16,306 individu muflis tahun ini

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH, pengarang@utusan.com.my, Nancy Shukri (tengah) dan Rohana Abd. Malek (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima dalam Majlis Penyampaian Sijil Pelepasan Kebankrapan di Putrajaya, semalam. PUTRAJAYA 31 Okt. - Seramai 16,306 individu dengan sebahagian besarnya golongan muda diisytihar muflis dalam tempoh sembilan bulan tahun ini disebabkan pelbagai faktor antaranya gagal menjelaskan hutang kad kredit dan pinjaman kenderaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, perkembangan itu sangat membimbangkan memandangkan statistik membabitkan generasi muda yang muflis sentiasa meningkat setiap tahun. Menurut beliau, mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi bagi tempoh itu, golongan paling ramai muflis berumur dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun iaitu seramai 5,644 orang. Selain itu, tambahnya, golongan umur di bawah 25 tahun yang muflis pula seramai 169 orang, 25 hingga 34 tahun (3,821) dan 45 hingga 54 tahun (4,431). "Jika dilihat daripada jumlah ini, golongan muda paling ramai muflis disebabkan kecenderungan mereka membeli kereta dan memiliki kad kredit, untuk pinjaman perumahan juga ada, namun jumlahnya sangat kecil," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pelepasan Kebankrapan di Jabatan Insolvensi, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Rohana Abd. Malek. Menurut Nancy, dalam tempoh enam tahun lalu, seramai 18,053 orang terdiri daripada golongan muda diisytiharkan muflis akibat penggunaan kad kredit. Dalam pada itu, katanya, sehingga September lalu sebanyak 251,209 kes berkaitan muflis berada di bawah pentadbiran jabatan berkenaan. Namun, menurut beliau, daripada jumlah itu hanya 28 peratus individu hadir bagi meneruskan pentadbiran kes mereka. Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang mempunyai masalah tersebut tidak melarikan diri dan menyelesaikan kes mereka dengan jabatan tersebut. "Bagi mereka yang menghadapi masalah kewangan dan belum diisytiharkan muflis pula, boleh datang ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat secara percuma," katanya. Dalam masa sama, menurut Nancy, pihaknya juga mahu membantu golongan yang muflis disebabkan menjadi penjamin sosial iaitu menjamin individu yang membeli kenderaan, rumah atau menyambung pelajaran. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak terbabit hadir ke jabatan berkenaan dengan membawa semua bukti dan maklumat berkaitan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131101/dn_20/16,306-individu-muflis-tahun-ini#ixzz2kPCQJaau © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts