Tuesday, July 14, 2009

TREND KEWANGAN ISLAM GLOBAL

Kegawatan dan ketenatan ekonomi global hari ini telah berjaya membuka mata banyak pihak serta menarik perhatian masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia terhadap kemampuan dan kemantapan sistem kewangan dan perbankan Islam yang kondusif serta kalis krisis semasa. Keanjalan, peluang serta potensi yang ada pada sistem ini membolehkannya diimplementasikan sebagai horizon serta alternatif baru dan formula pemulihan kepada polemik kemelesetan ekonomi yang sedang berlaku ketika ini.

Aplikasi sistem kewangan dan perbankan Islam moden hari ini dilihat sangat relevan, tepat pada masanya dan mendapat pengiktirafan dalam usaha sistem ini mengambil alih kedudukan sistem konvensional sedia ada. Kejayaan dan pencapaian ini mampu direalisasikan melalui penyertaan yang semakin meningkat terhadap produk kompetitif yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam di seluruh dunia. Hari ini, lebih 250 institusi kewangan Islam beroperasi di seluruh dunia.

Dari sudut perspektif Islam, sistem perbankan dan kewangan Islam adalah medan ekonomi yang berteraskan paksi tauhid yang bersandarkan kepada komitmen keagamaan yang ketat. Ini adalah kerana sistem nilai yang wujud di dalam amalan dan prinsip sistem ini tidak membuka peluang atau berkompromi dengan transaksi riba, percampuran amalan syubhah, gharar, maysir serta penindasan dan ketidakadilan dalam setiap urusniaga yang berlaku kerana ianya melibatkan soal haram dan halal yang membawa kepada aspek dosa dan pahala dalam konteks ajaran Islam termasuklah gaya pentadbiran dan pengurusan kewangan, pelaburan serta pembangunan modal insan.

Keadaan ini menjadikan sistem ini dilihat sangat rigid dan sensitif dengan hal keadaan bagaimana dana serta sumbernya dilabur, diurus dan dibahagikan mengikut kaedah yang dibenarkan oleh Syarak melalui pemantauan majlis penasihat Syariahnya yang tersendiri. Ini menunjukkan bahawa sistem kewangan dan perbankan Islam bukanlah sekadar menjana keuntungan yang akan dikongsi secara bersama dan adil atas dasar taawun atau tolong menolong malahan mempunyai daya tarikan tersendiri di samping sistem nilai yang diamalkan memberi gambaran sebenar realiti muamalah dalam aspek ekonomi berteraskan asas tauhid ini.

Secara kasarnya dengan memberi fokus kepada sistem perbankan Islam di Malaysia menunjukkan ianya mencatat kadar pertumbuhan yang tinggi sebanyak 30 peratus pada 2008, berbanding pencapaian 20 peratus sahaja oleh sistem perbankan konvensional. Manakala pada peringkat global pula dalam tempoh dua tahun lalu ia meningkat pada purata 26 peratus berbanding sistem perbankan konvensional yang hanya berkembang 19 peratus dalam tempoh sama. Ini menunjukkan kadar pertumbuhan sistem perbankan Islam di negara kita berkembang dengan begitu cepat dan memberansangkan.

Malaysia sebagai antara negara pemain utama sistem kewangan Islam global, diakui di peringkat antarabangsa sebagai negara yang berpengalaman luas dalam muamalah sofistikated ini berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan perkhidmatan dan kemudahan berkaitan perbankan Islam di seluruh dunia termasuklah Amerika Syarikat (AS), Eropah di samping negara-negara di rantau ini. Ini adalah berikutan krisis teruk kewangan global baru-baru ini membawa kepada negara-negara maju mula mengiktiraf dan mengakui kehebatan amalan perbankan Islam.

Justeru itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dan badan berkaitan misalnya perlu lebih agresif berperanan menganjurkan siri pertukaran lawatan dan perbincangan dengan rakan sejawatan di AS, Eropah dan rantau Asia mengenai kemampuan sebenar sistem perbankan Islam yang dilaksanakan Malaysia. Bank-bank peneraju seperti Maybank dan CIMB umpamanya telahpun mempunyai cawangan di London dan secara tidak langsung boleh mewujudkan persekitaran kerjasama serta perkongsian pintar dengan bank di AS, Eropah dan Asia untuk memperluaskan perkhidmatan produk perbankan Islam di sana.
.
Perbankan Islam terus berkembang pada kadar yang sangat pantas kerana ia berorientasikan nilai yang membolehkannya menarik dana dan pelaburan daripada orang Islam dan bukan Islam di seluruh dunia. Jumlah umat Islam yang ramai di Indonesia, China, India, AS dan sebagainya di samping terdapat lebih 14.74 juta orang Islam di Eropah, di mana 1.8 juta adalah penduduk di United Kingdom (UK), ditambah 72 juta di Turki membuktikan pasaran sistem kewangan dan perbankan Islam sangat luas yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Ini belum mengambil kira pasaran pengguna bukan Islam di sana.

Perancis dilaporkan berhasrat menjadikan Paris sebagai 'pusat kewangan Islam' utama di Eropah, manakala UK pula kini dalam proses perundingan untuk menerbitkan sukuk dan dalam masa yang sama Singapura telah melancarkan Dana Dagangan Elektronik Islam. Di samping itu, Hong Kong juga tidak ketinggalan mahu mewujudkan hab kewangan Islamnya di sana dan Jepun juga mula membenarkan bank-bank di sana menawarkan sistem kewangan Islam mereka sendiri. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan wujudnya fenomena perlumbaan yang sihat dalam sektor kewangan Islam di antara negara bukan Islam.

Oleh yang demikian, bagi memastikan sistem ini lebih diterima dan diyakini, maka satu standard rangka kerja seliaan serta piawaian global yang konsisten secara menyeluruh untuk kewangan Islam global perlu disediakan. Model stimulus serta holistik mekanisme kewangan dan perbankan Islam seperti yang dipraktikkan Malaysia boleh dijadikan garis panduan terbaik dan lengkap untuk diserapkan di peringkat amalan serta prinsip kewangan Islam di peringkat global. Trend kewangan ini mestilah konsisten dan proaktif dalam aspek penyeliaan serta piawaian melalui badan atau organisasi khusus memantau operasinya agar berlandaskan syariah.

Tidak dapat dinafikan anjakan industri perbankan dan kewangan Islam global begitu positif, drastik dan dalam masa yang sama memerlukan persediaan yang secukupnya serta diperbaiki beberapa mekanisme kewangan Islam terutamanya dari segi syarat dan peraturan tertentu yang lebih praktikal terutamanya soal bagaimana bank atau institusi kewangan perlu mengguna atau melaburkan wang dari dana milik pelanggannya selaras prinsip Syariah. Ini adalah juga sebagai persiapan dalam usaha mendepani sistem konvensional yang lebih sistematik, mesra pelanggan dan sentiasa menawarkan produk yang lebih menarik termasuklah kadar faedah yang sangat kompetitif.

RUJUKAN

Malaysia mampu tawar perbankan Islam di Eropah, Utusan Malaysia, 13 Julai 2009
Kewangan Islam global perlu rangka selia konsisten, Berita Harian, 31 Mei 2009
Kewangan syariah diminati banyak negara, Berita Harian, 13 Januari 2009
Sistem bank Islam mampu atasi krisis ekonomi, Utusan Malaysia, 13 Januari 2009
Pergiat promosi produk Islam, Harian Metro, 13 Januari 2009
'Kewangan Islam alternatif terbaik', Utusan Malaysia, 13 Januari 2009

No comments: