ISRAK & MIKRAJ MENJANA KEUNGGULAN

Peristiwa agung Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Rasulullah SAW adalah detik perjalanan serta penjelajahan hebat baginda ke alam angkasa yang tidak pernah berlaku kepada mana-mana nabi atau rasul sebelum baginda. Ini adalah bukti bahawa Rasulullah adalah manusia agung dan nabi serta rasul paling mulia di sisi Allah SWT. Buktinya ketika Rasulullah singgah solat di Masjid Al-Aqsa ketika dalam pengembaraan baginda menjadi imam kepada semua jamaah di kalangan nabi serta rasul yang sedang menunggu ketibaan baginda dengan penuh hormat dan kebesaran.

Mukjizat besar ini berlaku pada 27 Rejab lebih kurang setahun sebelum peristiwa Hijrah menurut majoriti ulama telah menjadi medan menguji keimanan dan ketakwaan umat Islam dahulu, kini dan selamanya apabila peristiwa tersebut masih dianggap tidak logik serta tidak masuk akal. Malahan penduduk Mekah ketika itu pun berpecah belah dan berbelah bahagi untuk menerima hakikat kebenaran peristiwa tersebut sehingga Saidina Abu Bakar bangkit membenarkan peristiwa yang di luar kebiasaan itu. Ini adalah contoh mulia yang ditunjukkan oleh beliau sehinggalah beliau diberi gelaran As-Siddiq atau yang membenarkan oleh Rasulullah dan umat Islam.

Akhlak, moral dan keyakinan yang mantap dibuktikan oleh beliau, ahli keluarga dan para sahabat Rasulullah yang lain terhadap peristiwa Israk dan Mikraj sewajarnya menjadi model terbaik kepada umat terkemudian dalam agenda dan usaha jihad memperkukuhkan keagungan dan kemuliaan Rasulullah buat selama-lamanya. Komitmen yang tinggi serta iltizam semangat juang yang kental mempertahankan ajaran Islam daripada terus dikotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam sejak dahulu lagi perlu bersemadi di dalam setiap jiwa umat Islam.

Sejarah menulis dengan tinta emas bahawa Saidina Abu Bakar menjadi pembela kepada peristiwa berkenaan dan mempertahan kebenarannya di kala umat Islam ketika itu keliru, binggung dan tertanya-tanya akan kejadian yang belum pernah berlaku dalam mana-mana sejarah dan hikayat sebelum ini. Malahan bagi Saidina Abu Bakar As-Siddiq sekiranya ada kejadian atau peristiwa yang lebih hebat daripada Israk dan Mikraj pun beliau akan mempercayainya jika ianya datang dari mulut Rasulullah. Ini adalah kerana pengalaman Israk dan Mikraj yang dilalui Rasulullah menjadi khazanah yang sangat bernilai serta sarat dengan falsafahnya yang tersendiri.

Peristiwa dan kejadian luar biasa ini turut dikaitkan dengan tahun dukacita/kesedihan atau Aamul Huzn selepas kematian isteri Siti Khadijah yang tercinta dan bapa saudara baginda Abu Talib yang cukup berjasa kepada awal perkembangan Islam. Kewajipan solat lima waktu juga menjadi tema utama dalam kitab-kitab muktabar yang meriwayatkan kisah Israk dan Mikraj di samping beberapa contoh adegan gambaran akan datang dan telah berlaku ditunjukkan kepada Rasulullah, malahan bentuk balasan kepada manusia yang bakal diterima juga sempat ditonton oleh Rasulullah ketika perjalanan tauhidik baginda itu.

Dalam konteks yang lebih luas, Israk dan Mikraj memberi momentum kepada survival dakwah Rasulullah dan impak yang sangat hebat kepada arah perjuangan Rasulullah dan umat Islam seterusnya. Fenomena yang merupakan mukjizat hebat ini digambarkan dengan begitu realistik di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram hingga ke Masjid Aqsa yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya." (surah al-Isra': ayat 1)

Pemikir dan reformis gerakan Islam terkenal, As-Syahid Syed Qutb dalam kitab tafsirnya, Fi Zilal al-Quran menegaskan, “Perjalanan dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa adalah perjalanan yang murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim dan Ismail hingga Nabi Muhammad. Demikian pula, perjalanan agung ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid (agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu. Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas dan mendalam.”

Hal pengembaraan agung Rasulullah ini juga telah menyebabkan mereka yang lemah iman dan longgar akidahya telah berpaling semula kepada agama asal apatah lagi turut terpengaruh dengan provokasi kafir Mekah serta golongan munafik yang tidak senang dengan kehadiran Islam di samping tidak dapat menerima kebenaran cerita kejadian Israk dan Mikraj tersebut lantas menuduh Rasulullah berdusta, menyebar cerita donggeng dan gila. Situasi ini sememangnya adalah lumrah dan realitinya Islam dan umatnya sentiasa menjadi mangsa keadaan, dituduh dengan pelbagai tuduhan serta tohmahan tidak benar dan acapkali diletak di kandang salah tanpa diberikan pembelaan serta kebebasan bersuara yang sewajarnya.

Peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan proses memperkasa akidah yang walaupun telah lama berlaku sejak lebih 1400 tahun yang lalu namun masih terdapat segolongan di kalangan umat Islam yang tidak dapat menerima hakikat dan realiti kebenaran mukjizat unggul berkenaan kerana dianggap mustahil dan tidak boleh berlaku dengan teknologi atau peralatan moden yang ada hari ini. Peliknya golongan ini percaya dan boleh pula menerima kebenaran ekspedisi manusia ke bulan dan planet-planet lain tetapi menolak kejadian peristiwa Israk dan Mikraj. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana peristiwa ini direkodkan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis sahih yang tidak boleh dipertikaikan.

Ini adalah contoh manusia yang lemah iman, tidak sensitif, kurang kefahaman yang jelas dan gagal berfikir secara waras serta gagal berusaha mencari kebenaran di dalam agama. Kelompok ini terlalu berpegang kepada logik akal, kaedah serta pembuktian sains dan langsung terpengaruh dengan ideologi songsang ciptaan Barat dan orientalis yang sentiasa menyerang Islam sejak sekian lama dalam pelbagai cara agar umat Islam terus sesat dan keliru. Ada juga yang termakan dengan hujah dan pendapat mereka yang mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj adalah sekadar fantasi teologi, mimpi kosong dan simbolik keagamaan sahaja.

Sedangkan kebenaran Israk dan Mikraj telah banyak diperdebatkan dan diakui sendiri oleh sebilangan besar para saintis bukan Islam di Barat yang merupakan asas penting kepada disiplin ilmu astronomi sehingga mencetuskan keinginan serta kesedaran luar biasa masyarakat Barat untuk menjelajah angkasa raya dan menawan galaksi yang mana segala ilmu dan pengetahuan berkenaan dipelajari dari kitab-kitab karangan ulama dan ahli sains Islam. Malangnya kesedaran tersebut masih rendah di kalangan umat dan negara Islam sendiri ekoran dibelenggu kemiskinan, masalah buta huruf, konflik mazhab, perebutan kuasa, teknologi yang ketinggalan, tahap pendidikan yang rendah dan sebagainya.

Biarpun begitu, menurut Dr. Badlihisham Mohd. Nasir (1999) peristiwa agung Israk dan Mikraj adalah suatu proses pembinaan Thiqah al-Daiyyah (personaliti pendakwah) atau motivasi peringkat tertinggi yang pernah berlaku di kalangan nabi-nabi Allah. Tanda-tanda kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada Rasulullah SAW secara Ain al-Yakin (keyakinan secara tontonan) berfungsi menumbuhkan kekuatan iman yang jitu dalam diri Rasulullah sebagai seorang pendakwah dan murabbi ummah. Pendakwah yang tidak mempunyai keyakinan atau iman yang penuh terhadap apa yang diserunya, akan mudah ditimpa kelesuan, kejemuan, rasa bosan dan kelonggaran pegangan.

Oleh yang demikian, di antara amalan yang harus dilakukan oleh pendakwah sebagai mengambil iktibar dari peristiwa ini ialah dengan selalu mengingati Allah SWT. Hakikat ini ditegaskan oleh Dr. Fathy Yakan dalam kitabnya Qawaribun Najah fi Hayati al-Du 'at iaitu 'Zikru Allah' (mengingati Allah) akan melonjakkan keberanian, ketabahan dan dorongan ingin mara berjuang, kerana di saat itu orang beriman akan merasakan Allah sentiasa bersama-samanya. Perasaan itu selalunya akan melahirkan daya juang dan tekad yang hebat untuk menghadapi segala bentuk cabaran merempuh segala rintangan dengan jiwa yang jitu, percaya kepada diri sendiri dan bersikap tenang.

Rujukan

Dr. Badlihisham Mohd. Nasir, 1999. Falsafah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj. Utusan Malaysia, 5 November
Mohd. Shauki Abdul Majid, 2003. Rahsia tersirat Israk dan Mikraj. Utusan Malaysia, 24 September

Comments

Popular Posts