Perbankan Islam perlu elak kekeliruan

Sheikh Abd. Karem S. Khadaied (dua dari kanan) melihat dokumen aduan yang dibuat oleh Abdul Jamal Jalaludeen (dua kiri), Mohammad Saufie Othman (kiri) dan Mohd. Fairullazi Ayub dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 9 Jan. - Pengamal perbankan Islam perlu lebih telus dan mematuhi syariah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan peminjam. Ketua Biro Pemantau Perkhidmatan Kewangan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Sheikh Abd. Kareem S. Khadaied berkata, beliau bimbang kerana terdapat beberapa kesalahan dan keraguan dalam pelaksanaan perbankan Islam terutama dalam sistem kiraan pinjaman. Jelasnya, antara kesalahan itu ialah terdapat unsur-unsur keraguan melampau (gharar) dalam transaksi peminjam, prinsip al-Bai Bithaman Ajil yang tidak dilaksanakan secara betul dan berhubung soal diskaun (ibra') semasa pembelian hartanah yang dilelong. Katanya, kaedah transaksi itu dilaksanakan secara tidak jelas dan tidak dinyatakan dalam perjanjian ataupun pada surat tawaran yang diterima peminjam. "Ini bertentangan dengan syarat-syarat Bank Negara. Hakikat yang disembunyikan itu membolehkan pihak bank mengaut keuntungan berlebihan. "Oleh kerana itu, kita menggesa Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia untuk mengkaji serta menyiasat secara mendalam kes-kes tersebut dan menyelesaikan permasalahan berkenaan yang bukannya perkara baharu," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pendedahan kepincangan sistem perbankan Islam di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Abdul Jamal Jalaludeen dan Exco NUBE, Mohammad Saufie Othman. Tambahnya, konsep perbankan Islam yang sepatutnya memudahkan proses jual beli kini menjadi sistem yang membebankan apabila peminjam perlu menanggung hutang sehingga ada dalam kalangan mereka disenarai hitam. "PPIM tidak menentang perbankan Islam, cuma kami mahukan beberapa perkara diperbetulkan demi agama Islam. "Sistem tersebut perlu diperbaiki kelemahannya dan perlu mengikut syariah Islam kerana kita tidak mahu mereka yang tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan dengan cara mengaburi mata orang ramai menggunakan nama Islam yang suci," jelasnya. Katanya, walaupun PPIM telah menghantar surat kepada Bank Negara dan kertas kerja kepada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), setakat ini tiada inisiatif pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sementara itu, seorang 'mangsa' perbankan Islam, Mohd. Fairullazi Ayub, 34, yang membuat pinjaman perumahan mendakwa terdapat unsur-unsur gharar dalam penyata yang diterimanya. Katanya, terdapat percanggahan angka dalam penyata pembayaran pinjaman yang diragui. Jelasnya, angka-angka tersebut berbeza daripada perjanjian dan terdapat hakikat yang disembunyikan oleh pihak bank. "Saya telah buat aduan kepada bank berkenaan dan Bank Negara namun sehingga kini masih tiada tindakan, malah setiap kali saya hubungi untuk susulan kes, saya hanya difahamkan kes itu masih dalam siasatan," jelasnya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140110/dn_19/Perbankan-Islam-perlu-elak-kekeliruan#ixzz2tTEi1esP © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts