KUATKUASA UNDANG-UNDANG WAJIB ZAKAT


Zakat adalah instrumen terunggul di dalam sektor ekonomi Islam dan pemangkin kepada kemajuan serta kemakmuran umat Islam di seluruh dunia. Untuk itu, institusi zakat perlu ditadbir dan diurus dengan efisien dan sistematik memandangkan sejak sekian lama zakat menjadi medan dan medium terpenting kepada pentadbiran ekonomi di negara umat Islam. Melalui sistem penyampaian zakat yang baik mampu menjadi alternatif kepada ketidakstabilan ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini. Sebagai pemangkin utama kepada struktur ekonomi negara, maka sistem dan mekanisme zakat hendaklah diperbaiki dan dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Organisasi zakat telah diakui dan terbukti keberkesanannya dalam memperkasa pembangunan fiskal umat Islam. Oleh yang demikian maka perlaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu dan syarikat korporat milik umat Islam yang enggan, cuai dan gagal membayar zakat hendaklah segera dilakukan sewajarnya memandangkan kesedaran pihak individu dan syarikat korporat membayar zakat masih perlu dipertingkatkan. Undang-Undang Zakat yang boleh mengarahkan seseorang itu membayar zakat dan jika ingkar maka hukuman yang setimpal akan dikenakan perlu diperkenal, disemak, dimantapkan lagi dan dikuatkuasakan sepertimana undang-undang berkaitan cukai pendapatan.

Mahkamah boleh membicara kes-kes yang berkaitan zakat dengan peruntukan yang ada dan atas dasar keadilan serta taggungjawab agama, rakyat atau syarikat yang berkemampuan hendaklah menunaikan kewajipan mereka jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil ke atas mereka. Di negara kita hanya sesiapa yang ingkar membayar cukai pendapatan tahunan boleh dikenakan hukuman dan dibicarakan di mahkamah. Oleh itu, pengenalan undang-undang Zakat mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia sebagai satu alternatif kepada penambahbaikan sistem penyampaian zakat dan bagi menjaga maslahat agama dan kekuatan ekonomi umat Islam di Malaysia.

Sehubungan itu, hasrat kerajaan untuk menguatkuasa undang-undang khas membayar zakat seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mewajibkan pembayaran cukai pendapatan adalah tepat pada masanya. Inisiatif dan langkah bijak ini seharusnya disokong semua pihak memandangkan pembayaran zakat kini menggalakkan mencecah RM1 bilion seluruh negara tahun lalu. Ini adalah satu kejayaan dan pencapaian yang besar kepada institusi zakat di seluruh negara. Atas dasar itu, usaha untuk mewujudkan saluran perundangan khusus kewajipan berzakat wajar disegerakan dan sebelum dilaksanakan, beberapa peraturan, akta dan undang-undang tertentu perlu disemak terlebih dulu agar tidak bercanggah dengan peruntukan sedia ada.

Kekukuhan institusi zakat sememangnya mampu memberi momentum positif kepada kekuatan ekonomi dan pembangunan negara dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan sistematik. Ini adalah kerana zakat adalah mekanisme terbaik kepada aliran perkembangan ekonomi negara. Elemen zakat sebenarnya adalah kekuatan dan teras utama kepada keutuhan ekonomi umat Islam dan merapatkan jurang kemiskinan yang sedia wujud. Melalui zakat dan aspirasinya, maka ledakan serta transformasi ekonomi dapat dipercepatkan dan dikawal secara yang lebih sistematik dan efisien. Dengan peratusan umat Islam di Malaysia menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan perubahan sosial, maka zakat perlu direformasikan semaksima mungkin bagi mencapai kestabilan negara.

Rujukan

Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 2003. Pengurusan Zakat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Undang-undang zakat dikuat kuasa, Berita Harian, 6 Mei 2009
Kuat kuasa undang-undang wajib zakat, Berita Harian, 6 Mei 2009
Undang-undang wajib zakat perlu kajian teliti, Berita Harian, 7 Mei 2009

Comments

Popular Posts