Monday, November 11, 2013

Harta intelek perlu dilindungi

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Harta intelek daripada usahawan diharap lebih terlindung dengan inisiatif kerajaan yang menitikberatkan pendaftaran dan paten harta intelek melalui Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC). Pengarah kepada firma pengurusan harta intelek, ADASTRA IP (M) Sdn. Bhd., Mohan K berkata, melalui inisiatif itu, kerajaan kini memberi dana untuk melindungi idea supaya usahawan dapat mengkomersialkan idea mereka. Katanya, perkara tersebut adalah suatu yang positif dan akan menarik banyak minat dalam kalangan usahawan-usahawan muda. "Tapi masalahnya di sini adalah bagaimana akan dilaksanakan kerana kerajaan selalu mempunyai polisi yang baik tetapi cara pelaksanaan akan menjadi isu. "Walau bagaimanapun, saya berharap kerajaan dapat melaksanakan perkara ini dengan baik kerana tujuannya bagus iaitu bagi mewujudkan usahawan yang kreatif serta melindungi harta intelek," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, baru-baru ini. Dalam pembentangan Bajet 2014 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kerajaan akan menjadikan MaGiC sebagai pusat sehenti keusahawanan. MaGiC akan memantau prestasi usahawan, mempunyai pangkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan, kaunseling serta latihan. Sementara itu, Mohan berkata, pendaftaran paten, cap dagangan dan reka bentuk perindustrian penting bagi mengelak daripada idea dan teknologi seseorang itu diciplak. "Sebagai contoh, jika seseorang itu pergi berjumpa dengan mana-mana pihak untuk membangunkan teknologi yang mereka ada, terdapat kebarangkalian idea itu akan ditiru dan pencipta teknologi itu akan kehilangan teknologinya. "Bagi mengelakkan daripada idea ditiru, mereka perlu mendaftarkan paten bagi teknologi terbabit," ujarnya. Tambah beliau lagi, usaha kerajaan untuk membantu usahawan amat bertepatan pada masa kini kerana banyak golongan muda gemar mengusahakan perniagaan sendiri termasuk membangunkan aplikasi telefon dan sebagainya yang perlu dilindungi. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131112/ek_02/Harta-intelek-perlu-dilindungi#ixzz2kPBCz6rL © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: