Valentine’s Day bukan budaya kita
Bagi pasangan yang sedang ghairah dan mabuk bercinta, Hari Kekasih atau Valentine’s Day adalah saat yang sangat ditunggu-tunggu setiap tahun. Ini adalah kerana pada hari tersebut, teruna dan dara akan menyambutnya dengan sepenuh jiwa dan raga sebagai tanda hangatnya kasih sayang mereka dalam melayari bahtera percintaan. Biarpun begitu, sejauhmanakah kewajaran hari tersebut disambut dan diraikan oleh kita semua.
Dalam konteks ini, secara umumnya dalam budaya masyarakat kita, tidak ada sedikitpun kebaikan atau keperluan untuk menyambut hari tersebut bahkan didapati lebih banyak keburukan yang berlaku setiap kali tibanya tarikh keramat 14 Februari tersebut kepada golongan remaja dan dewasa seperti kewujudan pergaulan bebas antara jantina, majlis tari menari dan hidangan arak, hiburan yang melampau dan pelbagai masalah keruntuhan akhlak lain.
Lebih malang lagi ada yang sanggup menggadaikan maruah dan harga diri mereka sebagai simbol cinta dan kesetiaan kepada sang kekasih. Oleh yang demikian, akibat daripada sambutan hari tersebut, masyarakat Islam adalah dinasihatkan tidak menyambut dan meraikan Hari Kekasih tersebut dalam apa cara sekalipun. Ini kerana sambutan hari berkenaan amat bercanggah dengan akidah Islam dan mempunyai unsur-unsur ajaran Kristian yang dibawa oleh masyarakat Barat.
Larangan menyambut hari tersebut juga adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 pada tahun 2005 dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 yang memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan dalam konteks yang lebih luas, ianya secara tidak langsung bertujuan melekakan serta merosakkan akidah dan akhlak masyarakat Islam terutamanya generasi muda Muslim.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) baru-baru ini menegaskan bahawa roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam. Valentine seperti mana yang kita sedia maklum merupakan nama sebenar St. Valentino seorang paderi di zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol dan merupakan antara orang yang bertanggungjawab menghancurkan tamadun Islam di negara tersebut.
Justeru itu, jika umat Islam merayakan hari berkenaan ia seolah-olah bergembira dan merestui ke atas kekalahan orang Islam di Sepanyol. Jika seseorang Islam masih berhasrat memberi hadiah kepada seseorang pada hari berkenaan, perbuatan tersebut adalah tidak betul kerana ia seolah-olah meraikan konsep Hari Kekasih. Lebih-lebih lagi ketika negara mengalami kelembapan ekonomi, adalah amat tidak wajar untuk kita boros berbelanja kepada perkara yang tidak bermanfaat dan dilarang tersebut walaupun sekadar menghantar kad atau sistem pesanan ringkas (sms).
Dalam erti kata lain umat Islam dilarang sama sekali mencampur adukkan soal akidah dan ibadah dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan, “Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (HR Imam Abu Daud)
Sementara itu, bermula tahun lepas pihak berkuasa Thailand bertindak tegas menyerbu motel, taman awam dan tempat yang menjadi tumpuan remaja sempena sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terbabit dalam hubungan seks terlarang. Tindakan itu yang menjadi kempen tahunan negara berkenaan bagi mengawal tingkah laku remaja yang biasanya meraikan hari tersebut dengan mengadakan hubungan seks.
Langkah berkenaan diambil setelah satu tinjauan pendapat yang dijalankan oleh sebuah universiti mendapati 27 peratus daripada 2,400 pelajar yang ditemui mengatakan akan mengadakan hubungan seks dengan pasangan mereka pada malam berkenaan. Walaupun Thailand sememangnya diketahui sebagai syurga pelacuran dunia, namun kebanyakan penduduknya berpegang kuat kepada ajaran Buddha serta masih berfahaman konservatif.
Sementara itu, di India pula para pengikut Hindu membantah sambutan Hari Kekasih kerana menganggap perayaan itu sebagai budaya luar yang boleh mengikis nilai-nilai kebudayaan tradisi India. Bagi mereka Hari Kekasih lebih dianggap sebagai budaya Barat yang bertentangan dengan tradisi tempatan.
Melihat kepada apa yang telah dilaksanakan oleh negara-negara bukan Islam tersebut membuktikan bahawa sambutan Hari Kekasih turut ditolak oleh agama dan budaya masyarakat lain. Sehubungan itu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh amat tidak manis sekiranya masyarakatnya masih terus menyambut budaya asing dan tidak bermoral berkenaan dengan pelbagai program dan aktiviti yang sedang rancak diiklankan di media massa.
Mungkin juga sudah tiba masanya semua agensi agama tegas membanteras aktiviti tidak sihat ini di samping berganding bahu dengan institusi pengajian tinggi (IPT)mencontohi Thailand mengadakan tinjauan dan kajian akademik berkenaan kesan negatif terhadap sambutan hari tersebut kepada masyarakat Islam dan bukan Islam agar semua akur dan menerimanya. Seterusnya, semua pihak dalam perkara ini mestilah menghormati sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini dan wajar menghentikan segala rancangan atau sambutan komersil hari yang tidak berfaedah itu.
RUJUKAN
Mohd. Farid Ravi Abdullah, 2006. Haram sambut Hari Kekasih. Utusan Malaysia, 17 Februari
JAIJ tegah umat Islam sambut Hari Kekasih, Utusan Malaysia, 6 Februari 2009
Hari Kekasih: Thailand elak seks terlarang, Utusan Malaysia, 14 Februari 2009
Comments