Asas kejayaan produk pasaran modal Islam

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Maqasid syariah adalah konsep yang menjadi asas kepada kejayaan produk pasaran modal Islam yang ditawarkan oleh pelbagai perbankan dan institusi kewangan Islam di negara ini. Pengarah Jabatan Pasaran Modal Islam, Suruhanjaya Sekuriti, Dr. Md. Nurdin Ngadimon (gambar) berkata, maqasid syariah memastikan setiap matlamat dalam setiap aktiviti produk pasaran modal Islam tercapai melalui cara yang dibenarkan selain memberi manfaat kepada pengguna. "Sebagai contoh, sukuk adalah produk yang memberi pendapatan tetap kepada pelabur dengan mematuhi syariah. Bagi pihak yang mahu menerbitkan sukuk pula, mereka menggunakan dana secara Islamik kerana mahu mendapatkan modal secara Islam. Jadi kedua-dua pihak ini telah memenuhi maqasid syariah," katanya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Aplikasi maqasid syariah dalam produk pasaran modal Islam' pada Forum Antarabangsa Mengenai Maqasid Syariah Dalam Muamalat dan Kontrak di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam di sini hari ini. Dalam pada itu, Md. Nurdin berkata, produk pasaran modal Islam seperti ekuiti Islam, sukuk, produk Islamik berstruktur dan pasaran niaga hadapan patuh syariah yang ditawarkan perbankan dan institusi kewangan Islam di negara ini adalah relevan dengan konsep maqasid syariah dalam kategori 'daruriyyat' atau keperluan untuk melindungi harta. "Daruriyyat adalah kategori yang sesuai di mana ia mengandungi perlindungan terhadap lima nilai penting bagi seseorang iaitu agama, kehidupan, keturunan, harta dan pemikiran," katanya. Katanya, maqasid syariah yang berhubung kait dengan melindungi harta benda boleh diaplikasikan melalui pelbagai cara termasuk aspek pentadbiran dan peraturan yang efektif. Md. Nurdin berkata, kategori daruriyyat juga boleh diaplikasikan terhadap produk pasaran modal Islam melalui Majlis Penasihat Syariah terutama yang ditubuhkan di Suruhanjaya Sekuriti bagi memastikannya mematuhi hukum Islam. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140130/dn_16/Asas-kejayaan-produk-pasaran-modal-Islam#ixzz2tTE7eLSX © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts