Usah lupa Tokoh Maal Hijrah

Oleh NIZAM YATIM, nizam.yatim@utusan.com.my, SEJAK 26 tahun lalu, boleh dikatakan saban tahun akan ada individu berjasa yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan. Individu berkenaan yang diiktiraf sebagai ikon umat Islam akan menerima hadiah wang tunai yang kini berjumlah RM100,000, pingat, plak dan sijil penghargaan. Tetapi yang menjadi persoalan kepada kita, setakat itu sahajakah penghargaan yang diberikan kepada tokoh berkenaan? Adakah terdapat langkah lain yang dibuat supaya jasa mereka terus dikenang generasi akan datang. Walaupun telah ada usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendokumenkan biografi sebahagian daripada tokoh berkenaan dalam buku khas yang diterbitkan pada 2006, tetapi ia tidak memadai kerana apa yang diceritakan hanya sebahagian kecil sumbangan tokoh terbabit. Sebuah buku dengan 559 halaman untuk menceritakan segala jasa tokoh yang telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar kepada umat Islam adalah tidak memadai. Sehingga tahun ini, jumlah tokoh berkenaan bertambah lagi menjadi 26 orang dan sepatutnya pihak berkenaan menerbitkan 26 buku yang masing-masing memuatkan biografi setiap tokoh terbabit. Bagi menguji pembaca, berikut disenaraikan enam tokoh terawal yang menerima anugerah tersebut dan tanyalah diri sendiri adakah anda mengenali mereka sebelum ini. AL-SYEIKH MUHAMMAD IDRIS ABDUL RAUF AL-MARBAWI INDIVIDU pertama yang menerima anugerah berkenaan pada 1408 Hijrah atau tahun 1987 amat berjasa kepada pelajar-pelajar di alam Melayu terutamanya mereka yang mengikuti pengajian di negara-negara Arab. Kamus Arab-Melayu karangan beliau yang dikenali sebagai Qamus al- Marbawi adalah rujukan tetap pelajar-pelajar terbabit sehinggalah mereka dapat menguasai bahasa Arab dengan baik. Ulama yang berasal dari Kampung Merbau yang terletak tidak jauh dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dilahirkan pada 1893 di Mekah. Allahyarham yang meninggal dunia pada 1989 ketika berusia 96 tahun turut meninggalkan banyak karya-karya lain termasuk Bahrul Mazi yang merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi yang pertama dalam bahasa Melayu. PROF. EMERITUS TAN SRI AHMAD MOHAMED IBRAHIM BELIAU adalah penerima anugerah yang kedua pada 1409 Hijrah atau tahun 1988. Sumbangan Allahyarham adalah dalam memperkemaskan sistem pentadbiran undang-undang Islam Malaysia selaras dengan usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya. Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Penggubalan Undang-undang Islam dan Sivil, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Islam Malaysia Bhd. Beliau yang meninggal dunia pada 1999 ketika berusia 83 tahun telah menghasilkan puluhan judul buku yang kebanyakannya berhubung dengan undang-undang keluarga dan pentadbiran Islam. Allahyarham yang dilahirkan pada 1916 di Singapura adalah berkelulusan undang-undang dari Kolej St. John's, Universiti Cambridge. Sekembalinya ke Singapura, beliau menjadi peguam bela pertama dilantik di republik itu dan kemudiannya sebagai Peguam Negara Singapura yang pertama. Antara jasa beliau ketika di republik itu adalah menggubal Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam (AMLA) 1966 yang meliputi penubuhan Majlis Agama Islam, mahkamah syariah, peruntukan kewangan untuk masjid dan sekolah agama, undang-undang mengenai perkahwinan dan perceraian, harta serta penukaran agama. Pada 1968, Allahyarham bersara daripada perkhidmatan awam Singapura dan berhijrah ke Malaysia. Beliau kemudiannya berperanan menubuhkan pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). TAN SRI S.O.K. UBAIDULLA KADIR BASHA BELIAU yang meninggal dunia ketika berusia 90 tahun pada 2009 adalah tokoh politik veteran dan ahli perniagaan terkemuka. Allahyarham yang dikenali sebagai seorang pemimpin dan dermawan yang sentiasa merendah diri telah memegang pelbagai jawatan semasa hayatnya termasuk sebagai pengasas Yayasan Ubaidi, menjadi senator pada 1975 dan pengarah Bank Bumiputra Commerce Bhd. Beliau merupakan ahli MIC yang terawal sejak ditubuhkan pada 1946 dan kesetiaan beliau membolehkannya memegang beberapa jawatan penting di dalam parti itu termasuk sebagai Pengerusi Tetap. Allahyarham juga merupakan antara pengasas dan Presiden kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Pengerusi Persatuan India Muslim Malaysia (Permim). Semasa hayatnya, Allahyarham banyak membantu mempromosikan kesusasteraan Tamil dan menyertai aktiviti berunsur keagamaan sehingga melayakkan beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1989. PROF. TAN SRI DR. MUHAMMAD ABDUL RAUF BELIAU lahir pada 1917 di bandar Abu Sir Gharbieh, Mesir dan mendapat pendidikan tinggi berkaitan pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Universiti Cambridge dan University of London. Beliau dihantar ke Malaya oleh Universiti Al-Azhar pada 1955 untuk membuka Kolej Islam di Klang dan kemudian, mengetuai Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya. Allahyarham juga dikenali sebagai ‘arkitek’ yang membentuk sukatan pelajaran Pengetahuan Agama Islam sekolah rendah dan menengah dan sukatan pelajaran Bahasa Arab bagi sekolah menengah. Dari 1970 hingga 1980, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam di Washington, Amerika Syarikat (AS). Beliau kemudian dijemput kembali ke Malaysia untuk menjadi Rektor pertama UIAM dari 1983 hingga 1988 dan kemudian berpindah ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di Terengganu sebagai Penasihat Akademik sebelum bersara pada 1992. TAN SRI MOHD. ASRI MUDA BELIAU yang meninggal dunia pada 1992 ketika berusia 69 tahun adalah Presiden Pas dari 1969 hingga 1982 sebelum digantikan oleh Yusof Rawa. Beliau yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu dan Pondok Masjid Muhammadi. Allahyarham pernah menjadi guru agama di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak. Antara jawatan tinggi yang pernah disandangnya adalah Menteri Besar Kelantan dari 1964 hingga 1974. Beliau adalah tokoh yang membawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang menyaksikannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah sehingga 1977. RAJA TUN MOHAR RAJA BADIOZAMAN BELIAU meninggal dunia pada 2003 ketika berusia 81 tahun. Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dan berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Cambridge. Allahyarham pernah menjadi Penasihat Khas Ekonomi kepada tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dikenali sebagai seorang yang berintegriti tinggi bertanggungjawab menubuhkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan turut terbabit sebagai perunding bagi membolehkan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Soviet. Antara jasa beliau ketika menerajui Petronas pula adalah untuk mendapatkan kawalan semula hasil minyak mentah negara yang pada masa itu dikuasai oleh Shell dan Exxon. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131109/re_11/Usah-lupa-Tokoh-Maal-Hijrah#ixzz2kPBpp5vo © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts