Kedudukan kewangan negara masih kukuh

BACHOK 4 Mei - Kedudukan kewangan negara sekarang masih kukuh dengan pertumbuhan antara 5 hingga 6 peratus tahun ini, berbanding 5.2 peratus pada tahun lalu. Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (Perbendaharaan), Datuk Seri Dr. Mohd. Irwan Seriger Abdullah berkata, negara masih memiliki keupayaan untuk melaksanakan projek pembangunan seperti yang dirancang. Beliau berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa negara akan muflis hanyalah spekulasi yang tidak berasaskan fakta sebenar. "Pertumbuhan itu hasil daripada pelbagai sumber, antaranya kutipan cukai dalam negeri termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam rangka lawatan dua hari ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM) Kelantan di sini hari ini. KDRM sebelum ini menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM34 bilion tahun ini selepas mencatatkan kutipan terbaik pada tahun lepas iaitu RM32.2 bilion. Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya yakin jumlah itu mampu dicapai berikutan prestasi kutipan yang dicatatkan oleh agensi berkenaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini sudah melebihi sasaran iaitu hampir 11 peratus. Sehubungan perkara itu, Mohd. Irwan berkata, pengurusan kewangan yang cemerlang membolehkan defisit negara berupaya dikurangkan kepada empat peratus tahun ini berbanding 4.5 peratus tahun lepas. Mengenai hutang negara, beliau berkata, jumlahnya kurang daripada 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu masih rendah dan berada pada paras terbaik berbanding dengan negara-negara jiran, ada yang hampir 100 peratus. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130505/ek_01/Kedudukan-kewangan-negara-masih-kukuh---Mohd.-Irwan#ixzz2TAlempbx © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts