Sunday, July 26, 2009

FORMULA ATASI KEMARAHAN



Perasaan marah adalah sifat fitrah yang terjadi kepada setiap orang dan tercetus apabila berlaku sesuatu yang berpunca daripada seseorang yang tidak disukai, sesuatu peristiwa yang tidak diingini atau kebimbangan dalam hidup seharian seseorang individu tertentu. Dalam keadaan tertentu keadaan marah boleh berpunca dari diri sendiri atau faktor luaran apabila seseorang atau suatu peristiwa yang menyebabkan kita tidak selesa, gelisah dan terancam seperti gangguan, usikan, ejekan dan sebagainya.

Kemarahan juga boleh terjadi apabila diri sendiri atau orang tersayang dianiaya, diperguna serta dieksploitasi sesuka hati, malahan dijadikan bahan mainan serta berada dalam situasi keliru dan lain-lain. Rasa marah juga boleh berlaku sekiranya sesuatu hajat tidak tercapai, ditipu oleh orang lain atau hak seseorang dirampas sewenang-wenangnya, tertekan dengan masalah peribadi, ekonomi dan sebagainya sehingga menyebabkan seseorang itu hilang kawalan dan pertimbangan. Oleh yang demikian, kemarahan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Kadang-kadang dalam keadaan tertentu ekoran daripada kerenah anak-anak juga boleh menjadi ibu bapa tertekan dan marah dengan perlakuan berkenaan; atau perangai pelajar yang kurang sopan menyebabkan guru-guru menjadi marah malahan sikap pekerja yang melampau juga boleh menyebabkan majikan naik angin dan darjah kemarahan meningkat dan sebagainya. Kemarahan juga boleh berlaku ketika terkandas di dalam kesesakan lalu lintas misalnya, ketinggalan tren atau bas, terlupa sesuatu perkara dan pelbagai lagi alasan yang boleh menyebabkan wujudnya rasa masah sama ada dinyata atau disembunyikan.

Undang-undang dan etika sosial Islam telah menetapkan batasan untuk membolehkan seseorang itu meluahkan perasaan marah tetapi mestilah melalui saluran yang dibenarkan Syariat seperti marah melihat perbuatan maksiat yang berlaku atau marah kepada kekejaman Israel terhadap Palestin umpamanya dan sebagainya. Mengingkari ketetapan berkenaan akan mengakibatkan perlanggaran ketetapan Syarak, mengundang lebih banyak kemudaratan terhadap diri sendiri dan orang di sekeliling yang juga boleh membawa kepada seseorang itu tersisih dari masyarakat.

Tambahan pula, apabila perasaan marah yang membuak-buak itu gagal diuruskan dengan sewajar dan sebaik mungkin, seseorang itu secara langsung dan tidak langsung boleh mengalami luka keparahan secara fizikal dan emosi akibat tindak balas orang lain ekoran perasaan marah yang tidak terkawal. Marah juga boleh mendorong seseorang bertindak secara ganas dan mengikut kehendak hati semata-mata dan ini akan mengakibatkan kecederaan berlaku kepada orang ramai ketika berlaku pergaduhan atau salah faham misalnya. Perasaan marah yang dipendam juga akan mengundang masalah, terutama sekali berkaitan dengan jalinan perhubungan, seksual dan amalan sosial.

Menurut perspektif Islam, Rasulullah SAW menegaskan bahawa sifat marah itu sebenarnya datang dari syaitan sepertimana sabda baginda yang bermaksud: "Marah itu datangnya dari syaitan, dan syaitan itu diciptakan dari api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.“ Rasulullah bersabda lagi: "Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam posisi berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.”

Di sini dapatlah difahami bahawa terdapat beberapa formula untuk meredakan rasa marah yang menguasai diri ialah dengan segera mengambil air sembahyang atau berwuduk jika seseorang itu berada dalam keadaan tersangat marah dan boleh juga mengubah posisi atau kedudukan yang sesuai agar dapat dikurangkan sedikit perasaan marah yang sedang membara di dalam hati. Ujian kesabaran juga boleh diuji terhadap seseorang bila berada di dalam kemarahan kerana sifat sabar adalah anak kunci utama menyejukkan rasa marah yang marak membakar di dalam diri seseorang.

Sesungguhnya orang yang bersabar sangatlah terpuji dan sifat sabar yang mulia itu memang pahit pada mulanya, tetapi manis pada akhirnya. Lukman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya bahawa ada tiga macam yang tidak diketahui kecuali pada tiga macam iaitu orang yang sabar tidak diketahui kecuali ketika marah; orang yang berani tidak diketahui kecuali ketika dalam peperangan; dan saudara tidak diketahui kecuali ketika berhajat yakni semasa ada kepentingan. Ini adalah realiti serta hakikat kehidupan yang sebenar dan kesabaran dalam menahan rasa marah adalah sesuatu yang sangat payah untuk dilaksanakan.

Abul Laits As-Samarqandi dalam kitab beliau Tanbihul Ghafilin atau Peringatan Bagi Yang Lupa (Jilid 1) menyarankan agar menggunakan resepi kesabaran yang ada bagi mendepani rasa marah kerana akibat daripada kegagalan menahan marah boleh menyebabkan seseorang akan rasa menyesal, dicela oleh orang lain dan yang paling menakutkan ialah bakal menerima siksaan Allah SWT di akhirat kelak. Manakala sekiranya kita mampu bersabar dengan api kemarahan di dalam diri maka akhirnya kita akan merasa ringan dan hilang segala masalah di samping melahirkan kesenangan dalam diri, malahan juga mendapat pujian orang ramai dan sudah tentu mendapat janji pahala daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, terdapat beberapa elemen penting lain yang perlu dikuasai bagi mengawal sifat marah yang antaranya ialah ketegasan melawan rasa marah, kemahiran komunikasi yang betul, bijak membuat keputusan dan fahami personaliti diri dan orang lain, mempunyai kemahiran berunding, berfikiran positif di samping bijak menyelesaikan masalah, sentiasa berada di dalam ketenangan serta komited mendalami ilmu dan kemahiran pengurusan stress. Abu Umamah Al-Bahili r.a berkata Rasulullah SAW bersabda: “ Siapa yang dapat menahan marah padahal dia berkuasa untuk memuaskan marahnya itu, tetapi tidak dipuaskan bahkan tetap ditahan/disabarkan, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaanNya pada hari kiamat. ”

RUJUKAN

Abul Laits As Samarqandi, 1989.Tanbihul Ghafilin- Peringatan Bagi Yang Lupa (Jilid 1). Kuala Lumpur: Victory Agencie

Laman web :
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/remaja_content.jsp?lang=remaja&sub=0&bhs=may&storyid=1186620941618

1 comment:

annahmad said...
This comment has been removed by the author.