Akta Sivil 1956 perlu dikaji semula

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Akta Sivil 1956 perlu dikaji semula supaya selari dengan amalan dan nilai negara ini sekali gus tidak lagi bergantung kepada sistem Barat. Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, undang-undang sivil itu yang banyak dipengaruhi elemen Barat sudah digunakan sejak 57 tahun lalu namun tidak pernah dikaji secara menyeluruh. Sedangkan, tambah beliau, undang- undang itu perlu mengambil kira kewujudan sistem di tanah air termasuk pengaruh dari rantau Nusantara terutama dari Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand berkaitan perundangan jenayah atau dagangan. "Sebagai contoh kes-kes penting yang dilaksanakan di Indonesia boleh diambil sebagai nas (rujukan) keadilan kerana kita tidak boleh mengharapkan kepada autoriti lama bersandarkan di United Kingdom. Kita mesti cari apa yang berlaku di negara-negara Islam sekiranya sistem itu adil dan saksama," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bersama Masyarakat dan Perundangan, Undang-Undang Komersial dan Kewangan Islam di UIAM, di sini hari ini. Rais berkata, dalam merealisasikan hasrat itu Fakulti Undang-Undang UIAM akan mengetuai usaha kajian supaya undang-undang sivil yang akan digubal selari dengan perkembangan dasar-dasar Islam dan tempatan. Menurutnya, UIAM akan menggerakkan usaha itu menerusi penganjuran bengkel selain menjemput Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam untuk mengkaji pendekatan terbaik ke arah memastikan perubahan kepada akta tersebut. "Kita juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia dan India serta negara-negara lain bagi mencari pembaharuan mengenai perundangan, perbankan Islam atau undang-undang komersial," katanya. Beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai bidang tugas dan bidang kuasa undang-undang yang mencerminkan warisan dan tamadun tempatan selain undang-undang antarabangsa, undang-undang kontrak dan sivil sedia ada. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130919/dn_08/Akta-Sivil-1956-perlu-dikaji-semula#ixzz2kPE9dCxN © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts