Wednesday, May 21, 2014

Aset perbankan Islam cecah RM494.5b

Oleh ZUNAIDAH ZAINON - ekonomi@utusan.com.my - KUALA LUMPUR 20 Mei - Aset perbankan Islam Malaysia kini mencecah RM494.5 bilion dengan nisbah pasaran 23.8 peratus didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam takaful dan sukuk, sekali gus meletakkan negara di kedudukan ketiga di dunia bagi pasaran perbankan Islam selepas Iran dan Arab Saudi. Di peringkat global, Malaysia juga menguasai lebih 50 peratus pasaran sukuk sejak 2007 menjadikan negara sebagai peneraju sukuk terbesar dunia, manakala sumbangan takaful dengan nisbah pasaran 26 peratus berada di kedudukan kedua selepas Arab Saudi. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu seiring dengan sasaran negara untuk meningkatkan pasaran kewangan Islam kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding 29 peratus pada 2010. Katanya, kerajaan juga menyasarkan untuk menjadikan sekurang-sekurangnya satu institusi kewangan Islam tempatan berada dalam kelompok 10 institusi kewangan Islam di dunia dalam konteks jumlah aset bagi tempoh enam tahun lagi. “Sistem kewangan Islam di negara ini mempunyai landskap yang menyeluruh termasuk perbankan Islam dan takaful diterajui Bank Negara Malaysia, pasaran modal Islam oleh Suruhanjaya Sekuriti dan perniagaan luar pesisir oleh Labuan FSA. “Malah pelbagai organisasi seperti Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan Islam (ISRA), Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM) dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) turut menyokong perkembangan sistem kewangan Islam di negara ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Audit Syariah di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Datuk Dr. Adnan Alias dan Presiden Institut Audit Dalaman (IIA), Ranjit Singh. Persidangan selama dua hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama IIA dan IBFIM merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keberkesanan pembangunan Program Audit dan Rangka Kerja Urus Tadbir Syariah (SGF) bagi memastikan semua produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi keperluan syariah. Di peringkat global, aset perbankan Islam dijangka mencecah AS$1.6 trilion (RM5.14 trilion) tahun ini berbanding AS$1.4 trilion (RM4.5 trilion) pada tahun lalu dengan kadar pertumbuhan purata kumulatif (CAGR) sebanyak 19 peratus daripada 2007 hingga 2012. Sementara itu, di peringkat Asia pula, aset perbankan Islam mencapai 14 peratus bagi keseluruhan aset perbankan Islam secara global. Menurut Ahmad, pencapaian itu menunjukkan sistem kewangan Islam di Malaysia dibangunkan secara progresif dan terancang didorong oleh persekitaran ekonomi yang kondusif. Menyentuh tentang audit syariah, beliau berkata, walaupun perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam melaksanakan prosedur yang ketat, namun ia masih belum menepati syariat selagi tidak mematuhi standard prosedur syariah yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Audit Syariah. “Audit syariah ini amat penting untuk menyakinkan rakyat bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan perbankan adalah mematuhi keperluan syariah," katanya. ( Utusan Online, 21.5.2014)

Sunday, May 18, 2014

Malaysia takrif semula hutang luar

KUALA LUMPUR 16 Mei - Malaysia te­lah mendefinisikan semula hutang luar negaranya kepada denominasi ringgit berkuat kuasa suku pertama tahun ini. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sebelum ini, definisi hutang luar negara diambil kira bukan dalam denominasi ringgit dan langkah mendefinisikan semula diambil berikutan kemajuan yang ketara dalam pasaran kewangan Malaysia yang dianggap sudah matang. Katanya, pasaran kewangan Malaysia matang selain menghasilkan penyertaan pelabur bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam sekuriti hutang domestik dalam denominasi ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jelasnya, susulan definisi semula ini, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, kredit perdagangan yang diberikan oleh rakan-rakan pedagang asing dan liabiliti hutang lain, kini dimasukkan sebagai sebahagian daripada hutang luar negara Malaysia. "Pada akhir Mac lalu, hutang luar negara Malaysia yang diberi definisi semula berjumlah RM700.1 bilion, bersamaan AS$212.5 bilion atau 65.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas membentangkan prestasi ekonomi Malaysia suku pertama 2014 di sini hari ini. Tambah Zeti, peningkatan dalam hutang luar negara ini disebabkan peminjaman luar pesisir oleh sektor swasta dan pemegangan liabiliti hutang denominasi ringgit oleh bukan pemastautin yang lebih tinggi, dengan lebih separuh daripada jumlah hutang luar negara mempunyai profil kematangan untuk tempoh jangka panjang. "Hutang jangka pendek kekal terurus dan dapat ditampung oleh rizab seba­nyak 1.3 kali pada akhir bulan Mac lalu," ujarnya. Kata Zeti, kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya tahan disokong oleh asas-asas ekonomi dalam negeri yang kukuh. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140517/ek_02/Malaysia-takrif-semula-hutang-luar#ixzz327JMHGjC © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, May 08, 2014

Saman AirAsia: Suami isteri dapat ganti rugi RM45,000

Saman AirAsia: Suami isteri dapat ganti rugi RM45,000 - PUTRAJAYA 7 Mei - Sepasang suami isteri berjaya mendapat ganti rugi mencecah RM45,000 selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan terhadap AirAsia Berhad yang disaman kerana cuai dan mengakibatkan mereka mengalami kesusahan serta kerugian sewaktu menggunakan khidmat penerbangan tambang murah itu, tiga tahun lalu. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara membenarkan relif yang dimohon oleh perayu pertama, Patricia Karen Chew Mei Yik dan suaminya, Michael Januarius (perayu kedua) iaitu ganti rugi khas sebanyak RM18,999 dan ganti rugi am RM25,000. Beliau yang turut bersidang bersama Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan agar faedah sebanyak lima peratus dibayar dari tarikh pemfailan tuntutan saman pada 2011. Kuorum berkenaan membenarkan rayuan mereka dengan kos RM10,000 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan saman kedua-duanya pada 29 Ogos tahun lalu. Pasangan suami isteri itu diwakili oleh peguam M. Manoharan manakala AirAsia oleh Mohamed Zaini Mazlan. Patricia yang ketika itu sedang mengandung 28 minggu dan suaminya menyaman AirAsia kerana kecuaian sehingga menyebabkan mereka mengalami kesusahan dan intimidasi sewaktu pulang daripada bercuti di Denpasar, Bali, Indonesia. Pasangan tersebut bersama anak perempuan mereka yang ketika itu berusia empat tahun menaiki pesawat berkenaan pada 20 Februari 2011 dan sepatutnya bertolak balik ke ibu negara pada 26 Februari 2011 selepas menghabiskan percutian mereka. Dalam tuntutan saman itu, mereka mendakwa, AirAsia telah menghalang mereka bertiga menaiki penerbangan balik atas alasan Patricia gagal mengemukakan surat pengesahan doktor. Patricia mendakwa, sebelum bercuti, dia telah memperoleh surat pengesahan aripada seorang doktor pakar sakit puan dan menyerahkannya kepada pramugari bertugas ketika berlepas ke Denpasar pada 20 Februari 2011. Perayu-perayu menyatakan, pramugari bertugas dalam penerbangan balik itu enggan bertolak ansur dan mengarahkan agar Patricia mengemukakan surat pengesahan doktor yang baharu jika dia dan keluarga ingin meneruskan penerbangan. Bagaimanapun, Patricia gagal berbuat demikian menyebabkan suaminya bercadang pulang sendirian menaiki pesawat tersebut kerana terlibat sebagai pemuzik dalam satu jamuan korporat di sebuah hotel terkemuka pada petang hari yang sama. Namun begitu, mereka bertiga gagal menaiki pesawat berkenaan dan terpaksa menaiki penerbangan lain sehingga menyebabkan suaminya kehilangan beg angkutan tangan yang mengandungi kamera dan komputer riba yang di dalamnya berisi maklumat peribadi berkaitan perniagaan. Sementara itu, AirAsia menyatakan, pramugari bertugas menjalankan tugasnya berdasarkan prosedur operasi yang menghendaki wanita hamil melebihi 28 minggu mengemukakan surat bagi mengesahkan tempoh kehamilan dan dia sihat untuk membuat penerbangan. AirAsia menyatakan, surat akuan doktor itu perlu dikemukakan untuk semakan bagi setiap penerbangan. (Sumber: Utusan Malaysia, 8 Mei, 2014)