Kukuhkan kewangan Islam, mantapkan kewangan global - Zeti

ISTANBUL, Turki 6 Okt. - Usaha dan komitmen berterusan dalam mengukuhkan ketahanan industri kewangan Islam akan meningkatkan potensi pertumbuhan serta kestabilan industri kewangan global.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, dalam bergerak ke hadapan, asas kekukuhan kewangan Islam sebagai perantara akan terus dimantapkan ekoran pelbagai usaha telah dilakukan termasuk pembangunan infrastruktur serta pelaburan dalam pembangunan dan penyelidikan.

Beliau berkata, industri kewangan Islam telah mampu mengharungi gelombang pertama krisis ekonomi dengan mempamerkan kekukuhan sebagai perantara kewangan.

''Keutuhan institusi kewangan Islam semasa krisis adalah disokong oleh Prinsip Syariah iaitu dua elemen penting seperti setiap transaksi perlu disokong oleh aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan serta perkongsian keuntungan yang berlandaskan perkongsian risiko.

''Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu mengikut elemen tersebut bagi setiap cadangan perniagaan bagi memastikan ketelusan. Manakala peranan badan syariah adalah bagi memastikan setiap aspek perniagaan mengikut prinsip syariah,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Kewangan Islam: Semasa dan Selepas Krisis Kewangan Global yang berlangsung di Istanbul, Turki di sini hari ini.

Tambah Zeti, prinsip syariah dapat memastikan dimensi tadbir urus dan pengurusan risiko menyumbang kepada perlindungan kewangan Islam daripada potensi risiko tekanan akibat aktiviti spekulasi.

''Walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan dan suasana mencabar ekoran krisis semasa, perkembangan dan pembangunan industri perkhidmatan kewangan Islam di peringkat global masih belum berkurang.

''Keadaan kewangan Islam yang dinamik digambarkan melalui pertumbuhan kukuh, peningkatan produk kewangan dan perkhidmatan serta penubuhan penyedia perkhidmatan kewangan Islam baru dari pelbagai negara di dunia termasuk dunia bukan Islam,'' jelasnya.

Zeti berkata, perkara itu dapat dilihat melalui terbitan sukuk yang mula mendapat perhatian daripada pelabur berpengkalan di Asia, Eropah dan Timur Tengah.

''Pembangunan positif itu telah dilihat walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi mencabar,'' katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#

Comments

Popular Posts