Kad kredit kaedah terbaharu bayar zakat

"Bolehkah zakat dibayar guna kad kredit? Konsepnya (kad kredit) adalah berhutang, rasanya tidak boleh menunaikan zakat dengan kaedah sedemikian rupa." "Lagipun, bukankah lebih afdal (lebih utama) menggunakan wang tunai? Sekiranya dibenarkan membayar zakat melalui kad kredit, saya ragu-ragu sama ada sah atau tidak zakat itu." Itu antara persoalan dan pandangan segelintir pihak apabila diajukan mengenai kaedah pembayaran zakat, yakni dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam bagi mereka yang layak. Pada pemikiran mereka, perintah Allah itu adalah antara satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan, maka ia haruslah dibayar dengan wang sendiri pada masa tersebut dan bukannya secara berhutang. Hakikatnya, inilah keunikan Islam apabila diberitahu oleh Pengurus Kanan Unit Khidmat Kaunter Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Hakemal Husain, bahawa kaedah pembayaran zakat melalui kad kredit dibenarkan. "Islam itu agama mudah. Dan, semua ini dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai umat Islam tampil untuk menunaikan kewajipan mereka dan tiada lagi alasan untuk tidak berzakat," katanya kepada Bernama. Hanya perbankan Islam Biarpun demikian, Mohd Hakemal menegaskan hanya kad kredit yang berunsurkan perbankan Islam sahaja dibenarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan bagi mengelak unsur riba. Ini kerana, bank penyedia kad kredit akan membayar dahulu sebagai wakil kepada individu berkenaan, sebelum jumlah itu dibayar kembali dalam tempoh yang ditetapkan. Sekiranya gagal membayar balik jumlah yang didahulukan oleh pihak bank, kad kredit pembayar zakat itu akan disekat sehingga pembayaran dilunaskan. Disebabkan itulah pusat pungutan zakat hanya menerima kad kredit Islamik. Antara kad kredit perbankan Islam ialah bank Islam, Al-Ikhwan Maybank, Bank Simpanan Nasional Al-Aiman, CIMB Islamic, At-Taslif Ambank Group, RHB Islamic, HSBC Amanah, kad kredit i-Bank Rakyat dan Al Rajhi bank. Sehubungan itu, mereka tidak perlu bimbang mahupun gusar sama ada sah atau tidak zakat yang ditunaikan menerusi kaedah berkenaan dan ia dibenarkan kepada semua jenis zakat seperti zakat pendapatan, simpanan, emas, perak dan perniagaan. Pengenalan kepada medium ini adalah satu lagi alternatif memudahkan urusan pembayaran zakat selain mengunjungi kaunter, kaedah perbankan secara dalam talian (online), potongan gaji, kad debit mahupun tunai. Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang meraikan perubahan selaras dengan perkembangan sektor kewangan serta kepelbagaian jenis transaksi masa kini daripada bentuk tunai kepada talian. Kaedah pembayaran baharu ini juga adalah bertujuan menjamin keselamatan pembayar zakat tanpa perlunya membawa wang tunai ke kaunter zakat, jelas Mohd Hakemal. Hanya membawa satu kad, transaksi zakat dapat dilakukan serta lebih selamat dan tidak terdedah kepada risiko rompakan khususnya bagi mereka yang perlu membayar pelbagai jenis zakat. Akan tetapi, kaedah yang dilihat memudahkan ini turut menimbulkan kebimbangan andainya ia akan menggalakkan lebih ramai lagi orang berhutang. Dan, ini diperkukuhkan pula dengan data dan kajian sebelum ini yang mendapati kad kredit menjadi antara faktor kepada penggalakan budaya berhutang terutama dalam kalangan generasi muda. "PPZ-MAIWP (Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) memperkenalkan kaedah ini hanya untuk memudahkan transaksi bayaran dan tidak menggalakkan budaya berhutang. "Lagipun, pembayaran zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang memenuhi lima syarat wajib zakat iaitu, Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul (genap satu tahun)," jelasnya. Tambah Mohd Hakemal, tidak timbul istilah ataupun konsep berhutang kerana pembayar zakat mempunyai wang dan akan membayar balik kepada pihak bank kad kredit berkenaan dan kaedah pembayaran ini juga semakin diterima dalam kalangan umat Islam. Setakat ini, kutipan kaunter bagi pembayaran zakat melalui kad kredit dari bulan Januari sehingga November tahun ini ialah RM1.4 juta dengan jumlah pembayar seramai 487 orang di kawasan Wilayah Persekutuan. Walaupun menggunakan kad kredit, Mohd Hakemal berkata pengalaman atau suasana yang dirasai semasa membayarnya di kaunter, adalah tetap sama dan tidak wujud apa-apa perbezaan antara kedua-dua kaedah berkenaan. Tidak dinafikan, masih ramai gemar melaksanakan perintah Allah itu menerusi kaedah konvensional biarpun pelbagai pendekatan diperkenalkan dalam memudahkan urusan pembayaran zakat. Bagi mereka, nikmat yang diperoleh apabila melunaskannya dengan cara sedemikian rupa adalah lebih dirasai berbanding pembayaran secara talian, disebabkan adanya 'lafaz akad’ (sebutan yang dilafazkan ketika berurusan membayar zakat di kaunter). Hakikatnya, zakat tidak mensyaratkan 'lafaz akad’ sebagai syarat sah tetapi ibadah ini menjadi sah di sisi syariat apabila berlakunya dua perkara iaitu niat berzakat dan pemindahan harta berzakat. "Ada keunikan tersendiri apabila membayarnya di kaunter dan apa yang dialami oleh pembayar zakat yang menggunakan kad kredit dan tunai di kaunter adalah sama sahaja. "Mereka (pembayar zakat melalui kad kredit) tetap akan didoakan oleh pegawai kaunter untuk kesejahteraannya, keberkatan hartanya serta dapat merasai pengalaman lafaz akad," katanya. Selaras dengan relevannya kaedah konvensional ini, PPZ-MAIWP telah melakukan beberapa penambahbaikan seperti melengkapkan fasiliti lebih canggih dan tepat pengiraannya. Mengambil contoh mesin pengiraan wang, Mohd Hakemal berkata kemudahan terbaharu itu, yang kini terdapat di mana-mana kaunter membolehkan pegawai zakat mengesan apa-apa sahaja transaksi yang menggunakan wang palsu. Mesin ini juga bersifat lebih 'telus’ apabila terdapat skrin kecil yang diletakkan berhadapan pembayar zakat bagi membolehkan mereka berpeluang melihat jumlah pengiraan wang tersebut. Tidak terkecuali, mesin timbangan emas juga disediakan bagi mereka yang cukup syarat untuk membayarnya dan kaunter juga menawarkan perkhidmatan taksiran zakat, khidmat nasihat, salinan dan resit pembayaran. â€" Bernama Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140103/ba_02/Kad-kredit-kaedah-terbaharu-bayar-zakat#ixzz2tTEzrRYj © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts