Sunday, February 16, 2014

Mengekang jenayah maritim

SEBAGAI sebuah agensi dalam memastikan kedaulatan perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak gentar memikul amanah itu biarpun usianya hanya mencecah sembilan tahun. Sejak beroperasi pada 2005, pelbagai kejayaan diraih yang menjadi bukti kematangan pasukan itu dalam melaksanakan tugas menjaga perairan negara daripada sebarang bentuk ancaman, pencerobohan selain menguatkuasakan undang-undang di bawah agensi lain yang berkaitan dengan maritim. Berpegang kepada cogan kata 'Mengawal, Melindung, Menyelamat', Maritim Malaysia kini mula menampakkan taringnya dan sudah pasti menjadi igauan pihak musuh untuk menembusi sempadan perairan negara tanpa dikesan oleh Maritim Malaysia Wartawan Mingguan Malaysia, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mewawancara Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim DATUK MOHD. AMDAN KURISH di pejabatnya di IOI Resort Putrajaya sempena ulang tahun kesembilan agensi itu pada 15 Februari ini. MINGGUAN: Bolehkah Datuk jelaskan kemampuan Maritim Malaysia sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim? MOHD. AMDAN: Sejak Ogos 2011, Maritim Malaysia telah diberi mandat dan kepercayaan dengan tanggungjawab besar sebagai agensi tunggal dalam menentukan keselamatan dan keamanan di Zon Maritim Malaysia dari garis pantai hingga ke Zon Ekonomi Eksklusif atau 200 batu nautika dari pantai. Maritim Malaysia mengambil tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran dan beriltizam untuk memastikan kepercayaan itu dilaksanakan dengan penuh komited. Sebagai negara maritim yang menjadi laluan perdagangan timur dan barat serta aktiviti ekonomi yang dijana sumbernya dari laut, agensi ini perlu berupaya menjamin dan meyakinkan semua pengguna laut tempatan dan antarabangsa bahawa ia mampu menentukan keselamatan dan keamanan di dalam Zon Maritim Malaysia. Tidak ketinggalan, agensi ini telah merancang pembangunan keupayaan yang holistik bagi memikul amanah dengan berkesan untuk merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan sejajar dengan perkembangan masa dan persekitaran. Walaupun terdapat perbezaan besar bagi nisbah antara jumlah aset operasi iaitu 283 buah kapal dan bot yang perlu menjaga keluasan perairan negara seluas 614,000 kilometer persegi, dengan operasi yang terancang - agensi ini berjaya membuktikan usia muda dan jumlah aset operasi yang usang dan terhad, ia masih mampu memikul tanggungjawab dengan berkesan. Ini dibuktikan melalui kejayaan agensi ini menangani kes-kes jenayah di laut seperti rompakan dan kegiatan lanun, penyeludupan migran dan lain-lain. Setiap tahun, Maritim Malaysia berusaha meningkatkan kepatuhan pengguna laut terhadap undang-undang negara dengan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan di laut. Sejauh manakah penerimaan komuniti maritim tempatan dan antarabangsa kepada Maritim Malaysia? MOHD. AMDAN: Secara keseluruhan, Maritim Malaysia diterima baik oleh kebanyakan komuniti maritim tempatan dan antarabangsa yang patuh dan menghormati undang-undang dan inginkan keamanan dan keselamatan perairan. Contohnya, kami mendekati komuniti maritim melalui lebih 200 aktiviti di bawah program Sahabat Maritim, EYES, Dialog, Preventive SAR dan pendekatan-pendekatan lain secara berterusan telah diterima baik oleh komuniti maritim. Ini dapat dibuktikan menerusi kerjasama yang amat baik dalam semua program yang dilaksanakan bersama mereka. Mereka juga sentiasa berhubung rapat dengan Maritim Malaysia dan menyalurkan maklumat untuk membantu menangani kes-kes penyeludupan dan kes-kes lain seperti insiden di laut, kesalahan perikanan dan sebagainya. Di peringkat antarabangsa pula, penerimaan terhadap kewujudan Maritim Malaysia ini dapat kita lihat melalui pelbagai kerjasama melalui program bilateral dan multilateral yang dianjurkan. Selain itu, Maritim Malaysia telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, antaranya ialah Gold Award For Excellence and Business Prestigious di Quality Summit New York Tahun 2012. Apakah ancaman di laut yang menjadi cabaran dan apakah persediaan Maritim Malaysia bagi mendepani cabaran tersebut? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia sentiasa menganalisis senario geopolitik dan situasi keselamatan maritim semasa yang tidak menentu, dinamik dan berubah-ubah. Sejak ditubuhkan, Maritim Malaysia telah berjaya mengekang kejadian jenayah maritim terutamanya jenayah rompakan dan kegiatan lanun yang suatu ketika dulu berleluasa di Selat Melaka dan di selatan Johor. Sebelum penubuhan agensi ini, terdapat 38 kes rompakan terhadap kapal dagang di Selat Melaka pada tahun 2004. Setelah ditubuhkan, kes rompakan ini telah mencatatkan penurunan, bahkan tiada kes rompakan yang berlaku pada tahun 2009 hingga 2013 kecuali 2012 ada dua kes rompakan berlaku. Peratus pengurangan jenayah maritim iaitu 48.06 peratus pada tahun 2006 telah turun mendadak kepada angka yang sangat minimum iaitu 2.5 peratus pada tahun 2013. Ini merupakan kejayaan besar yang dicapai oleh Maritim Malaysia dalam bidang operasi. Sebagai agensi yang ditubuhkan dengan konsep naval force with civilians face, Maritim Malaysia turut berperanan membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menangani isu-isu yang mencabar kedaulatan perairan negara ini. Perancangan bagi jangka panjang pula telah digubal melalui Pelan Perancangan Strategik 2040 yang menggariskan secara jelas persediaan Maritim Malaysia untuk membangunkan angkatan penguatkuasaan laut yang mampu menangani cabaran masa depan. Bagaimana pula dengan pelbagai jenayah yang memerlukan proses siasatan yang lebih mencabar? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia sedia maklum keperluan ini untuk memastikan setiap siasatan yang dilaksanakan perlu menepati undang-undang di Malaysia. Oleh itu, kami telah menubuhkan Cawangan Siasatan Jenayah Maritim yang menumpukan usaha merancang dan melaksanakan pembangunan keupayaan siasatan supaya setanding dengan agensi-agensi penguat kuasa lain. Antara pembangunan yang menjadi fokus ialah meningkatkan kemahiran Pasukan Forensik, Detektif, Juru Bahasa dan Tim Soal Siasat melalui pelbagai kursus dalam dan luar negara. Pegawai-pegawai penguat kuasa yang terlibat mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar profesional dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Japan Coast Guard serta United States Coast Guard. Inisiatif ini telah menunjukkan beberapa kejayaan siasatan kes berprofil tinggi. Apakah peranan utama Maritim Malaysia dalam menangani kejadian kemalangan di laut? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Peneraju dalam menangani kejadian Bencana Maritim seperti yang termaktub dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20, Dasar dan Mekanisme Bencana Pengurusan Bencana Negara. Agensi ini bertanggungjawab mengendalikan operasi mencari dan menyelamat kemalangan maritim dalam kawasan Mencari dan Menyelamat Maritim Malaysia (Maritime Search And Rescue Region - MSRR). Selain menggunakan aset-aset agensi lain, Maritim Malaysia juga memperuntukkan sumber-sumber misi mencari dan menyelamat (SAR ) untuk membantu dalam aspek kemanusiaan dan insiden awam. Sebagai peneraju, Maritim Malaysia telah menubuhkan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat atau Maritime Rescue Coordinating Center (MRCC) dan lima Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat iaitu Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) untuk menyelaras operasi mencari dan menyelamat maritim. Apakah peranan Maritim Malaysia dalam meningkatkan kesedaran awam dan apakah nasihat Datuk secara khusus kepada masyarakat awam yang keluar ke laut sama ada untuk menyara hidup atau berekreasi? MOHD AMDAN: Program pencegahan SAR bertujuan untuk meminimumkan kehilangan nyawa dan merendahkan kadar kemalangan, dengan itu ia boleh mengurangkan perbelanjaan sumber-sumber SAR dan risiko kepada orang awam. Program ini dikenali sebagai Program Pencegahan SAR (Preventive) yang melibatkan komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan dan pengusaha bot dan feri. Bagi nelayan tempatan, usaha ditumpukan kepada kesedaran memakai jaket keselamatan dan mendapatkan maklumat cuaca kerana mereka ini rata-rata didapati menganggap mereka mahir dengan laut lalu sering mengabaikan keselamatan nyawa sendiri. Bot-bot nelayan juga sering kali diperiksa untuk memastikan para nelayan mematuhi peraturan-peraturan keselamatan ketika menangkap ikan di laut. Bagi pemancing yang menggunakan bot kecil yang tidak tertakluk kepada Boat Rules’ dinasihatkan untuk mempunyai jaket keselamatan demi keselamatan. Bagi pengusaha bot dan feri tempatan, program pencegahan SAR melibatkan aspek penguatkuasaan untuk memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan berkaitan alat keselamatan kapal dan syarat lesen. Pemeriksaan dibuat dari semasa ke semasa dan operasi khas dilaksanakan sebelum dan semasa cuti perayaan dan cuti sekolah. Selain Program Pencegahan SAR, Maritim Malaysia telah melaksanakan Program Sahabat Maritim bersama penduduk setempat dan salah satu aktiviti program itu ialah ceramah keselamatan kepada komuniti. Program-program ini dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan komuniti maritim terutamanya para nelayan dan keluarga, pemancing, pengusaha, pekerja (kapal/feri/bot), pengusaha, pekerja hotel dan resort dan masyarakat awam yang menjalankan urusan di laut. Untuk memperhebatkan usaha ini, Maritim Malaysia telah melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Di Laut di seluruh negara mulai pertengahan tahun 2013. Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat berlandaskan konsep baharu yang lebih menyeluruh bagi menyemai budaya keselamatan dalam kalangan komuniti maritim. Justeru, masyarakat diminta memberi kerjasama kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kehilangan nyawa. Maklumat kecemasan di laut hendaklah dilaporkan kepada Maritim Malaysia menerusi talian MERS 999 atau talian hotline MRCC dan MRSC yang boleh didapati di laman sesawang agensi ini di www.mmea.gov.my. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140209/re_07/Mengekang-jenayah-maritim#ixzz2tTHW0mnk © Utusan Melayu (M) Bhd

Perbankan Islam bukan Ah Long

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Universiti Global bagi Kewangan Islam (INCEIF) menolak dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa sistem perbankan Islam menawarkan kadar keuntungan mengatasi peminjam wang 'Ah Long.' "Persatuan pengguna itu perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan tidak berasas berkenaan," kata Abdul Rashid Kadir, salah seorang tenaga pengajar INCEIF. CAP mendakwa bank-bank yang menjalankan sistem perbankan Islam telah mengaut keuntungan daripada pinjaman peribadi Islam yang diberikan kepada peminjam secara tidak sengaja, dengan melaksanakan pembayaran balik kadar rata dan tidak menggunakan kaedah pengurangan baki modal. Menurut persatuan itu, kadar keuntungan bank bagi pinjaman peribadi Islam boleh menjadi sehingga 42 peratus setahun dan pinjaman peribadi Islam boleh berubah menjadi lebih mahal daripada pemberi pinjam wang. CAP mendakwa kadar faedah bagi pinjaman peribadi Islam boleh diterjemahkan sebagai dua peratus sebulan atau 24 peratus setahun. "Perkara ini tidak betul sama sekali. Bank Negara Malaysia tidak akan membenarkan pengiraan sebegini ke atas kadar keuntungan," kata Abdul Rashid kepada Bernama. Beliau menerangkan bahawa terdapat beberapa kaedah pembayaran dalam sistem perbankan Islam, termasuk yang paling mahal, yang dinamakan 'yearly rest,' hingga ke sistem pembayaran yang paling murah iaitu 'daily rest'. 'Yearly rest' adalah sistem melibatkan satu bayaran tambahan atau bayaran berlebihan dibuat untuk mengurangkan jumlah yang dipinjam digadai janji yang dikreditkan ke akaun hanya sekali setahun. Sementara itu, sistem 'daily rest' membolehkan pelanggan untuk membuat pembayaran dan faedah dikira berdasarkan baki pada akhir setiap hari. Abdul Rashid berkata, terdapat satu sistem kadar rata yang diguna pakai bagi pengiraan kadar keuntungan, dan ia merupakan kadar yang paling mahal dalam sistem perbankan Islam. Katanya, sistem kadar rata tersebut dipraktikkan di Malaysia, namun tidak membebankan peminjam kerana kadar yang dikenakan oleh perbankan Islam di negara ini, rata-ratanya lebih rendah daripada pasaran semasa, iaitu di paras sederhana mahal. "Sebagai contoh, sekiranya kadar sederhana mahal yang di pasaran adalah tujuh atau lapan peratus, kadar rata yang dicaj adalah hanya di antara tiga hingga lima peratus.. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131231/ek_01/Perbankan-Islam-bukan-Ah-Long#ixzz2tTFwxiau © Utusan Melayu (M) Bhd

Lindungi maklumat kritikal negara daripada ancaman media sosial

Oleh NOR FAIZ MUHAMMAD NOOR - PENULIS ialah Perunding Teknologi Maklumat Bebas dan kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana secara penyelidikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) - PADA tahun 2000, Bruce Schneier, seorang pakar dalam bidang keselamatan komputer telah meramalkan bahawa serangan semantik akan menjadi lebih serius dan sukar untuk ditangani berbanding dengan serangan berbentuk fizikal dan sintetik. Serangan semantik merupakan satu serangan yang dilakukan dengan memanipulasi sesebuah kandungan dan mengubah maksud asal sesuatu maklumat. Sasaran serangan semantik ialah manusia. Antara contoh serangan semantik ialah penyebaran kandungan palsu, khabar angin dan fitnah. Kemunculan media sosial membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi penjenayah dan pengganas melancarkan serangan siber. Berbanding dengan media konvensional, media sosial meningkatkan lagi keupayaan serangan semantik melalui kelebihannya yang mudah untuk digunakan, kos yang murah, interaksi dan capaian kepada komuniti yang lebih besar pada satu-satu masa dalam waktu yang singkat. Infrastruktur maklumat kritikal negara (CNII) merupakan sebarang aset, sistem dan fungsi yang amat penting kepada negara yang mana ketidakupayaan atau kemusnahannya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada negara dari segi ekonomi, imej, keselamatan dan pertahanan, keupayaan kerajaan untuk berfungsi, kesihatan dan keselamatan awam. Agensi-agensi kerajaan dan swasta yang dikategorikan dalam CNII terdiri daripada sektor kesihatan, air, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan, kerajaan, pertanian serta perkhidmatan kecemasan. Kebelakangan ini, bentuk serangan semantik seperti semakin berleluasa di media sosial. Kes-kes penghinaan agama, institusi beraja dan hasutan berbaur perkauman melalui media sosial telah dilaporkan dan ada yang dibawa ke muka pengadilan. Sehingga Jun 2013 sahaja, sebanyak 29 kes membabitkan penghinaan terhadap Islam dan institusi raja melalui media sosial telah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Antara agensi yang dikategorikan dalam CNII seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kerja Raya juga tidak ketinggalan menjadi mangsa serangan semantik di media sosial. Melihat pada trend serangan semantik, hampir kesemuanya dilihat mempunyai motif yang sama iaitu menjatuhkan kredibiliti kerajaan dan membangkitkan rasa marah rakyat. Sebagai contoh, penyebaran khabar angin mengenai 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh telah mengakibatkan proses pilihan raya terganggu. Antara kesan penyebaran tersebut adalah penahanan dan serangan terhadap pengundi yang disyaki pengundi hantu oleh pihak pembangkang, selain serangan ke atas warga asing serta membangkitkan kemarahan orang awam. Kerajaan perlu mengambil serius kaedah serangan semantik melalui media sosial dengan pemantauan yang berterusan selain penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Revolusi Arab Spring yang didukung oleh media sosial tidak seharusnya dilupakan. Twitter, Facebook dan Youtube pada waktu itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk membangkitkan semangat orang awam menumbangkan kerajaan sedia ada. Malah, media tersebut juga digunakan untuk mengorganisasikan tunjuk perasaan serta membentuk persepsi masyarakat terhadap mereka. Antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur maklumat kritikal negara bagi menangani ancaman siber adalah dengan mewujudkan Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP). Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini dilihat lebih memfokuskan kepada serangan berbentuk fizikal dan sintetik berbanding dengan bentuk serangan semantik. Satu kerangka perlu diwujudkan segera agar serangan berbentuk semantik ini dipantau secara berterusan bagi membolehkan tindakan yang pantas diambil. Ini adalah penting bagi mengelakkan kesan serangan tersebut merebak dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mampu membentuk persepsi negatif yang kekal pada mereka. Kebanyakan fitnah dan khabar angin mengenai sesuatu isu yang tersebar di media sosial biasanya tidak diberikan maklum balas yang pantas oleh pihak yang menjadi mangsa serangan dan kebiasaannya mengambil masa sehingga beberapa hari untuk menjawab isu tersebut. Ini memberikan ruang dan peluang kepada penyerang menyebarkan dan memainkan isu-isu tersebut berulang-ulang kali tanpa ada sebarang penafian yang boleh meneutralkan fitnah dan khabar angin yang dimainkan. Ungkapan Adolf Hitler bahawa sesebuah fakta yang salah sekiranya diulang berulang kali, ia akan dipercayai. Jadi perkara ini seharusnya diambil iktibar. Maklumat yang salah tidak seharusnya dibiarkan tersebar sewenang-wenangnya sehingga mampu mengganggu gugat kestabilan ekonomi, politik dan sosial negara. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140102/re_06/Lindungi-maklumat-kritikal-negara-daripada-ancaman-media-sosial#ixzz2tTFOpc8u © Utusan Melayu (M) Bhd

Kad kredit kaedah terbaharu bayar zakat

"Bolehkah zakat dibayar guna kad kredit? Konsepnya (kad kredit) adalah berhutang, rasanya tidak boleh menunaikan zakat dengan kaedah sedemikian rupa." "Lagipun, bukankah lebih afdal (lebih utama) menggunakan wang tunai? Sekiranya dibenarkan membayar zakat melalui kad kredit, saya ragu-ragu sama ada sah atau tidak zakat itu." Itu antara persoalan dan pandangan segelintir pihak apabila diajukan mengenai kaedah pembayaran zakat, yakni dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam bagi mereka yang layak. Pada pemikiran mereka, perintah Allah itu adalah antara satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan, maka ia haruslah dibayar dengan wang sendiri pada masa tersebut dan bukannya secara berhutang. Hakikatnya, inilah keunikan Islam apabila diberitahu oleh Pengurus Kanan Unit Khidmat Kaunter Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Hakemal Husain, bahawa kaedah pembayaran zakat melalui kad kredit dibenarkan. "Islam itu agama mudah. Dan, semua ini dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam tampil untuk menunaikan kewajipan mereka dan tiada lagi alasan untuk tidak berzakat," katanya kepada Bernama. Hanya perbankan Islam Biarpun demikian, Mohd Hakemal menegaskan hanya kad kredit yang berunsurkan perbankan Islam sahaja dibenarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan bagi mengelak unsur riba. Ini kerana, bank penyedia kad kredit akan membayar dahulu sebagai wakil kepada individu berkenaan, sebelum jumlah itu dibayar kembali dalam tempoh yang ditetapkan. Sekiranya gagal membayar balik jumlah yang didahulukan oleh pihak bank, kad kredit pembayar zakat itu akan disekat sehingga pembayaran dilunaskan. Disebabkan itulah pusat pungutan zakat hanya menerima kad kredit Islamik. Antara kad kredit perbankan Islam ialah bank Islam, Al-Ikhwan Maybank, Bank Simpanan Nasional Al-Aiman, CIMB Islamic, At-Taslif Ambank Group, RHB Islamic, HSBC Amanah, kad kredit i-Bank Rakyat dan Al Rajhi bank. Sehubungan itu, mereka tidak perlu bimbang mahupun gusar sama ada sah atau tidak zakat yang ditunaikan menerusi kaedah berkenaan dan ia dibenarkan kepada semua jenis zakat seperti zakat pendapatan, simpanan, emas, perak dan perniagaan. Pengenalan kepada medium ini adalah satu lagi alternatif memudahkan urusan pembayaran zakat selain mengunjungi kaunter, kaedah perbankan secara dalam talian (online), potongan gaji, kad debit mahupun tunai. Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang meraikan perubahan selaras dengan perkembangan sektor kewangan serta kepelbagaian jenis transaksi masa kini daripada bentuk tunai kepada talian. Kaedah pembayaran baharu ini juga adalah bertujuan menjamin keselamatan pembayar zakat tanpa perlunya membawa wang tunai ke kaunter zakat, jelas Mohd Hakemal. Hanya membawa satu kad, transaksi zakat dapat dilakukan serta lebih selamat dan tidak terdedah kepada risiko rompakan khususnya bagi mereka yang perlu membayar pelbagai jenis zakat. Akan tetapi, kaedah yang dilihat memudahkan ini turut menimbulkan kebimbangan andainya ia akan menggalakkan lebih ramai lagi orang berhutang. Dan, ini diperkukuhkan pula dengan data dan kajian sebelum ini yang mendapati kad kredit menjadi antara faktor kepada penggalakan budaya berhutang terutama dalam kalangan generasi muda. "PPZ-MAIWP (Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) memperkenalkan kaedah ini hanya untuk memudahkan transaksi bayaran dan tidak menggalakkan budaya berhutang. "Lagipun, pembayaran zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang memenuhi lima syarat wajib zakat iaitu, Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul (genap satu tahun)," jelasnya. Tambah Mohd Hakemal, tidak timbul istilah ataupun konsep berhutang kerana pembayar zakat mempunyai wang dan akan membayar balik kepada pihak bank kad kredit berkenaan dan kaedah pembayaran ini juga semakin diterima dalam kalangan umat Islam. Setakat ini, kutipan kaunter bagi pembayaran zakat melalui kad kredit dari bulan Januari sehingga November tahun ini ialah RM1.4 juta dengan jumlah pembayar seramai 487 orang di kawasan Wilayah Persekutuan. Walaupun menggunakan kad kredit, Mohd Hakemal berkata pengalaman atau suasana yang dirasai semasa membayarnya di kaunter, adalah tetap sama dan tidak wujud apa-apa perbezaan antara kedua-dua kaedah berkenaan. Tidak dinafikan, masih ramai gemar melaksanakan perintah Allah itu menerusi kaedah konvensional biarpun pelbagai pendekatan diperkenalkan dalam memudahkan urusan pembayaran zakat. Bagi mereka, nikmat yang diperoleh apabila melunaskannya dengan cara sedemikian rupa adalah lebih dirasai berbanding pembayaran secara talian, disebabkan adanya 'lafaz akad’ (sebutan yang dilafazkan ketika berurusan membayar zakat di kaunter). Hakikatnya, zakat tidak mensyaratkan 'lafaz akad’ sebagai syarat sah tetapi ibadah ini menjadi sah di sisi syariat apabila berlakunya dua perkara iaitu niat berzakat dan pemindahan harta berzakat. "Ada keunikan tersendiri apabila membayarnya di kaunter dan apa yang dialami oleh pembayar zakat yang menggunakan kad kredit dan tunai di kaunter adalah sama sahaja. "Mereka (pembayar zakat melalui kad kredit) tetap akan didoakan oleh pegawai kaunter untuk kesejahteraannya, keberkatan hartanya serta dapat merasai pengalaman lafaz akad," katanya. Selaras dengan relevannya kaedah konvensional ini, PPZ-MAIWP telah melakukan beberapa penambahbaikan seperti melengkapkan fasiliti lebih canggih dan tepat pengiraannya. Mengambil contoh mesin pengiraan wang, Mohd Hakemal berkata kemudahan terbaharu itu, yang kini terdapat di mana-mana kaunter membolehkan pegawai zakat mengesan apa-apa sahaja transaksi yang menggunakan wang palsu. Mesin ini juga bersifat lebih 'telus’ apabila terdapat skrin kecil yang diletakkan berhadapan pembayar zakat bagi membolehkan mereka berpeluang melihat jumlah pengiraan wang tersebut. Tidak terkecuali, mesin timbangan emas juga disediakan bagi mereka yang cukup syarat untuk membayarnya dan kaunter juga menawarkan perkhidmatan taksiran zakat, khidmat nasihat, salinan dan resit pembayaran. â€" Bernama Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140103/ba_02/Kad-kredit-kaedah-terbaharu-bayar-zakat#ixzz2tTEzrRYj © Utusan Melayu (M) Bhd

Perbankan Islam perlu elak kekeliruan

Sheikh Abd. Karem S. Khadaied (dua dari kanan) melihat dokumen aduan yang dibuat oleh Abdul Jamal Jalaludeen (dua kiri), Mohammad Saufie Othman (kiri) dan Mohd. Fairullazi Ayub dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 9 Jan. - Pengamal perbankan Islam perlu lebih telus dan mematuhi syariah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peminjam. Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied berkata, beliau bimbang kerana terdapat beberapa kesalahan dan keraguan dalam pelaksanaan perbankan Islam terutama dalam sistem kiraan pinjaman. Jelasnya, antara kesalahan itu ialah terdapat unsur-unsur keraguan melampau (gharar) dalam transaksi peminjam, prinsip al-Bai Bithaman Ajil yang tidak dilaksanakan secara betul dan berhubung soal diskaun (ibra') semasa pembelian hartanah yang dilelong. Katanya, kaedah transaksi itu dilaksanakan secara tidak jelas dan tidak dinyatakan dalam perjanjian ataupun pada surat tawaran yang diterima peminjam. "Ini bertentangan dengan syarat-syarat Bank Negara. Hakikat yang disembunyikan itu membolehkan pihak bank mengaut keuntungan berlebihan. "Oleh kerana itu, kita menggesa Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia untuk mengkaji serta menyiasat secara mendalam kes-kes tersebut dan menyelesaikan permasalahan berkenaan yang bukannya perkara baharu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pendedahan kepincangan sistem perbankan Islam di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Abdul Jamal Jalaludeen dan Exco NUBE, Mohammad Saufie Othman. Tambahnya, konsep perbankan Islam yang sepatutnya memudahkan proses jual beli kini menjadi sistem yang membebankan apabila peminjam perlu menanggung hutang sehingga ada dalam kalangan mereka disenarai hitam. "PPIM tidak menentang perbankan Islam, cuma kami mahukan beberapa perkara diperbetulkan demi agama Islam. "Sistem tersebut perlu diperbaiki kelemahannya dan perlu mengikut syariah Islam kerana kita tidak mahu mereka yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan cara mengaburi mata orang ramai menggunakan nama Islam yang suci," jelasnya. Katanya, walaupun PPIM telah menghantar surat kepada Bank Negara dan kertas kerja kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), setakat ini tiada inisiatif pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sementara itu, seorang 'mangsa' perbankan Islam, Mohd. Fairullazi Ayub, 34, yang membuat pinjaman perumahan mendakwa terdapat unsur-unsur gharar dalam penyata yang diterimanya. Katanya, terdapat percanggahan angka dalam penyata pembayaran pinjaman yang diragui. Jelasnya, angka-angka tersebut berbeza daripada perjanjian dan terdapat hakikat yang disembunyikan oleh pihak bank. "Saya telah buat aduan kepada bank berkenaan dan Bank Negara namun sehingga kini masih tiada tindakan, malah setiap kali saya hubungi untuk susulan kes, saya hanya difahamkan kes itu masih dalam siasatan," jelasnya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140110/dn_19/Perbankan-Islam-perlu-elak-kekeliruan#ixzz2tTEi1esP © Utusan Melayu (M) Bhd

Asas kejayaan produk pasaran modal Islam

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Maqasid syariah adalah konsep yang menjadi asas kepada kejayaan produk pasaran modal Islam yang ditawarkan oleh pelbagai perbankan dan institusi kewangan Islam di negara ini. Pengarah Jabatan Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti, Dr. Md. Nurdin Ngadimon (gambar) berkata, maqasid syariah memastikan setiap matlamat dalam setiap aktiviti produk pasaran modal Islam tercapai melalui cara yang dibenarkan selain memberi manfaat kepada pengguna. "Sebagai contoh, sukuk adalah produk yang memberi pendapatan tetap kepada pelabur dengan mematuhi syariah. Bagi pihak yang mahu menerbitkan sukuk pula, mereka menggunakan dana secara Islamik kerana mahu mendapatkan modal secara Islam. Jadi kedua-dua pihak ini telah memenuhi maqasid syariah," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Aplikasi maqasid syariah dalam produk pasaran modal Islam' pada Forum Antarabangsa Mengenai Maqasid Syariah Dalam Muamalat dan Kontrak di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam di sini hari ini. Dalam pada itu, Md. Nurdin berkata, produk pasaran modal Islam seperti ekuiti Islam, sukuk, produk Islamik berstruktur dan pasaran niaga hadapan patuh syariah yang ditawarkan perbankan dan institusi kewangan Islam di negara ini adalah relevan dengan konsep maqasid syariah dalam kategori 'daruriyyat' atau keperluan untuk melindungi harta. "Daruriyyat adalah kategori yang sesuai di mana ia mengandungi perlindungan terhadap lima nilai penting bagi seseorang iaitu agama, kehidupan, keturunan, harta dan pemikiran," katanya. Katanya, maqasid syariah yang berhubung kait dengan melindungi harta benda boleh diaplikasikan melalui pelbagai cara termasuk aspek pentadbiran dan peraturan yang efektif. Md. Nurdin berkata, kategori daruriyyat juga boleh diaplikasikan terhadap produk pasaran modal Islam melalui Majlis Penasihat Syariah terutama yang ditubuhkan di Suruhanjaya Sekuriti bagi memastikannya mematuhi hukum Islam. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140130/dn_16/Asas-kejayaan-produk-pasaran-modal-Islam#ixzz2tTE7eLSX © Utusan Melayu (M) Bhd

Mencongak kewangan peribadi

Oleh HASHNAN ABDULLAH - ASAS kemahiran pengurusan kewangan bukanlah satu perkara baharu. Setiap daripada kita menyedari tentang kepentingannya, lebih-lebih lagi dalam menangani kenaikan kos sara hidup yang mendadak sekarang ini. Umum mengetahui bahawa kemahiran tersebut akan membolehkan kita mengoptimumkan pendapatan bagi tujuan tabungan serta memenuhi keperluan hidup diri sendiri mahupun keluarga dari semasa ke semasa. Tanpa kemahiran itu, ramai merasakan pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi hingga terpaksa miss soru, menunggu-nunggu hari gaji dan meminjam di sana-sani bagi mencukupkan belanja. Namun begitu, masih tidak terlewat untuk mempelajari dan mempratikkan asas kemahiran itu secara formal tanpa mengira sedalam mana masalah kewangan yang sedang dan bakal kita hadapi. Bagi Felo Kanan dan Pengarah, Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPL, IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman, yang menyifatkan asas kemahiran tersebut akan membolehkan seseorang itu mengetahui dengan jelas jumlah hutang, tabungan dan perbelanjaan bulanan masing-masing. “Duit banyak mana sekali pun, tetapi kalau kita tidak pandai menguruskannya, kita akan sentiasa berdepan dengan masalah kewangan dan sudah pasti, ia membawa kepada suasana hidup yang tidak tenteram sepanjang masa," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘Urus Wang, Hati Tenang’ di Bengkel Pengurusan Kewangan Peribadi anjuran IKIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Lima langkah Sehubungan itu, Siti Fatimah telah mengariskan lima langkah untuk menguruskan wang dengan betul iaitu menilai kedudukan kewangan semasa, menetapkan matlamat dan menyediakan bajet kewangan. Beliau berkata, dua lagi langkah adalah melaksanakan bajet yang dirancangkan itu dan memantau serta menilai semula bajet yang diputuskan itu. “Kita memerlukan masa untuk berasa selesa dengan pengurusan bajet yang kita buat itu," katanya. Menyentuh langkah pertama iaitu menilai kedudukan kewangan sekarang, akan membolehkan kita mengetahui dengan jelas jumlah harta dan hutang yang kita miliki. Memiliki jumlah harta yang lebih banyak berbanding hutang tidak semestinya baik kerana ada harta itu turut membebani kita dengan sejumlah hutang yang perlu dibayar setiap bulan. “Bagi memiliki kedudukan kewangan yang baik, seseorang tersebut perlu memiliki jumlah harta mudah cair yang lebih selesa atau untuk tempoh enam bulan ke atas. “Kalau hutang lebih banyak daripada harta, kita perlu melakukan sesuatu sebelum diisytihar muflis dengan menambah tabungan, kurangkan perbelanjaan dan jual aset yang tidak menjana keuntungan," kata Siti Fatimah. Bagi langkah kedua iaitu menetapkan matlamat kewangan pula adalah lebih kepada apa yang ingin kita capai untuk tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang. Ia juga menuntut kita menyediakan dana untuk tujuan kecemasan. “Barulah kita memberi tumpuan kepada penyediaan bajet mengikut Teknik Asas Kitaraan Wang iaitu bermula dengan jumlah pendapatan, tabungan, hutang dan perbelanjaan. “Selepas itu, kita melaksanakan bajet dan akhir sekali adalah memantau dan menilai semula bajet yang kita buat itu," katanya. Pengurusan hutang Sementara itu, Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar IKIM, Azrina Sobian memberitahu, asas kemahiran kewangan peribadi itu turut membabitkan soal pengurusan hutang yang kita miliki. Beliau berkata, kegagalan menguruskan hutang akan menyebabkan hidup seseorang itu menjadi tidak tenteram, sentiasa mengalami kesedihan serta kehinaan dan sering berdusta atau berbohong. “Laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2010 menunjukkan isi rumah di Malaysia menggunakan 48 peratus daripada gaji mereka untuk membayar hutang. “Malah, nisbah hutang isu rumah di Malaysia berbanding pendapatan boleh guna adalah tertinggi di dunia iaitu 140 peratus," ujarnya. Justeru, beliau mengariskan beberapa strategi penyelesaian yang menyasarkan untuk mengurangkan hutang yang tidak mendatangkan faedah kewangan dan menyelesaikan mana-mana hutang mempunyai kadar faedah yang tinggi. “Jika kita perlu berhutang, seseorang itu seharusnya melakukan mengikut kemampuan pendapatannya untuk membayar mengikut jadual yang ditetapkan," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140205/ba_02/Mencongak-kewangan-peribadi#ixzz2tTDeYUCZ © Utusan Melayu (M) Bhd