mungkin tidak berupaya untuk melangkah jauh. Apabila berlakunya ketidakstabilan dalam pasaran, risiko untung rugi tukaran asing akan menjadi lebih ketara. PKS boleh melindungi perniagaan daripada kerugian akibat terdedah kepada risiko tukaran asing dengan menetapkan struktur pengurusan risiko tukaran asing. Mereka boleh mendapatkan khidmat institusi kewangan yang arif dalam pengurusan risiko tukaran asing untuk menyampaikan maklumat terkini pasaran yang bertepatan kerana mereka mempunyai wakil penjual khusus yang amat memahami corak pasaran tukaran asing, selain pasukan produk berstruktur yang berpengalaman dalam urusan opsyen tukaran asing dan produk berstruktur. PKS boleh mendapatkan khidmat nasihat pengurusan tunai institusi kewangan bagi membantu menguruskan keperluan perniagaan harian masing-masing. Alat pengurusan tunai ini pada asasnya membantu mereka menguruskan aliran tunai dengan mudah dan berkesan sambil memanfaatkan sepenuhnya tunai di dalam tangan. Perkhidmatan yang disediakan termasuk: n Perbankan Internet yang pantas dan selamat untuk membantu perniagaan menguruskan akaun masing-masing dengan capaian kepada semua maklumat akaun yang berkenaan di dalam internet. n Perbankan internet membolehkan PKS mencapai maklumat akaun untuk pertanyaan baki terkini dan menyempurnakan urusan pembayaran dan kutipan hutang di antara pembekal dan pembeli, merupakan antara perkhidmatan yang boleh menjimatkan kos bagi PKS. n Perkhidmatan Pembayaran GIRO untuk pembayaran pukal antara bank, terutamanya bagi pembayaran gaji, tuntutan, bonus dan lain-lain menerusi akaun syarikat dengan bank. n Akaun Mata Wang Asing adalah akaun yang membantu PKS mengurangkan pendedahan tukaran asing dengan mendapatkan perlindungan nilai seadanya dalam mata wang yang disediakan. Dalam persekitaran pasaran yang kurang memberangsangkan masa kini, pengeksport dan pengimport perlu mencari jalan untuk mengurangkan kerugian daripada tukaran asing. Institusi kewangan boleh memainkan peranan sebagai penasihat kewangan untuk membantu mereka menjimatkan kos dan mengurangkan kerugian. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130511/ek_03/Fahami-kaedah-pembiayaan-alternatif#ixzz2TAkRf4lb © Utusan Melayu (M) Bhd