Monday, May 13, 2013

Rakyat Malaysia Kurang faham rancang kewangan persaraan

Kebanyakan rakyat Malaysia mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan dan manfaat kewangan peribadi, melabur dengan bijak dan merancang untuk persaraan, demikian menurut satu kaji selidik CitiBank Bhd. Kaji selidik itu, Citi Financial Quotient (FIN-Q), mendapati berdasarkan kepada keputusan keseluruhan ditunjukkan dalam 11 bidang topik kewangan utama, keputusan dari Malaysia menunjukkan purata skor Citi FIN-Q ialah 49 mata daripada 100. Selebihnya 59 peratus rakyat Malaysia yang dikaji selidik itu mencatatkan skor 49 mata dan ke bawah. “Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kewangan dari sanak saudara dan anak-anak. Oleh itu, kita perlu membuat perancangan satu portfolio yang pelbagai yang bersesuaian,” kata Naib Presiden Pemasaran dan Ketua Segmen Kumpulan Pelanggan Globalnya, Timothy Johnson kepada pemberita di sini hari ini. Kaji selidik FIN-Q itu yang terdiri daripada 400 temu ramah dalam talian mempunyai 30 soalan setiap satu di seluruh Malaysia, dilaksanakan untuk menentukan tahap pemahaman di kalangan rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan mereka. Di dalam bidang kewangan peribadi hanya 28 peratus dari responden mengawal peruntukan bajet mereka, 37 peratus berjimat manakala 46 peratus cuba berjimat dan membuat peruntukan perbelanjaan. “Di segi tabiat melabur pengurusan wang dan kewangan peribadi, sebanyak 37 peratus mengetahui subjeknya dan 55 peratus mempunyai idea yang baik tentang apa yang akan dilakukan dengan enam bulan pendapatan mereka,” kata Johnson. Sebaliknya, kira-kira 60 peratus tidak berasa yakin dengan penjimatan untuk persaraan mereka, dengan lebih ramai wanita melahirkan kebimbangan tentangnya. Hanya 22 peratus dari responden mempunyai rancangan persaraan yang rasmi manakala lebih daripada seperempat tidak ada idea atau tidak memulakan lagi satu rancangan persaraan manakala 45 peratus mempercayai mereka akan menerima bantuan kewangan dari anak-anak mereka. Sementara sebahagian besar rakyat Malaysia berpandangan mereka mempunyai pengaturan yang positif terhadap kualiti hidup mereka pada masa ini dan kewangan pada masa hadapan, tetapi secara realitinya, ramai yang tidak pasti mengenai keselamatan kewangan mereka. “Kami melihat satu trend di seluruh dunia terutamanya dalam pasaran yang lebih maju. Masyarakat mula merancang masa depan kewangan mereka. Dan ianya akan menjadi trend di Malaysia,” katanya. – Bernama Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0206&pub=kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2TAr8M0pc Hakcipta terpelihara

No comments: