Aset perbankan Islam cecah RM494.5b

Oleh ZUNAIDAH ZAINON - ekonomi@utusan.com.my - KUALA LUMPUR 20 Mei - Aset perbankan Islam Malaysia kini mencecah RM494.5 bilion dengan nisbah pasaran 23.8 peratus didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam takaful dan sukuk, sekali gus meletakkan negara di kedudukan ketiga di dunia bagi pasaran perbankan Islam selepas Iran dan Arab Saudi. Di peringkat global, Malaysia juga menguasai lebih 50 peratus pasaran sukuk sejak 2007 menjadikan negara sebagai peneraju sukuk terbesar dunia, manakala sumbangan takaful dengan nisbah pasaran 26 peratus berada di kedudukan kedua selepas Arab Saudi. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu seiring dengan sasaran negara untuk meningkatkan pasaran kewangan Islam kepada 40 peratus menjelang 2020 berbanding 29 peratus pada 2010. Katanya, kerajaan juga menyasarkan untuk menjadikan sekurang-sekurangnya satu institusi kewangan Islam tempatan berada dalam kelompok 10 institusi kewangan Islam di dunia dalam konteks jumlah aset bagi tempoh enam tahun lagi. “Sistem kewangan Islam di negara ini mempunyai landskap yang menyeluruh termasuk perbankan Islam dan takaful diterajui Bank Negara Malaysia, pasaran modal Islam oleh Suruhanjaya Sekuriti dan perniagaan luar pesisir oleh Labuan FSA. “Malah pelbagai organisasi seperti Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Kewangan Islam (ISRA), Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM) dan Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) turut menyokong perkembangan sistem kewangan Islam di negara ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Audit Syariah di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Datuk Dr. Adnan Alias dan Presiden Institut Audit Dalaman (IIA), Ranjit Singh. Persidangan selama dua hari itu yang dianjurkan dengan kerjasama IIA dan IBFIM merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keberkesanan pembangunan Program Audit dan Rangka Kerja Urus Tadbir Syariah (SGF) bagi memastikan semua produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi keperluan syariah. Di peringkat global, aset perbankan Islam dijangka mencecah AS$1.6 trilion (RM5.14 trilion) tahun ini berbanding AS$1.4 trilion (RM4.5 trilion) pada tahun lalu dengan kadar pertumbuhan purata kumulatif (CAGR) sebanyak 19 peratus daripada 2007 hingga 2012. Sementara itu, di peringkat Asia pula, aset perbankan Islam mencapai 14 peratus bagi keseluruhan aset perbankan Islam secara global. Menurut Ahmad, pencapaian itu menunjukkan sistem kewangan Islam di Malaysia dibangunkan secara progresif dan terancang didorong oleh persekitaran ekonomi yang kondusif. Menyentuh tentang audit syariah, beliau berkata, walaupun perkhidmatan kewangan dan perbankan Islam melaksanakan prosedur yang ketat, namun ia masih belum menepati syariat selagi tidak mematuhi standard prosedur syariah yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Audit Syariah. “Audit syariah ini amat penting untuk menyakinkan rakyat bahawa setiap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan perbankan adalah mematuhi keperluan syariah," katanya. ( Utusan Online, 21.5.2014)

Comments

Popular Posts