Sistem kewangan Islam buka mata Barat

Oleh Aznan Bakar, HAMPIR satu minggu cakap-cakap mengenai sistem ekonomi Islam menguasai kota raya London yang merupakan pusat kewangan, perdagangan dan juga perkembangan budaya moden di Eropah. Stesen televisyen dan akhbar-akhbar British boleh dikatakan setiap hari memperkatakan akan apa itu sistem kewangan Islam dan saingannya kepada sistem konvensional. Istilah sukuk yang merupakan bon Islam mula diperbincang dan diperjelaskan dalam program bual bicara termasuk di BBC. Ini termasuk kaedah sukuk itu dikeluarkan dan bagaimana keuntungan dicatatkan. Jelasnya, masyarakat Barat atau sekurang-kurangnya masyarakat perdagangan dan perniagaan di kota raya London mula membuka mata terhadap sistem kewangan Islam. Mereka mula mengintai peluang dan potensi yang ditawar melalui sistem itu. Kelebihannya mula diteliti dan dianalisis. Konsep keadilan untuk semua yang dibawa oleh Islam termasuk dalam sistem kewangan telah membuka mata masyarakat Barat yang kini melihatnya sebagai alternatif kepada sistem konvensional yang banyak mendatangkan masalah ekoran terdedah kepada pelbagai spekulasi. Perkembangan dalam aliran modal dalam kalangan negara dan pelabur Islam juga turut menarik Barat untuk sama-sama terlibat dan mendapat manfaat daripada sistem kewangan Islam. Sebab itu Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang merupakan hasil inisiatif Malaysia yang dianjurkan buat pertama kali di luar dunia Islam - di London - mendapat sambutan yang amat menggalakkan termasuk daripada peneraju dan ketua-ketua industri di Eropah. Aliran modal Islam yang semakin berkembang sukar untuk ditolak oleh pusat-pusat kewangan dunia termasuk London yang menawarkan diri untuk menjadi pusat kewangan Islam di luar dunia Islam. Perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron bahawa mereka tidak mahu ketinggalan untuk berkongsi pasaran kewangan Islam yang tumbuh 50 peratus lebih pantas daripada perbankan tradisional. Aliran pelaburan Islam global yang akan tumbuh kepada kira-kira RM7 trilion menjelang tahun depan juga cukup menggoda negara-negara Barat untuk turut sama menikmati sebahagian daripada pertumbuhan itu. “Kami mahu memastikan sebahagian besar daripada pelaburan baru itu dilakukan di sini, di Britain," kata Cameron yang secara langsung menunjukkan pengiktirafan dunia Barat terhadap sistem kewangan Islam yang Malaysia merupakan antara pelopornya. Sebab itu kehadiran WIEF di London turut membuka mata banyak pakar dan penganalisis ekonomi Barat, yang mana ramai juga daripada mereka mengintai untuk melihat dan mencari peluang yang ditawarkan pada platform WIEF. Di Britain sendiri kewangan dan pelaburan Islam telah memainkan peranan dalam menyumbangkan kepada pembangunan kota raya tersohor itu yang menghasilkan sumber pekerjaan dan kekayaan baharu. “Pelaburan Islam sebenarnya telah menjadi asas kepada kejayaan kami," akui Cameron. Cameron membuat pengakuan itu kerana beberapa projek mega di London sebenarnya dibiayai sama ada melalui sistem kewangan Islam atau pun pelaburan Islam. Pembinaan menara pencakar langit tertinggi di Eropah, The Shard misalnya dibiayai melalui pelaburan dari Qatar. Begitu juga dengan pembiayaan oleh Emirate untuk membina stadium Arsenal dan Etihad melabur untuk Manchester City. Malaysia turut menyumbang kepada pelaburan di London melalui pelaburan untuk Battersea Power Station yang bernilai kira-kita RM2 bilion dan Masdar melabur 20 peratus dalam London Array Offshore Wind. Malah Thames Water, Barclays, Sainsburys, Harrods dan perkampungan Olimpik di London ketika Sukan Olimpik yang lalu semuanya dibiayai oleh pelabur Islam. Semua itu menunjukkan pelaburan dan kewangan Islam mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing dalam sistem kewangan global. Biar apa pun pandangan negatif masyarakat Barat terhadap Islam termasuk dikaitkan dengan keganasan dan pelampau, namun ekonomi yang bertunjangkan Islam mempunyai kelebihan tersendiri dan telah membuka mata masyarakat dunia. Seperti kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, dunia kini menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sistem kewangan Islam. Pertumbuhan itu katanya, cukup ketara hingga urus niaganya merentasi sempadan dan elemen penting yang menyumbang kepada perkara itu ialah ketelusan dan rasional dalam hukum syariah. Kos lebih rendah yang ditawarkan melalui sistem kewangan Islam juga antara tarikan kenapa Barat kini turut melihatnya sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme yang dipelopori mereka. Gabenor Bank Pusat Emeriah Arab Bersatu (UAE), Sultan Nasser Al Suwaidii berkata, untuk memastikan industri berkembang kos pembiayaan perlu dikurangkan. Katanya, itu yang ditawarkan oleh kaedah kewangan Islam berbanding dengan perbankan konvensional. Tetapi itu tidak bermakna para penggerak sistem kewangan Islam sudah boleh berpuas hati dan berbangga dengan apa yang telah dicapai. Usaha perlu terus dilakukan supaya produk kewangan yang mematuhi syariah diterima secara lebih luas dan terbuka di seluruh dunia. Pengarah Eksekutif untuk Pasaean, Bank of England, Dr. Pauk Fisher berkata, untuk menjadikan sistem kewangan Islam sebagai satu kuasa ia perlu terus diperkembangkan dengan pembabitan lebih ramai pedagang supaya kecairan modalnya lebih tinggi selain penglibatan lebih besar dalam produk berasaskan syariah. Daripada pengakuan, maklum balas dan reaksi daripada pemimpin dan tokon-tokoh perbankan sepanjang WIEF yang berlangsung di London itu jelas menunjukkan sistem kewangan Islam kini semakin berkembang dan semakin diterima termasuk oleh masyarakat perdagangan bukan Islam. Malah WIEF yang kini masuk tahun kesembilan dan bakal berkampung di Dubai, UAE tahun depan semakin diperakui peranan dalam mempromosikan bukan sahaja hubungan pelaburan dan perdagangan sesama rantau Islam, tetapi juga sebagai platform untuk dunia bukan Islam terutama Barat mengenali dan seterusnya mengiktiraf sistem dan seterusnya berdagang secara Islam. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131102/re_03/Sistem-kewangan-Islam-buka-mata-Barat#ixzz2kPDP8q3x © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts