Lindungi maklumat kritikal negara daripada ancaman media sosial

Oleh NOR FAIZ MUHAMMAD NOOR - PENULIS ialah Perunding Teknologi Maklumat Bebas dan kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana secara penyelidikan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) - PADA tahun 2000, Bruce Schneier, seorang pakar dalam bidang keselamatan komputer telah meramalkan bahawa serangan semantik akan menjadi lebih serius dan sukar untuk ditangani berbanding dengan serangan berbentuk fizikal dan sintetik. Serangan semantik merupakan satu serangan yang dilakukan dengan memanipulasi sesebuah kandungan dan mengubah maksud asal sesuatu maklumat. Sasaran serangan semantik ialah manusia. Antara contoh serangan semantik ialah penyebaran kandungan palsu, khabar angin dan fitnah. Kemunculan media sosial membuka lebih banyak ruang dan peluang bagi penjenayah dan pengganas melancarkan serangan siber. Berbanding dengan media konvensional, media sosial meningkatkan lagi keupayaan serangan semantik melalui kelebihannya yang mudah untuk digunakan, kos yang murah, interaksi dan capaian kepada komuniti yang lebih besar pada satu-satu masa dalam waktu yang singkat. Infrastruktur maklumat kritikal negara (CNII) merupakan sebarang aset, sistem dan fungsi yang amat penting kepada negara yang mana ketidakupayaan atau kemusnahannya akan memberikan kesan yang amat buruk kepada negara dari segi ekonomi, imej, keselamatan dan pertahanan, keupayaan kerajaan untuk berfungsi, kesihatan dan keselamatan awam. Agensi-agensi kerajaan dan swasta yang dikategorikan dalam CNII terdiri daripada sektor kesihatan, air, perbankan dan kewangan, maklumat dan komunikasi, tenaga, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan, kerajaan, pertanian serta perkhidmatan kecemasan. Kebelakangan ini, bentuk serangan semantik seperti semakin berleluasa di media sosial. Kes-kes penghinaan agama, institusi beraja dan hasutan berbaur perkauman melalui media sosial telah dilaporkan dan ada yang dibawa ke muka pengadilan. Sehingga Jun 2013 sahaja, sebanyak 29 kes membabitkan penghinaan terhadap Islam dan institusi raja melalui media sosial telah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Antara agensi yang dikategorikan dalam CNII seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kerja Raya juga tidak ketinggalan menjadi mangsa serangan semantik di media sosial. Melihat pada trend serangan semantik, hampir kesemuanya dilihat mempunyai motif yang sama iaitu menjatuhkan kredibiliti kerajaan dan membangkitkan rasa marah rakyat. Sebagai contoh, penyebaran khabar angin mengenai 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh telah mengakibatkan proses pilihan raya terganggu. Antara kesan penyebaran tersebut adalah penahanan dan serangan terhadap pengundi yang disyaki pengundi hantu oleh pihak pembangkang, selain serangan ke atas warga asing serta membangkitkan kemarahan orang awam. Kerajaan perlu mengambil serius kaedah serangan semantik melalui media sosial dengan pemantauan yang berterusan selain penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas. Revolusi Arab Spring yang didukung oleh media sosial tidak seharusnya dilupakan. Twitter, Facebook dan Youtube pada waktu itu telah digunakan sebaik-baiknya untuk membangkitkan semangat orang awam menumbangkan kerajaan sedia ada. Malah, media tersebut juga digunakan untuk mengorganisasikan tunjuk perasaan serta membentuk persepsi masyarakat terhadap mereka. Antara inisiatif kerajaan bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur maklumat kritikal negara bagi menangani ancaman siber adalah dengan mewujudkan Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP). Bagaimanapun, pelaksanaan dasar ini dilihat lebih memfokuskan kepada serangan berbentuk fizikal dan sintetik berbanding dengan bentuk serangan semantik. Satu kerangka perlu diwujudkan segera agar serangan berbentuk semantik ini dipantau secara berterusan bagi membolehkan tindakan yang pantas diambil. Ini adalah penting bagi mengelakkan kesan serangan tersebut merebak dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat dan seterusnya mampu membentuk persepsi negatif yang kekal pada mereka. Kebanyakan fitnah dan khabar angin mengenai sesuatu isu yang tersebar di media sosial biasanya tidak diberikan maklum balas yang pantas oleh pihak yang menjadi mangsa serangan dan kebiasaannya mengambil masa sehingga beberapa hari untuk menjawab isu tersebut. Ini memberikan ruang dan peluang kepada penyerang menyebarkan dan memainkan isu-isu tersebut berulang-ulang kali tanpa ada sebarang penafian yang boleh meneutralkan fitnah dan khabar angin yang dimainkan. Ungkapan Adolf Hitler bahawa sesebuah fakta yang salah sekiranya diulang berulang kali, ia akan dipercayai. Jadi perkara ini seharusnya diambil iktibar. Maklumat yang salah tidak seharusnya dibiarkan tersebar sewenang-wenangnya sehingga mampu mengganggu gugat kestabilan ekonomi, politik dan sosial negara. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140102/re_06/Lindungi-maklumat-kritikal-negara-daripada-ancaman-media-sosial#ixzz2tTFOpc8u © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts