Mengekang jenayah maritim

SEBAGAI sebuah agensi dalam memastikan kedaulatan perairan negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak gentar memikul amanah itu biarpun usianya hanya mencecah sembilan tahun. Sejak beroperasi pada 2005, pelbagai kejayaan diraih yang menjadi bukti kematangan pasukan itu dalam melaksanakan tugas menjaga perairan negara daripada sebarang bentuk ancaman, pencerobohan selain menguatkuasakan undang-undang di bawah agensi lain yang berkaitan dengan maritim. Berpegang kepada cogan kata 'Mengawal, Melindung, Menyelamat', Maritim Malaysia kini mula menampakkan taringnya dan sudah pasti menjadi igauan pihak musuh untuk menembusi sempadan perairan negara tanpa dikesan oleh Maritim Malaysia Wartawan Mingguan Malaysia, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mewawancara Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim DATUK MOHD. AMDAN KURISH di pejabatnya di IOI Resort Putrajaya sempena ulang tahun kesembilan agensi itu pada 15 Februari ini. MINGGUAN: Bolehkah Datuk jelaskan kemampuan Maritim Malaysia sebagai agensi tunggal penguatkuasaan maritim? MOHD. AMDAN: Sejak Ogos 2011, Maritim Malaysia telah diberi mandat dan kepercayaan dengan tanggungjawab besar sebagai agensi tunggal dalam menentukan keselamatan dan keamanan di Zon Maritim Malaysia dari garis pantai hingga ke Zon Ekonomi Eksklusif atau 200 batu nautika dari pantai. Maritim Malaysia mengambil tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran dan beriltizam untuk memastikan kepercayaan itu dilaksanakan dengan penuh komited. Sebagai negara maritim yang menjadi laluan perdagangan timur dan barat serta aktiviti ekonomi yang dijana sumbernya dari laut, agensi ini perlu berupaya menjamin dan meyakinkan semua pengguna laut tempatan dan antarabangsa bahawa ia mampu menentukan keselamatan dan keamanan di dalam Zon Maritim Malaysia. Tidak ketinggalan, agensi ini telah merancang pembangunan keupayaan yang holistik bagi memikul amanah dengan berkesan untuk merealisasikan visi dan misi yang ditetapkan sejajar dengan perkembangan masa dan persekitaran. Walaupun terdapat perbezaan besar bagi nisbah antara jumlah aset operasi iaitu 283 buah kapal dan bot yang perlu menjaga keluasan perairan negara seluas 614,000 kilometer persegi, dengan operasi yang terancang - agensi ini berjaya membuktikan usia muda dan jumlah aset operasi yang usang dan terhad, ia masih mampu memikul tanggungjawab dengan berkesan. Ini dibuktikan melalui kejayaan agensi ini menangani kes-kes jenayah di laut seperti rompakan dan kegiatan lanun, penyeludupan migran dan lain-lain. Setiap tahun, Maritim Malaysia berusaha meningkatkan kepatuhan pengguna laut terhadap undang-undang negara dengan meningkatkan jumlah pemeriksaan dan pemantauan di laut. Sejauh manakah penerimaan komuniti maritim tempatan dan antarabangsa kepada Maritim Malaysia? MOHD. AMDAN: Secara keseluruhan, Maritim Malaysia diterima baik oleh kebanyakan komuniti maritim tempatan dan antarabangsa yang patuh dan menghormati undang-undang dan inginkan keamanan dan keselamatan perairan. Contohnya, kami mendekati komuniti maritim melalui lebih 200 aktiviti di bawah program Sahabat Maritim, EYES, Dialog, Preventive SAR dan pendekatan-pendekatan lain secara berterusan telah diterima baik oleh komuniti maritim. Ini dapat dibuktikan menerusi kerjasama yang amat baik dalam semua program yang dilaksanakan bersama mereka. Mereka juga sentiasa berhubung rapat dengan Maritim Malaysia dan menyalurkan maklumat untuk membantu menangani kes-kes penyeludupan dan kes-kes lain seperti insiden di laut, kesalahan perikanan dan sebagainya. Di peringkat antarabangsa pula, penerimaan terhadap kewujudan Maritim Malaysia ini dapat kita lihat melalui pelbagai kerjasama melalui program bilateral dan multilateral yang dianjurkan. Selain itu, Maritim Malaysia telah berjaya meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa, antaranya ialah Gold Award For Excellence and Business Prestigious di Quality Summit New York Tahun 2012. Apakah ancaman di laut yang menjadi cabaran dan apakah persediaan Maritim Malaysia bagi mendepani cabaran tersebut? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia sentiasa menganalisis senario geopolitik dan situasi keselamatan maritim semasa yang tidak menentu, dinamik dan berubah-ubah. Sejak ditubuhkan, Maritim Malaysia telah berjaya mengekang kejadian jenayah maritim terutamanya jenayah rompakan dan kegiatan lanun yang suatu ketika dulu berleluasa di Selat Melaka dan di selatan Johor. Sebelum penubuhan agensi ini, terdapat 38 kes rompakan terhadap kapal dagang di Selat Melaka pada tahun 2004. Setelah ditubuhkan, kes rompakan ini telah mencatatkan penurunan, bahkan tiada kes rompakan yang berlaku pada tahun 2009 hingga 2013 kecuali 2012 ada dua kes rompakan berlaku. Peratus pengurangan jenayah maritim iaitu 48.06 peratus pada tahun 2006 telah turun mendadak kepada angka yang sangat minimum iaitu 2.5 peratus pada tahun 2013. Ini merupakan kejayaan besar yang dicapai oleh Maritim Malaysia dalam bidang operasi. Sebagai agensi yang ditubuhkan dengan konsep naval force with civilians face, Maritim Malaysia turut berperanan membantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menangani isu-isu yang mencabar kedaulatan perairan negara ini. Perancangan bagi jangka panjang pula telah digubal melalui Pelan Perancangan Strategik 2040 yang menggariskan secara jelas persediaan Maritim Malaysia untuk membangunkan angkatan penguatkuasaan laut yang mampu menangani cabaran masa depan. Bagaimana pula dengan pelbagai jenayah yang memerlukan proses siasatan yang lebih mencabar? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia sedia maklum keperluan ini untuk memastikan setiap siasatan yang dilaksanakan perlu menepati undang-undang di Malaysia. Oleh itu, kami telah menubuhkan Cawangan Siasatan Jenayah Maritim yang menumpukan usaha merancang dan melaksanakan pembangunan keupayaan siasatan supaya setanding dengan agensi-agensi penguat kuasa lain. Antara pembangunan yang menjadi fokus ialah meningkatkan kemahiran Pasukan Forensik, Detektif, Juru Bahasa dan Tim Soal Siasat melalui pelbagai kursus dalam dan luar negara. Pegawai-pegawai penguat kuasa yang terlibat mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar profesional dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Japan Coast Guard serta United States Coast Guard. Inisiatif ini telah menunjukkan beberapa kejayaan siasatan kes berprofil tinggi. Apakah peranan utama Maritim Malaysia dalam menangani kejadian kemalangan di laut? MOHD. AMDAN: Maritim Malaysia telah dilantik sebagai Agensi Peneraju dalam menangani kejadian Bencana Maritim seperti yang termaktub dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20, Dasar dan Mekanisme Bencana Pengurusan Bencana Negara. Agensi ini bertanggungjawab mengendalikan operasi mencari dan menyelamat kemalangan maritim dalam kawasan Mencari dan Menyelamat Maritim Malaysia (Maritime Search And Rescue Region - MSRR). Selain menggunakan aset-aset agensi lain, Maritim Malaysia juga memperuntukkan sumber-sumber misi mencari dan menyelamat (SAR ) untuk membantu dalam aspek kemanusiaan dan insiden awam. Sebagai peneraju, Maritim Malaysia telah menubuhkan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat atau Maritime Rescue Coordinating Center (MRCC) dan lima Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat iaitu Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) untuk menyelaras operasi mencari dan menyelamat maritim. Apakah peranan Maritim Malaysia dalam meningkatkan kesedaran awam dan apakah nasihat Datuk secara khusus kepada masyarakat awam yang keluar ke laut sama ada untuk menyara hidup atau berekreasi? MOHD AMDAN: Program pencegahan SAR bertujuan untuk meminimumkan kehilangan nyawa dan merendahkan kadar kemalangan, dengan itu ia boleh mengurangkan perbelanjaan sumber-sumber SAR dan risiko kepada orang awam. Program ini dikenali sebagai Program Pencegahan SAR (Preventive) yang melibatkan komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan dan pengusaha bot dan feri. Bagi nelayan tempatan, usaha ditumpukan kepada kesedaran memakai jaket keselamatan dan mendapatkan maklumat cuaca kerana mereka ini rata-rata didapati menganggap mereka mahir dengan laut lalu sering mengabaikan keselamatan nyawa sendiri. Bot-bot nelayan juga sering kali diperiksa untuk memastikan para nelayan mematuhi peraturan-peraturan keselamatan ketika menangkap ikan di laut. Bagi pemancing yang menggunakan bot kecil yang tidak tertakluk kepada Boat Rules’ dinasihatkan untuk mempunyai jaket keselamatan demi keselamatan. Bagi pengusaha bot dan feri tempatan, program pencegahan SAR melibatkan aspek penguatkuasaan untuk memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan berkaitan alat keselamatan kapal dan syarat lesen. Pemeriksaan dibuat dari semasa ke semasa dan operasi khas dilaksanakan sebelum dan semasa cuti perayaan dan cuti sekolah. Selain Program Pencegahan SAR, Maritim Malaysia telah melaksanakan Program Sahabat Maritim bersama penduduk setempat dan salah satu aktiviti program itu ialah ceramah keselamatan kepada komuniti. Program-program ini dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan komuniti maritim terutamanya para nelayan dan keluarga, pemancing, pengusaha, pekerja (kapal/feri/bot), pengusaha, pekerja hotel dan resort dan masyarakat awam yang menjalankan urusan di laut. Untuk memperhebatkan usaha ini, Maritim Malaysia telah melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Di Laut di seluruh negara mulai pertengahan tahun 2013. Maritim Malaysia komited melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat berlandaskan konsep baharu yang lebih menyeluruh bagi menyemai budaya keselamatan dalam kalangan komuniti maritim. Justeru, masyarakat diminta memberi kerjasama kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kehilangan nyawa. Maklumat kecemasan di laut hendaklah dilaporkan kepada Maritim Malaysia menerusi talian MERS 999 atau talian hotline MRCC dan MRSC yang boleh didapati di laman sesawang agensi ini di www.mmea.gov.my. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140209/re_07/Mengekang-jenayah-maritim#ixzz2tTHW0mnk © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts