Perbankan Islam bukan Ah Long

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Universiti Global bagi Kewangan Islam (INCEIF) menolak dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa sistem perbankan Islam menawarkan kadar keuntungan mengatasi peminjam wang 'Ah Long.' "Persatuan pengguna itu perlu membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan tidak berasas berkenaan," kata Abdul Rashid Kadir, salah seorang tenaga pengajar INCEIF. CAP mendakwa bank-bank yang menjalankan sistem perbankan Islam telah mengaut keuntungan daripada pinjaman peribadi Islam yang diberikan kepada peminjam secara tidak sengaja, dengan melaksanakan pembayaran balik kadar rata dan tidak menggunakan kaedah pengurangan baki modal. Menurut persatuan itu, kadar keuntungan bank bagi pinjaman peribadi Islam boleh menjadi sehingga 42 peratus setahun dan pinjaman peribadi Islam boleh berubah menjadi lebih mahal daripada pemberi pinjam wang. CAP mendakwa kadar faedah bagi pinjaman peribadi Islam boleh diterjemahkan sebagai dua peratus sebulan atau 24 peratus setahun. "Perkara ini tidak betul sama sekali. Bank Negara Malaysia tidak akan membenarkan pengiraan sebegini ke atas kadar keuntungan," kata Abdul Rashid kepada Bernama. Beliau menerangkan bahawa terdapat beberapa kaedah pembayaran dalam sistem perbankan Islam, termasuk yang paling mahal, yang dinamakan 'yearly rest,' hingga ke sistem pembayaran yang paling murah iaitu 'daily rest'. 'Yearly rest' adalah sistem melibatkan satu bayaran tambahan atau bayaran berlebihan dibuat untuk mengurangkan jumlah yang dipinjam digadai janji yang dikreditkan ke akaun hanya sekali setahun. Sementara itu, sistem 'daily rest' membolehkan pelanggan untuk membuat pembayaran dan faedah dikira berdasarkan baki pada akhir setiap hari. Abdul Rashid berkata, terdapat satu sistem kadar rata yang diguna pakai bagi pengiraan kadar keuntungan, dan ia merupakan kadar yang paling mahal dalam sistem perbankan Islam. Katanya, sistem kadar rata tersebut dipraktikkan di Malaysia, namun tidak membebankan peminjam kerana kadar yang dikenakan oleh perbankan Islam di negara ini, rata-ratanya lebih rendah daripada pasaran semasa, iaitu di paras sederhana mahal. "Sebagai contoh, sekiranya kadar sederhana mahal yang di pasaran adalah tujuh atau lapan peratus, kadar rata yang dicaj adalah hanya di antara tiga hingga lima peratus.. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20131231/ek_01/Perbankan-Islam-bukan-Ah-Long#ixzz2tTFwxiau © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts