Malaysia takrif semula hutang luar

KUALA LUMPUR 16 Mei - Malaysia te­lah mendefinisikan semula hutang luar negaranya kepada denominasi ringgit berkuat kuasa suku pertama tahun ini. Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, sebelum ini, definisi hutang luar negara diambil kira bukan dalam denominasi ringgit dan langkah mendefinisikan semula diambil berikutan kemajuan yang ketara dalam pasaran kewangan Malaysia yang dianggap sudah matang. Katanya, pasaran kewangan Malaysia matang selain menghasilkan penyertaan pelabur bukan pemastautin yang lebih tinggi dalam sekuriti hutang domestik dalam denominasi ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jelasnya, susulan definisi semula ini, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin, kredit perdagangan yang diberikan oleh rakan-rakan pedagang asing dan liabiliti hutang lain, kini dimasukkan sebagai sebahagian daripada hutang luar negara Malaysia. "Pada akhir Mac lalu, hutang luar negara Malaysia yang diberi definisi semula berjumlah RM700.1 bilion, bersamaan AS$212.5 bilion atau 65.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun ini," katanya kepada pemberita selepas membentangkan prestasi ekonomi Malaysia suku pertama 2014 di sini hari ini. Tambah Zeti, peningkatan dalam hutang luar negara ini disebabkan peminjaman luar pesisir oleh sektor swasta dan pemegangan liabiliti hutang denominasi ringgit oleh bukan pemastautin yang lebih tinggi, dengan lebih separuh daripada jumlah hutang luar negara mempunyai profil kematangan untuk tempoh jangka panjang. "Hutang jangka pendek kekal terurus dan dapat ditampung oleh rizab seba­nyak 1.3 kali pada akhir bulan Mac lalu," ujarnya. Kata Zeti, kedudukan luaran Malaysia kekal berdaya tahan disokong oleh asas-asas ekonomi dalam negeri yang kukuh. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140517/ek_02/Malaysia-takrif-semula-hutang-luar#ixzz327JMHGjC © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts