Monday, November 11, 2013

Islamic finance urged to broaden the scope of Islamic microfinance

KUALA LUMPUR: The Islamic finance industry should look into opportunities to broaden the scope of Islamic microfinance that currently only represents 1% of the global microfinance outreach, said Raja Nazrin Shah, the Regent of Perak. In his opening speech at the Islamic Financial Intelligence Summit (IFIS) 2013, he said that Islamic finance had a crucial role to play in bringing the financially underserved Muslims into the economic mainstream. “This is a path that can help alleviate poverty and create employment, thereby contributing towards a more equitable economic growth and sustainable development,” he said. He said that contemporary Islamic finance today had been largely disengaged from its socio-economic aspects – similar to how conventional finance is said to have moved from “main street” to “Wall Street” in the developed markets. “It can also be then said that Islamic finance is gradually moving from the realm of retail finance into the world of high finance. “I believe that Islamic finance, whose core pillar is the promotion of social justice, can and should do more to meet the needs of the poor and the marginalised,” Raja Nazrin said. He noted that in the uncertain global economic environment today, the restoration of trust and confidence was key for the sustainability and continued growth of the international financial system. “Trust and confidence will only return when financial transactions are based on sound and mutually beneficial principles. “The disillusionment and disenchantment with the world of finance in the aftermath of the global financial crisis offers Islamic finance a unique opportunity to present itself as a financial system that is more resilient,” he said. He said Asian countries were taking the lead in terms of leveraging on the sukuk market for financing large-scale projects and had accounted for 73% or US$212bil of the total global sukuk outstanding last year. He also noted in his speech that despite Islamic finance having escaped relatively unscathed from the global financial crisis, the industry was by no means insulated from the risks of excesses that wreaked havoc in the global financial system. He added that as the Islamic industry became more integrated into the global financial system, there would be risks arising from an economic slowdown that could impede growth and diminish liquidity. source: http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2013/11/12/New-focus-for-Islamic-finance-It-should-look-into-opportunities-to-broaden-the-scope-of-Islamic-micr.aspx

Akta Sivil 1956 perlu dikaji semula

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Akta Sivil 1956 perlu dikaji semula supaya selari dengan amalan dan nilai negara ini sekali gus tidak lagi bergantung kepada sistem Barat. Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, undang-undang sivil itu yang banyak dipengaruhi elemen Barat sudah digunakan sejak 57 tahun lalu namun tidak pernah dikaji secara menyeluruh. Sedangkan, tambah beliau, undang- undang itu perlu mengambil kira kewujudan sistem di tanah air termasuk pengaruh dari rantau Nusantara terutama dari Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand berkaitan perundangan jenayah atau dagangan. "Sebagai contoh kes-kes penting yang dilaksanakan di Indonesia boleh diambil sebagai nas (rujukan) keadilan kerana kita tidak boleh mengharapkan kepada autoriti lama bersandarkan di United Kingdom. Kita mesti cari apa yang berlaku di negara-negara Islam sekiranya sistem itu adil dan saksama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersama Masyarakat dan Perundangan, Undang-Undang Komersial dan Kewangan Islam di UIAM, di sini hari ini. Rais berkata, dalam merealisasikan hasrat itu Fakulti Undang-Undang UIAM akan mengetuai usaha kajian supaya undang-undang sivil yang akan digubal selari dengan perkembangan dasar-dasar Islam dan tempatan. Menurutnya, UIAM akan menggerakkan usaha itu menerusi penganjuran bengkel selain menjemput Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam untuk mengkaji pendekatan terbaik ke arah memastikan perubahan kepada akta tersebut. "Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia dan India serta negara-negara lain bagi mencari pembaharuan mengenai perundangan, perbankan Islam atau undang-undang komersial," katanya. Beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai bidang tugas dan bidang kuasa undang-undang yang mencerminkan warisan dan tamadun tempatan selain undang-undang antarabangsa, undang-undang kontrak dan sivil sedia ada. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130919/dn_08/Akta-Sivil-1956-perlu-dikaji-semula#ixzz2kPE9dCxN © Utusan Melayu (M) Bhd

Sistem perbankan, modal kukuh

Bursa Malaysia dijangka terus mencatatkan prestasi memberangsangkan tahun hadapan ketika keadaan ekonomi dunia dijangka kembali pulih. - Gambar hiasan SISTEM perbankan dan pasaran modal terus diperkukuh bagi memudahkan dan memangkin pertumbuhan ekonomi sejajar dengan peralihan Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju. Pengantaraan kewangan terus menyokong aktiviti ekonomi dengan jumlah pinjaman terkumpul dalam sektor perbankan meningkat sebanyak 9.3 peratus kepada RM1.18 trilion pada akhir Ogos 2013. Sementara itu, jumlah pembiayaan terkumpul institusi kewangan pembangunan (IKP) naik sebanyak 8.5 peratus kepada RM117 bilion, terutamanya kepada sektor ekonomi yang strategik. Pembiayaan mikro juga diperluaskan melalui Skim Pembiayaan Mikro, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk menyokong perniagaan mikro. Pasaran modal kekal sebagai sumber pembiayaan yang penting bagi syarikat dengan jumlah bon swasta terkumpul pada RM415.3 bilion dan permodalan pasaran ekuiti meningkat kepada RM1.6 trilion pada akhir Ogos 2013. Pada Januari 2013, satu kelas aset sukuk baharu dilancarkan di Bursa Malaysia dan menjadikan sukuk dan bon ditawarkan kepada semua pelabur buat pertama kali. Sukuk Runcit DanaInfra yang diterbitkan oleh DanaInfra Nasional Bhd., digunakan bagi membiayai sebahagian projek My Rapid Transit (MRT) yang sedang dilaksanakan. Malaysia terus menjadi pusat global bagi kewangan Islam dengan pasaran sukuk utama yang mendalam dan pasaran sekunder yang aktif, mekanisme penemuan harga yang cekap, kepelbagaian kumpulan tenaga mahir dengan keupayaan global dan sistem penjelasan dan penyelesaian pelbagai mata wang yang cekap. Keperluan perundangan dan hemat dalam industri kewangan Islam yang disokong oleh prinsip syariah akan dijelaskan lagi dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang berkuat kuasa pada Jun 2013. Akta ini akan mengukuhkan sistem kawal selia dan perundangan bagi menghadapi cabaran dan perkembangan industri yang semakin canggih dan bersifat antarabangsa. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131026/lk_07/Sistem-perbankan,-modal-kukuh#ixzz2kPDgMHQw © Utusan Melayu (M) Bhd

Sistem kewangan Islam buka mata Barat

Oleh Aznan Bakar, HAMPIR satu minggu cakap-cakap mengenai sistem ekonomi Islam menguasai kota raya London yang merupakan pusat kewangan, perdagangan dan juga perkembangan budaya moden di Eropah. Stesen televisyen dan akhbar-akhbar British boleh dikatakan setiap hari memperkatakan akan apa itu sistem kewangan Islam dan saingannya kepada sistem konvensional. Istilah sukuk yang merupakan bon Islam mula diperbincang dan diperjelaskan dalam program bual bicara termasuk di BBC. Ini termasuk kaedah sukuk itu dikeluarkan dan bagaimana keuntungan dicatatkan. Jelasnya, masyarakat Barat atau sekurang-kurangnya masyarakat perdagangan dan perniagaan di kota raya London mula membuka mata terhadap sistem kewangan Islam. Mereka mula mengintai peluang dan potensi yang ditawar melalui sistem itu. Kelebihannya mula diteliti dan dianalisis. Konsep keadilan untuk semua yang dibawa oleh Islam termasuk dalam sistem kewangan telah membuka mata masyarakat Barat yang kini melihatnya sebagai alternatif kepada sistem konvensional yang banyak mendatangkan masalah ekoran terdedah kepada pelbagai spekulasi. Perkembangan dalam aliran modal dalam kalangan negara dan pelabur Islam juga turut menarik Barat untuk sama-sama terlibat dan mendapat manfaat daripada sistem kewangan Islam. Sebab itu Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang merupakan hasil inisiatif Malaysia yang dianjurkan buat pertama kali di luar dunia Islam - di London - mendapat sambutan yang amat menggalakkan termasuk daripada peneraju dan ketua-ketua industri di Eropah. Aliran modal Islam yang semakin berkembang sukar untuk ditolak oleh pusat-pusat kewangan dunia termasuk London yang menawarkan diri untuk menjadi pusat kewangan Islam di luar dunia Islam. Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron bahawa mereka tidak mahu ketinggalan untuk berkongsi pasaran kewangan Islam yang tumbuh 50 peratus lebih pantas daripada perbankan tradisional. Aliran pelaburan Islam global yang akan tumbuh kepada kira-kira RM7 trilion menjelang tahun depan juga cukup menggoda negara-negara Barat untuk turut sama menikmati sebahagian daripada pertumbuhan itu. “Kami mahu memastikan sebahagian besar daripada pelaburan baru itu dilakukan di sini, di Britain," kata Cameron yang secara langsung menunjukkan pengiktirafan dunia Barat terhadap sistem kewangan Islam yang Malaysia merupakan antara pelopornya. Sebab itu kehadiran WIEF di London turut membuka mata banyak pakar dan penganalisis ekonomi Barat, yang mana ramai juga daripada mereka mengintai untuk melihat dan mencari peluang yang ditawarkan pada platform WIEF. Di Britain sendiri kewangan dan pelaburan Islam telah memainkan peranan dalam menyumbangkan kepada pembangunan kota raya tersohor itu yang menghasilkan sumber pekerjaan dan kekayaan baharu. “Pelaburan Islam sebenarnya telah menjadi asas kepada kejayaan kami," akui Cameron. Cameron membuat pengakuan itu kerana beberapa projek mega di London sebenarnya dibiayai sama ada melalui sistem kewangan Islam atau pun pelaburan Islam. Pembinaan menara pencakar langit tertinggi di Eropah, The Shard misalnya dibiayai melalui pelaburan dari Qatar. Begitu juga dengan pembiayaan oleh Emirate untuk membina stadium Arsenal dan Etihad melabur untuk Manchester City. Malaysia turut menyumbang kepada pelaburan di London melalui pelaburan untuk Battersea Power Station yang bernilai kira-kita RM2 bilion dan Masdar melabur 20 peratus dalam London Array Offshore Wind. Malah Thames Water, Barclays, Sainsburys, Harrods dan perkampungan Olimpik di London ketika Sukan Olimpik yang lalu semuanya dibiayai oleh pelabur Islam. Semua itu menunjukkan pelaburan dan kewangan Islam mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dalam sistem kewangan global. Biar apa pun pandangan negatif masyarakat Barat terhadap Islam termasuk dikaitkan dengan keganasan dan pelampau, namun ekonomi yang bertunjangkan Islam mempunyai kelebihan tersendiri dan telah membuka mata masyarakat dunia. Seperti kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, dunia kini menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sistem kewangan Islam. Pertumbuhan itu katanya, cukup ketara hingga urus niaganya merentasi sempadan dan elemen penting yang menyumbang kepada perkara itu ialah ketelusan dan rasional dalam hukum syariah. Kos lebih rendah yang ditawarkan melalui sistem kewangan Islam juga antara tarikan kenapa Barat kini turut melihatnya sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme yang dipelopori mereka. Gabenor Bank Pusat Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Nasser Al Suwaidii berkata, untuk memastikan industri berkembang kos pembiayaan perlu dikurangkan. Katanya, itu yang ditawarkan oleh kaedah kewangan Islam berbanding dengan perbankan konvensional. Tetapi itu tidak bermakna para penggerak sistem kewangan Islam sudah boleh berpuas hati dan berbangga dengan apa yang telah dicapai. Usaha perlu terus dilakukan supaya produk kewangan yang mematuhi syariah diterima secara lebih luas dan terbuka di seluruh dunia. Pengarah Eksekutif untuk Pasaean, Bank of England, Dr. Pauk Fisher berkata, untuk menjadikan sistem kewangan Islam sebagai satu kuasa ia perlu terus diperkembangkan dengan pembabitan lebih ramai pedagang supaya kecairan modalnya lebih tinggi selain penglibatan lebih besar dalam produk berasaskan syariah. Daripada pengakuan, maklum balas dan reaksi daripada pemimpin dan tokon-tokoh perbankan sepanjang WIEF yang berlangsung di London itu jelas menunjukkan sistem kewangan Islam kini semakin berkembang dan semakin diterima termasuk oleh masyarakat perdagangan bukan Islam. Malah WIEF yang kini masuk tahun kesembilan dan bakal berkampung di Dubai, UAE tahun depan semakin diperakui peranan dalam mempromosikan bukan sahaja hubungan pelaburan dan perdagangan sesama rantau Islam, tetapi juga sebagai platform untuk dunia bukan Islam terutama Barat mengenali dan seterusnya mengiktiraf sistem dan seterusnya berdagang secara Islam. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131102/re_03/Sistem-kewangan-Islam-buka-mata-Barat#ixzz2kPDP8q3x © Utusan Melayu (M) Bhd

16,306 individu muflis tahun ini

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH, pengarang@utusan.com.my, Nancy Shukri (tengah) dan Rohana Abd. Malek (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima dalam Majlis Penyampaian Sijil Pelepasan Kebankrapan di Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 31 Okt. - Seramai 16,306 individu dengan sebahagian besarnya golongan muda diisytihar muflis dalam tempoh sembilan bulan tahun ini disebabkan pelbagai faktor antaranya gagal menjelaskan hutang kad kredit dan pinjaman kenderaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, perkembangan itu sangat membimbangkan memandangkan statistik membabitkan generasi muda yang muflis sentiasa meningkat setiap tahun. Menurut beliau, mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi bagi tempoh itu, golongan paling ramai muflis berumur dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun iaitu seramai 5,644 orang. Selain itu, tambahnya, golongan umur di bawah 25 tahun yang muflis pula seramai 169 orang, 25 hingga 34 tahun (3,821) dan 45 hingga 54 tahun (4,431). "Jika dilihat daripada jumlah ini, golongan muda paling ramai muflis disebabkan kecenderungan mereka membeli kereta dan memiliki kad kredit, untuk pinjaman perumahan juga ada, namun jumlahnya sangat kecil," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelepasan Kebankrapan di Jabatan Insolvensi, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Rohana Abd. Malek. Menurut Nancy, dalam tempoh enam tahun lalu, seramai 18,053 orang terdiri daripada golongan muda diisytiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit. Dalam pada itu, katanya, sehingga September lalu sebanyak 251,209 kes berkaitan muflis berada di bawah pentadbiran jabatan berkenaan. Namun, menurut beliau, daripada jumlah itu hanya 28 peratus individu hadir bagi meneruskan pentadbiran kes mereka. Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang mempunyai masalah tersebut tidak melarikan diri dan menyelesaikan kes mereka dengan jabatan tersebut. "Bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan dan belum diisytiharkan muflis pula, boleh datang ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat secara percuma," katanya. Dalam masa sama, menurut Nancy, pihaknya juga mahu membantu golongan yang muflis disebabkan menjadi penjamin sosial iaitu menjamin individu yang membeli kenderaan, rumah atau menyambung pelajaran. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak terbabit hadir ke jabatan berkenaan dengan membawa semua bukti dan maklumat berkaitan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131101/dn_20/16,306-individu-muflis-tahun-ini#ixzz2kPCQJaau © Utusan Melayu (M) Bhd

Akta baharu ganti Akta Kebankrapan 1967

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Akta baharu bagi menggantikan Akta Kebankrapan 1967 yang akan memberi pelepasan automatik kepada golongan muflis selepas sesuatu tempoh tertentu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, draf undang-undang itu telah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara tetapi mengambil sedikit masa untuk diputuskan tempoh masa yang perlu diberikan sebelum pelepasan secara automatik diberi kepada golongan muflis. "Akta Kebankrapan 1967 sudah terlalu lama dan akan digantikan dengan akta baharu yang antara kandungannya meliputi pelepasan secara automatik. "Walau bagaimanapun, keputusan masih belum dibuat mengenai tempoh masa yang perlu diberikan sebelum pelepasan tersebut sama ada tiga atau lima tahun, itu kita masih belum putuskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Nancy mengulas pindaan Akta Kebankrapan 1967 bagi memudahkan individu yang diisytihar bankrap mendapat pelepasan kebankrapan. Mengulas lanjut, Nancy memberitahu, menerusi akta baharu itu kerajaan mahu memberi peluang kedua kepada golongan yang telah diisytihar muflis. "Kerajaan mahu golongan itu tampil dan mampu menyelesaikan masalah hutang mereka," katanya. Dalam pada itu, ditanya sama ada akta sama pernah dipraktikkan di negara-negara lain, Nancy mengakui terdapat beberapa negara yang mengamalkannya. "Ada negara lain yang laksanakan, ada penanda arasnya," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131107/dn_05/Akta-baharu-ganti-Akta-Kebankrapan-1967#ixzz2kPC7hAEj © Utusan Melayu (M) Bhd

Usah lupa Tokoh Maal Hijrah

Oleh NIZAM YATIM, nizam.yatim@utusan.com.my, SEJAK 26 tahun lalu, boleh dikatakan saban tahun akan ada individu berjasa yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. Individu berkenaan yang diiktiraf sebagai ikon umat Islam akan menerima hadiah wang tunai yang kini berjumlah RM100,000, pingat, plak dan sijil penghargaan. Tetapi yang menjadi persoalan kepada kita, setakat itu sahajakah penghargaan yang diberikan kepada tokoh berkenaan? Adakah terdapat langkah lain yang dibuat supaya jasa mereka terus dikenang generasi akan datang. Walaupun telah ada usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendokumenkan biografi sebahagian daripada tokoh berkenaan dalam buku khas yang diterbitkan pada 2006, tetapi ia tidak memadai kerana apa yang diceritakan hanya sebahagian kecil sumbangan tokoh terbabit. Sebuah buku dengan 559 halaman untuk menceritakan segala jasa tokoh yang telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar kepada umat Islam adalah tidak memadai. Sehingga tahun ini, jumlah tokoh berkenaan bertambah lagi menjadi 26 orang dan sepatutnya pihak berkenaan menerbitkan 26 buku yang masing-masing memuatkan biografi setiap tokoh terbabit. Bagi menguji pembaca, berikut disenaraikan enam tokoh terawal yang menerima anugerah tersebut dan tanyalah diri sendiri adakah anda mengenali mereka sebelum ini. AL-SYEIKH MUHAMMAD IDRIS ABDUL RAUF AL-MARBAWI INDIVIDU pertama yang menerima anugerah berkenaan pada 1408 Hijrah atau tahun 1987 amat berjasa kepada pelajar-pelajar di alam Melayu terutamanya mereka yang mengikuti pengajian di negara-negara Arab. Kamus Arab-Melayu karangan beliau yang dikenali sebagai Qamus al- Marbawi adalah rujukan tetap pelajar-pelajar terbabit sehinggalah mereka dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Ulama yang berasal dari Kampung Merbau yang terletak tidak jauh dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dilahirkan pada 1893 di Mekah. Allahyarham yang meninggal dunia pada 1989 ketika berusia 96 tahun turut meninggalkan banyak karya-karya lain termasuk Bahrul Mazi yang merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi yang pertama dalam bahasa Melayu. PROF. EMERITUS TAN SRI AHMAD MOHAMED IBRAHIM BELIAU adalah penerima anugerah yang kedua pada 1409 Hijrah atau tahun 1988. Sumbangan Allahyarham adalah dalam memperkemaskan sistem pentadbiran undang-undang Islam Malaysia selaras dengan usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Penggubalan Undang-undang Islam dan Sivil, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Islam Malaysia Bhd. Beliau yang meninggal dunia pada 1999 ketika berusia 83 tahun telah menghasilkan puluhan judul buku yang kebanyakannya berhubung dengan undang-undang keluarga dan pentadbiran Islam. Allahyarham yang dilahirkan pada 1916 di Singapura adalah berkelulusan undang-undang dari Kolej St. John's, Universiti Cambridge. Sekembalinya ke Singapura, beliau menjadi peguam bela pertama dilantik di republik itu dan kemudiannya sebagai Peguam Negara Singapura yang pertama. Antara jasa beliau ketika di republik itu adalah menggubal Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam (AMLA) 1966 yang meliputi penubuhan Majlis Agama Islam, mahkamah syariah, peruntukan kewangan untuk masjid dan sekolah agama, undang-undang mengenai perkahwinan dan perceraian, harta serta penukaran agama. Pada 1968, Allahyarham bersara daripada perkhidmatan awam Singapura dan berhijrah ke Malaysia. Beliau kemudiannya berperanan menubuhkan pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). TAN SRI S.O.K. UBAIDULLA KADIR BASHA BELIAU yang meninggal dunia ketika berusia 90 tahun pada 2009 adalah tokoh politik veteran dan ahli perniagaan terkemuka. Allahyarham yang dikenali sebagai seorang pemimpin dan dermawan yang sentiasa merendah diri telah memegang pelbagai jawatan semasa hayatnya termasuk sebagai pengasas Yayasan Ubaidi, menjadi senator pada 1975 dan pengarah Bank Bumiputra Commerce Bhd. Beliau merupakan ahli MIC yang terawal sejak ditubuhkan pada 1946 dan kesetiaan beliau membolehkannya memegang beberapa jawatan penting di dalam parti itu termasuk sebagai Pengerusi Tetap. Allahyarham juga merupakan antara pengasas dan Presiden kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Pengerusi Persatuan India Muslim Malaysia (Permim). Semasa hayatnya, Allahyarham banyak membantu mempromosikan kesusasteraan Tamil dan menyertai aktiviti berunsur keagamaan sehingga melayakkan beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1989. PROF. TAN SRI DR. MUHAMMAD ABDUL RAUF BELIAU lahir pada 1917 di bandar Abu Sir Gharbieh, Mesir dan mendapat pendidikan tinggi berkaitan pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Universiti Cambridge dan University of London. Beliau dihantar ke Malaya oleh Universiti Al-Azhar pada 1955 untuk membuka Kolej Islam di Klang dan kemudian, mengetuai Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya. Allahyarham juga dikenali sebagai ‘arkitek’ yang membentuk sukatan pelajaran Pengetahuan Agama Islam sekolah rendah dan menengah dan sukatan pelajaran Bahasa Arab bagi sekolah menengah. Dari 1970 hingga 1980, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam di Washington, Amerika Syarikat (AS). Beliau kemudian dijemput kembali ke Malaysia untuk menjadi Rektor pertama UIAM dari 1983 hingga 1988 dan kemudian berpindah ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di Terengganu sebagai Penasihat Akademik sebelum bersara pada 1992. TAN SRI MOHD. ASRI MUDA BELIAU yang meninggal dunia pada 1992 ketika berusia 69 tahun adalah Presiden Pas dari 1969 hingga 1982 sebelum digantikan oleh Yusof Rawa. Beliau yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu dan Pondok Masjid Muhammadi. Allahyarham pernah menjadi guru agama di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak. Antara jawatan tinggi yang pernah disandangnya adalah Menteri Besar Kelantan dari 1964 hingga 1974. Beliau adalah tokoh yang membawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang menyaksikannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah sehingga 1977. RAJA TUN MOHAR RAJA BADIOZAMAN BELIAU meninggal dunia pada 2003 ketika berusia 81 tahun. Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dan berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Cambridge. Allahyarham pernah menjadi Penasihat Khas Ekonomi kepada tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dikenali sebagai seorang yang berintegriti tinggi bertanggungjawab menubuhkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan turut terbabit sebagai perunding bagi membolehkan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Soviet. Antara jasa beliau ketika menerajui Petronas pula adalah untuk mendapatkan kawalan semula hasil minyak mentah negara yang pada masa itu dikuasai oleh Shell dan Exxon. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131109/re_11/Usah-lupa-Tokoh-Maal-Hijrah#ixzz2kPBpp5vo © Utusan Melayu (M) Bhd

Harta intelek perlu dilindungi

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Harta intelek daripada usahawan diharap lebih terlindung dengan inisiatif kerajaan yang menitikberatkan pendaftaran dan paten harta intelek melalui Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). Pengarah kepada firma pengurusan harta intelek, ADASTRA IP (M) Sdn. Bhd., Mohan K berkata, melalui inisiatif itu, kerajaan kini memberi dana untuk melindungi idea supaya usahawan dapat mengkomersialkan idea mereka. Katanya, perkara tersebut adalah suatu yang positif dan akan menarik banyak minat dalam kalangan usahawan-usahawan muda. "Tapi masalahnya di sini adalah bagaimana akan dilaksanakan kerana kerajaan selalu mempunyai polisi yang baik tetapi cara pelaksanaan akan menjadi isu. "Walau bagaimanapun, saya berharap kerajaan dapat melaksanakan perkara ini dengan baik kerana tujuannya bagus iaitu bagi mewujudkan usahawan yang kreatif serta melindungi harta intelek," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, baru-baru ini. Dalam pembentangan Bajet 2014 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kerajaan akan menjadikan MaGiC sebagai pusat sehenti keusahawanan. MaGiC akan memantau prestasi usahawan, mempunyai pangkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan, kaunseling serta latihan. Sementara itu, Mohan berkata, pendaftaran paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian penting bagi mengelak daripada idea dan teknologi seseorang itu diciplak. "Sebagai contoh, jika seseorang itu pergi berjumpa dengan mana-mana pihak untuk membangunkan teknologi yang mereka ada, terdapat kebarangkalian idea itu akan ditiru dan pencipta teknologi itu akan kehilangan teknologinya. "Bagi mengelakkan daripada idea ditiru, mereka perlu mendaftarkan paten bagi teknologi terbabit," ujarnya. Tambah beliau lagi, usaha kerajaan untuk membantu usahawan amat bertepatan pada masa kini kerana banyak golongan muda gemar mengusahakan perniagaan sendiri termasuk membangunkan aplikasi telefon dan sebagainya yang perlu dilindungi. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131112/ek_02/Harta-intelek-perlu-dilindungi#ixzz2kPBCz6rL © Utusan Melayu (M) Bhd

Agih kekayaan melalui wakaf

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Wakaf, sebagai instrumen awam Islam, mempunyai potensi untuk menjadi sumber pembiayaan dan mekanisme agihan kekayaan, titah Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin Shah. Baginda bertitah, wakaf atau khazanah Islam, mewujudkan hubungan yang lebih erat antara industri kewangan Islam dan tanggungjawab sosioekonominya, dan boleh dilihat sebagai mekanisme pelaburan simpanan dengan dana dialihkan daripada penggunaan dan dilaburkan dalam aset produktif. "Prinsip yang tertanam dalam struktur wakaf membezakannya daripada asas-asas gaya Barat dan badan amal. "Pengguna secara inovatif itu telah membantu membuka potensi ekonomi serta objektif dermawan. Dengan kesemua manfaat yang jelas ini, wakaf perlu diberikan kedudukan yang lebih penting dalam industri ini," titah baginda dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Perisikan Kewangan Islam 2013 di sini hari ini. Raja Nazrin yang juga Duta Kewangan bagi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia bertitah, di Bahrain, Bank Negara Bahrain dan institusi kewangan Islamnya mewujudkan dana wakaf pada 2006, dengan pulangannya digunakan untuk membiayai latihan, pendidikan dan penyelidikan dalam pelbagai peringkat dalam industri kewangan Islam. "Di Malaysia, Johor Corporation atau JCorp merupakan contoh entiti korporat yang telah membangunkan program-program tanggungjawab sosial secara meluas menerusi cabang peniagaannya, Waqaf An- Nur Corporation," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, ramai pengulas menekankan tarikan semula jadi kewangan Islam, memandangkan sistem kewangan konvensional banyak kali menunjukkan kecenderungan untuk menjadi tidak stabil secara mendadak sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Baginda bertitah sistem kewangan Islam telah menunjukkan ia kurang terdedah kepada ketidakstabilan, selain kurang terdedah kepada krisis. "Kekecewaan terhadap dunia kewangan dalam selepas krisis kewangan global menawarkan peluang kepada kewangan Islam sebagai sistem kewangan yang lebih berdaya tahan terhadap punca yang menyebabkan krisis itu berlaku," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, dalam ekonomi Islam, seperti dalam kewangan Islam, agihan sumber mempunyai matlamat yang jelas, iaitu untuk menggalakkan keadilan sosial. Kurangnya urus niaga sekunder dalam pasaran sukuk global merupakan antara cabaran yang dihadapi oleh industri kewangan Islam. "Terbitan Sukuk telah berjaya, dan sering kali terlebih langgan, namun kurangnya dagangan menyebabkan pelabur mengambil sikap simpan dan pegang instrumen itu sehingga matang. "Selain itu, masih wujud ketidakseimbangan yang nyata dalam pembangunan infrastruktur sukuk membabitkan bidang kuasa yang mengekang urus niaga merentas sempadan," titah baginda. Raja Nazrin bertitah ini menyebabkan dagangan sukuk sebahagian besarnya berjalan di peringkat negara dan serantau, yang mengehadkan keupayaan sukuk untuk berada setanding dengan sekuriti pendapatan tetap konvensional, yang didagangkan di peringkat dunia. "Bagi membolehkan sukuk berkembang menjadi alat pengurusan kecairan yang penting, pasaran sekunder perlu dibangunkan secara lebih mendalam," titah Raja Nazrin. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131112/ek_01/Agih-kekayaan-melalui-wakaf#ixzz2kPAy5RgQ © Utusan Melayu (M) Bhd