Pertumbuhan positif hab kewangan Islam

NABIL BASARUDDIN KUALA LUMPUR 21 Jan. - Inisiatif kerajaan dalam Pelan Sektor Kewangan dan Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti Kedua telah meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang sedang tumbuh dan berkembang secara positif. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Datuk Dr. Adnan Alias berkata, kedudukan kukuh berkenaan dicapai melalui penggunaan dan aplikasi pelaporan kewangan Islam yang begitu cemerlang dalam transaksi perniagaan. Menurutnya, IBFIM juga sedang menyusun semula dan melengkapkan modul latihan pembelajaran kewangan Islam yang dilancarkan awal tahun lepas dan ini termasuk pem­belajaran secara dalam talian bagi memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai kewangan Islam. Dalam pada itu, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dengan kerjasama IBFIM telah menganjurkan Persidangan Kewangan Islam 2015 yang memberi fokus dalam peraturan dan pelaporan yang baharu dalam kewangan Islam. Mengulas lanjut, Adnan berkata, intipati persidangan berkenaan berkisar kepada pembelajaran profesional dan pembangunan yang berterusan di samping membincangkan isu penting dalam stan­dard pengawalseliaan dan laporan baharu bagi kewangan Islam mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013). Sementara itu, Presiden MIA, Datuk Johan Idris berkata, tumpuan berkenaan adalah kepada golongan profesional dalam industri perkhidmatan kewangan antaranya akauntan, juruaudit dan pe­ngurus kewangan. “Dengan perkembangan pesat dalam sektor kewangan Islam sekarang ini, kita mesti terus me­ningkatkan pengetahuan dan kemahiran terutamanya dalam bidang rangka kerja kawal selia dan undang-undang. “Pelaksanaan persidangan pada tahun ini merupakan langkah yang tepat pada masanya kerana diyakini mampu menangani impak ke atas IFSA 2013 di institusi kewangan Islam di Malaysia,” katanya. - See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/pertumbuhan-positif-hab-kewangan-islam-1.50704#sthash.BBoWXcLt.dpuf

Comments

Popular Posts