Thursday, February 05, 2009

MEMPERKASA INDUSTRI PADI DI MALAYSIA


Setakat ini pengeluaran beras tempatan hanya mampu menampung 65 hingga 70 peratus daripada keperluan negara, manakala selebihnya diimport dari negara luar seperti Thailand dan sebagainya. Oleh itu, komitmen untuk merealisasikan penanaman padi secara komersial dilihat boleh menjamin bekalan makanan negara berada di dalam keadaan sentiasa mencukupi dan juga sebagai langkah persediaan negara dalam menghadapi krisis makanan dunia jika berulang kelak.

Melalui kaedah penanaman yang sistematik dan moden, tahap sara diri negara yang ketika ini sekitar 70 peratus akan meningkat dan negara tidak lagi perlu mengimport beras dari negara luar. Ini juga sejajar dengan Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBMN) yang diwujudkan selepas krisis bekalan beras dunia berlaku tahun lepas. Kita tidak mahu lagi kejadian dan krisis yang begitu membebankan rakyat sehingga hari ini berulang lagi dan diharapkan industri padi negara akan terus diperkasakan lagi dari masa ke semasa.

Justeru itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu industri padi di seluruh negara dibangunkan secara besar-besaran dan menjadi salah satu cara pada masa hadapan untuk meningkatkan bekalan beras negara adalah dengan menggabungkan semua ladang sawah di bawah satu bumbung. Ini adalah kerana ia akan menjadikan kawasan ladang sawah yang diusahakan bertambah besar sekali gus mampu menghasilkan hasil padi lebih banyak dalam satu masa.

Bagi memastikan matlamat ini berjaya dan direalisasikan, setiap pengusaha sawah kecil-kecilan perlu disatukan serta berdaftar di bawah satu bumbung dan kemudian menerima hasil padi mengikut bahagian masing-masing di mana melalui cara itu pengeluaran dapat dibuat secara lebih efisyen dan berdaya saing. Pada masa sama, sudah tiba masanya industri padi melangkah lebih jauh dengan menjadikan segala peluang yang ada dan setiap bahagian tanaman itu sebagai produk bernilai yang boleh menjana pendapatan pesawah.

Berikutan itu, ketika ini sudah ada kajian yang menunjukkan bahawa dedak padi mempunyai khasiat tinggi dan boleh menghasilkan vitamin E. Manakala batang dan daun padi juga boleh diproses dan dijadikan kertas seperti di Jepun. Ini adalah peluang dan ruang terbaik yang boleh diceburi sebagai nilai tambah kepada industri padi di negara kita. Untuk itu, jika negara mempunyai tanaman padi yang banyak dan mencukupi, sudah tentu negara boleh menghasilkan produk baru daripada sumber padi pada masa hadapan dan ini akan meningkatkan lagi pendapatan pesawah di seluruh negara.

Kerajaan juga dalam masa yang sama telah membelanjakan sehingga RM2 bilion setahun bagi membeli baja untuk kegunaan industri dan ini tidak termasuk untuk bantuan dan keperluan lain. Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama sektor swasta perlu mewujudkan kilang baja sendiri bagi mengurangkan kos penanaman padi terutama kepada pesawah. Di samping itu juga, petani perlu didedahkan dengan teknik penanaman yang lebih moden dan mampu menghasilkan beras dalam kuantiti yang banyak pada setiap musim.

Selanjutnya, semua agensi sama ada kerajaan atau negeri yang terlibat dalam industri padi mestilah menggandakan lagi kajian, proses pembangunan dan penyelidikan padi agar dapat menghasilkan benih padi yang tahan lasak, sukar dihinggapi penyakit serta boleh mengeluarkan hasil beras yang berkualiti tinggi dan boleh dieksport ke luar negara. Ini adalah persediaan penanaman padi di negara ini dibangunkan secara komersil dan besar-besaran sebagai satu industri yang mampu menjana ekonomi negara serta sebagai bekalan sumber makanan negara tanpa perlu bergantung negara luar.

RUJUKAN

Komersialkan tanaman padi: PM, Berita Harian, 6 Februari 2009
Tingkatkan industri padi, Utusan Malaysia, 6 Februari 2009

No comments: