Ekosistem digital untuk pasaran halal global

Adi Satria - Apps adalah software yang digunakan untuk komputer, internet, telefon pintar atau peralatan elektronik lain yang kian popular hari ini. Apps yang digunakan untuk telefon pintar dan tab adalah lebih natural dan mesra pengguna. Maka kian ramai entiti perniagaan daripada industri kecil dan sederhana (IKS), korporat, pihak berkuasa, media malah individu sendiri tidak dapat lari mengguna apps untuk urus niaga dan urusan harian terutama pembinaan jenama produk dan perkhidmatan masing-masing. Pasaran halal global sedang pesat berkembang dan mencecah lebih kurang AS$300 trillion (RM949 trilion) dan 1.8 billion pengguna Muslim global. Menurut data daripada Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), hampir 70 peratus IKS Malaysia yang berdaftar dengan HDC mempunyai jumlah perniagaan tidak melebihi RM1 juta setahun. Kekangan besar terhadap perkembangan mereka adalah bajet untuk strategi komunikasi pemasaran bagi menguar-uarkan jenama mereka. Selain itu, kesukaran memasuki pasaran di pasar raya tempatan yang didominasi oleh syarikat gergasi dan multinasional. Kaedah komunikasi pemasaran digital mampu digunakan untuk mengatasi kos media tradisional yang tinggi. Platfom online, media sosial dan apps adalah kombinasi mantap yang juga bercirikan interaktiviti antara bisnes ke bisnes dan bisnes ke pengguna. Namun ia memerlukan pemahaman yang baharu berkenaan kaedah, strategi dan taktik untuk mencapai objektif pemasaran, sasaran jualan dan pasaran serta pengguna. Objektif Malaysia untuk mencapai status hab halal global ialah kerana ia mempunyai kelebihan daripada negara-negara Islam lain dari segi perdagangan, logistik, perbankan dan pensijilan halal di mana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diiktiraf sebagai badan pensijilan halal yang berwibawa. IKS di Malaysia mampu menggunakan kelebihan ini untuk meneroka dan menguasai pasaran halal bukan sahaja di negara-negara Islam malah di negara-negara bukan Islam yang kian mengiktiraf produk dan perkhidmatan yang mempunyai sijil halal. Pengeluar kini mengakui bahawa sijil halal sesuatu yang wajib untuk bersaing dalam pasaran global. Umpamanya pada November 2011, E-Halal Track dan Trace RFID telah dilancarkan di Guangzhou, China yang mampu mempromosikan halal Malaysia di China. Mekanisma secara digital ini dapat meyakinkan pengguna tentang kedudukan produk halal dari segi keselamatan, kebersihan dan kesihatan dalam proses pengeluaran produk tersebut. Penggunaan apps juga akan memudahkan pengguna untuk mendapatkan maklumat dan pengesahan dengan lebih cepat dan cekap. Pembangunan satu ekosistem digital bagi industri halal di Malaysia adalah perlu sekiranya ia ingin menjadi pemimpin unggul di pasaran halal dunia. Laman sesawang yang ada tidak mampu untuk memenuhi permintaan dan keperluan daripada para pengguna dan usahawan global hari ini. Selain platform online yang canggih, platform mobile melalui apps berdasarkan android, iOS atau Microsoft kian penting dan perlu dibangunkan. Ekosistem digital ini juga boleh menyiarkan berita, maklumat terkini, penyebaran dakwah dan juga hiburan untuk menarik pengguna dan peniaga global kepada apps tersebut. Program-program yang diterbitkan disesuaikan untuk pengiklan melalui kaedah penonjolan produk atau 'product placement' di dalam program tersebut. Platform ini akan membolehkan peniaga yang mendaftar dengan HDC melakukan interaksi terus dengan pelanggan sedia ada atau yang berpotensi kerana apps ini mesra pengguna dan dapat melakukan transaksi jual-beli secara mobile. Inilah kaedah perdagangan yang terkini di era digital ini yang mampu memberi pulangan tinggi kepada pelaburan mereka. PENULIS adalah bekas Pengurus Besar Periklanan Kumpulan Utusan. Kini Konsultan Komunikasi Pemasaran Lensa Films dan Jurulatih Kanan ClickAcademy Asia. E-mail: adi@ClickAcademyAsia.com. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20140823/ek_04/Ekosistem-digital-untuk-pasaran-halal-global#ixzz3Bm9Y4NsH © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts