ISLAM MENENTANG IDEOLOGI KOMUNIS
Islam adalah agama tauhid yang menolak semua fahaman atau ideologi yang tidak berpaksikan kepada kewujudan Allah sebagai tuhan sekelian alam. Sejak sebelum kehadiran Islam lagi sudah wujud kefahaman tidak bertuhan dan kini terdapat banyak fahaman moden sedemikian yang mendaulatkan kebebasan mutlak daripada prinsip ketuhanan dan agama.
Antara kefahaman sesat yang cukup popular dan mendapat perhatian ramai suatu ketika dahulu yang kini semakin lemah ialah komunisme. Komunisme adalah ideologi politik dan struktur sosio ekonomi yang menggalakkan penubuhan masyarakat yang egalitarian, tanpa kelas, dan tanpa negara berdasarkan pemilikan dan kawalan sama ke atas faktor pengeluaran dan harta secara umumnya.
Komunisme yang berteraskan Marxisme berkembang pesat selepas kejatuhan kerajaan Islam dan era pemerintahan kolonial sehingga fahaman berkenaan berjaya menguasai banyak negara besar seperti China, Rusia, Cuba dan lain-lain. Era kegemilangan komunisme ialah antara akhir Perang Dunia Kedua dan tahun 90-an apabila komunisme berkuasa di Kesatuan Soviet di mana ideologi ini juga berpandangan agama adalah racun yang boleh mengongkong pemikiran rakyat.
Namun begitu, zaman emas komunisme kini menuju kehancuran dan bakal runtuh apabila masyarakat dunia semakin menolak fahaman sesat berkenaan. Di samping fahaman tidak bertuhan dan agama, Islam juga dalam hal ini menentang keras aliran komunisme yang memerangi kekayaan dan hak pemilikan individu terhadap harta, meskipun harta berkenaan diperoleh dengan cara yang sah dan halal.
Ideologi sesat ini sangat bahaya kepada masyarakat kerana kemunculan semula gerakan senyap mengembalikan kegemilangannya semakin giat dilakukan terutamanya melalui medium internet seperti portal, blog dan lain-lain yang semakin bertambah dalam usaha meracuni pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda di seluruh dunia dan tidak terlepas juga kehadirannya di negara kita. Lebih membimbangkan apabila terdapat anak-anak muda yang mula bersimpati dengan fahaman dan pejuang fahaman ini.
Situasi ini perlu dipantau dan dikawal segera agar mereka tidak terpengaruh dengan kefahaman salah ini dan tersesat jauh. Semua pihak perlu berganding bahu menghalang dan memastikan agar kefahaman ini tidak menyerap masuk ke dalam masyarakat kita walaupun semua maklum bahawa fahaman ini telah gagal di kebanyakan negara dan ini bukanlah bermakna bahawa ideologi mereka juga gagal kerana masih ramai memujanya sehinggakan ada yang mengatakan komunisme tidak bersalahan dengan ajaran Islam yang melahirkan komunisme Islam.
Oleh itu, sikap berhati-hati dan berwaspada perlu diberikan penekanan dalam usaha menyekatnya daripada terus meracuni pemikiran masyarakat dan menggugat keamanan negara. Ini adalah kerana komunisme bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malahan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menekankan konsep kepercayaan kepada Tuhan. Islam juga dalam perkara ini jelas menolak ideologi komunisme dan apa sahaja fahaman atau cara hidup yang menolak prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Terdapat juga desakan daripada pihak-pihak tertentu untuk membenarkan pejuang fahaman sesat ini kembali semula ke negara kita atas dasar kemanusiaan. Namun, biar apapun alasan yang diberikan dan pujuk rayu yang dilakukan mereka yang bersimpati dengan pejuang dan ideologi ini, ianya tidak boleh sama sekali dibiarkan bertapak semula dan berakar di negara kita setelah apa yang telah berlaku di negara kita sebelum ini sehinggakan puluhan ribu nyawa manusia yang tidak berdosa terkorban begitu sahaja.
Rujukan
Albert Hourani, 1991. Islam in European Thought, New York: Cambridge University Press
Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Komunisme
Comments